Jom ketahui khasiat pokok kelulut

Pokok kelulut ialah sejenis tumbuhan yang meliar di kawasan terbiar. Ketika zaman kanak-kanak penulis dulu, buahnya digunakan untuk main masak-masak. Jika anda berjalan di tepi pokok kelulut, habis kain atau seluar terlekat buahnya yang mempunyai bulu-bulu halus.

Pokok kelulut atau nama saintifiknya urena lobata mempunyai banyak keistimewaan dari aspek perubatan herba dan tradisional. Siapa sangka tumbuhan tropika yang hidup di tepi-tepi jalan, hutan dan belukar mempunyai banyak manfaat kepada manusia dan haiwan.

Khasiatnya diakui oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik, Alam Sekitar dan Sumber Semula Jadi MARDI, Dr. Ahmad Zamzam Mohamed. Menurutnya, ramai pengamal perubatan tradisional yang menggunakan pokok kelulut untuk merawat beberapa jenis penyakit.

Khasiat dan Petua Menggunakan Pokok Kelulut

pokok-kelulut

Imej via Facebook

Dalam artikel ni, akan dikongsikan khasiat pokok kelulut. Selain itu, beberapa petua yang boleh diamalkan juga akan diberikan.

#1 Merawat luka

Jika anak-anak terjatuh ketika bermain, anda boleh menggunakan daun pokok kelulut untuk hentikan pendarahan dan merawat luka. Caranya ialah bersihkan luka tersebut dengan air yang bersih. Kemudian, lap kawasan luka dengan sehelai kain.

Ambil beberapa helai daun kelulut yang telah dicuci. Kemudian, tumbuk daun tersebut sehingga lumat. Lekatkan daun tadi pada bahagian yang luka tu.

#2 Mengurangkan sakit gigi

Apabila terkena sakit gigi, memang tak senang duduk dibuatnya. Bahagian yang sakit itu akan terasa berdenyut-denyut. Anda boleh mencuba petua tradisional jika belum berkesempatan untuk berjumpa dengan doktor.

Caranya ialah ambil bahagian akar pokok kelulut saja. Cuci akar tersebut bersih-bersih daripada kesan tanah. Kemudian, kunyah akar tersebut secara perlahan-lahan. Ekstrak daripada akar pokok kelulut mampu melegakan kesakitan gigi.

#3 Merawat Demam Panjang

Kalau anda menghidap demam yang tak kebah-kebah, seelok-eloknya ke klinik dan hospital dulu untuk dapatkan rawatan. Dikhuatiri dijangkiti demam denggi, kepialu dan sebagainya.

Namun, anda juga boleh mencuba petua ni sebagai rawatan alternatif. Caranya ialah ambil akar kelulut dan cuci bersih-bersih. Selepas itu, tumbuk akar yang dicuci hingga agak lumat.

Tujuan menumbuk akar tersebut adalah untuk memudahkan anda mengisarnya dengan sedikit air. Minum airnya dengan sedikit madu asli.

#4 Merawat sakit najis berlendir

Apabila membuang air besar, najis yang disertai dengan sedikit lendiran adalah normal. Namun, jika berlebihan dan disertai dengan darah pastinya adalah masalah di bahagian usus. Ia akan mengakibatkan perut terasa senak dan tak selesa.

Anda boleh amalkan petua tradisional ni. Caranya ialah ambil beberapa helai daun dan akar kelulut. Kemudian, rebuskan dengan beberapa air dan tambahkan sedikit garam. Minum air rebusan sehingga sakit berkurangan.

#4 Merawat sakit perut

Jika berasa sakit perut atau perut kembung, dapatkan akar pokok kelulut yang bunganya berwarna putih (jarang-jarang dijumpai berbanding bunga ungu). Kemudian, rebus akarnya dan diminum setiap hari.

#5 Merawat kencing bernanah

Jangkitan di bahagan saluran kencing sama ada di bahagian ginjal, ureter, pundi kencing dan urethra disebabkan oleh jangkitan kuman. Penyakit ini berlaku disebabkan bakteria memasuki saluran kencing.

Jika jangkitan menjadi kronik ia akan melibatkan buah pinggang yang mengakibatkan darah dan nanah dalam air kencing. Petua untuk mengurangkan masalah ni ialah kisar daun kelulut dengan sedikit air dan ditapis. Minum perahan air pokok kelulut selama 3 hari berturut-turut.

#6 Merawat gonorea

Penyakit gonorea ialah jangkitan penyakit kelamin yang disebabkan oleh sejenis bakteria. Bakteria ini boleh berjangkit kepada individu yang lain melalui seks vagina, seks anal dan seks oral.

Penyakit gonorea akan menyebabkan sakit semasa membuang air kecil dan keluar nanah dari saluran kencing. Masalah ni boleh dirawat dengan merebus daun dan akar pokok kelulut. Kemudian, minum air tersebut sehingga gejala berkurangan.

#7 Bagi wanita lepas bersalin

Wanita yang baru lepas bersalin biasanya akan berpantang. Dikatakan pokok kelulut bagus untuk kesihatan dalaman wanita yang sedang berpantang. Ia dapat menguatkan rahim, mengecutkan luka dan memberikan tenaga.

Caranya ialah ambil akar dan daun pokok kelulut. Rebus bersama-sama dengan ubat periuk. Minum air rebusan tersebut sepanjang tempoh berpantang.

#8 Melegakan gigitan haiwan berbisa

Apabila disengat atau digigit haiwan berbisa seperti lipan, labah-labah, lebah, tebuan dan sebagainya pasti bahagian tersebut akan berasa pedih dan berdenyut-denyut. Sebelum ke klinik untuk mendapatkan rawatan, anda boleh mencuba petua tradisional untuk kurangkan kesakitan.

Caranya ialah tumbuk akar pokok kelulut bersama-sama sirih pinang. Esktrak yang terhasil bolehlah disapukan di bahagian yang sakit.

#9 Merawat sakit puru

Penyakit puru ialah sejenis penyakit kulit yang biasa menyerang haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan sebagainya. Ia berpunca daripada virus pox dan mudah berjangkit pada ternakan yang lain. Gejalanya akan mengakibatkan lepuhan berisi air pada bahagian mulut, gusi, bibir dan kulit.

Selain diberikan ubatan moden, masalah ni boleh diatasi dengan pokok kelulut. Tumbuk akar dan daun pokok kelulut. Ekstrak tersebut dicampurkan dengan sedikit kapur sirih, cuka makan dan minyak tanah. Sapukan di bahagian yang bermasalah.

#10 Melegakan sakit otot

Bagi individu yang mudah berasa letih, selalu sakit-sakit badan dan berasa kurang bermaya. Anda boleh menjadikan air rebusan pokok kelulut sebagai mandian.

#11 Kurangkan sakit kepala

Sakit kepala biasanya berlaku apabila kita kurang tidur, terlalu letih, lambat makan, stres, terlalu panas dan sebagainya. Jika anda mengalami sakit kepala, bolehlah cuba petua ni.

Caranya ialah tumbuk daun pokok kelulut kasar-kasar. Sapukan di bahagian kepala yang berasa sakit. Biarkan hingga kering.

#12 Sakit tekak dan batuk

Jika anda mengalami sakit tekak dan batuk, kisar bunga kelulut dengan sedikit garam dan air suam. Kumur beberapa kali sehingga sakit tekak hilang.

Mesti anda tak sangka, setiap bahagian pokok kelulut iaitu akar, bunga dan daunnya mempunyai sebegini banyak manfaat. Jika ada di sekeliling rumah, boleh anda cuba petua-petua yang diberikan ni.

Namun, jangan lupa. Ni hanyalah persediaan tradisional. Jika simptom penyakit masih tak berkurangan, anda perlulah merujuk klinik atau hospital. Tiada salahnya mencuba, mana tahu ia mampu mengurangkan masalah.

Jom baca juga artikel khasiat daun semambu khasiat taugeh dan khasiat daun lemuni

Rujukan

http://animhosnan.blogspot.com/2013/05/pokok-kelulut.html

http://tropical.theferns.info/viewtropical.php?id=Urena+lobata

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.