Lobak putih biasanya dijadikan sup untuk dinikmati panas-panas. Tahukah anda kelebihan dan khasiat kesihatan pengambilan lobak putih dalam diet pemakanan seharian? Jom baca artikel ini.

Pengenalan

Imej via Bidadari

Lobak putih atau nama saintifiknya Raphanus sativus tergolong dalam famili Brassicaceae. Lobak putih mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral dan sebatian bioaktif, antaranya seperti vitamin A, betakaroten, vitamin B1, riboflavin, niasin, vitamin C dan E. Selain itu, sayur ini juga dilengkapi dengan beberapa mineral penting seperti zat besi, kalsium, mangan dan zat fostor.

Lobak putih turut mengandungi asid oksalat, serat kasar dan asid folik. Di negara Korea, sayur lobak putih ini sering dijadikan antara bahan makanan yang dipanggil kimchi. Manakala di Jepun pula, kebaikan lobak putih sering dimanfaatkan sebagi salad dan dijadikan sashimi, sup atau pun ditumis serta dijadikan makanan yang dijerukkan yang dikenali sebagai takuan-zuke.

Jom ketahui apakah khasiat lobak putih.

1. Menghilangkan keputihan

Jika anda mengalami keputihan, termasuk keputihan semasa mengandung, lobak putih sangat membantu untuk membunuh kulat Candida yang menjadi punca keputihan.

Kajian makmal melaporkan bahawa ekstrak lobak putih dengan kepekatan yang rendah (1–30 μg/ml) berjaya membunuh tiga jenis kulat Candida dengan kejayaan 30-40%.

2. Kencing tak lawas

Selain masalah keputihan, lobak putih juga membantu kencing tak lawas.

Kencing tak lawas yang kebiasannya disebabkan oleh kehadiran mikroorganisma boleh diatasi dengan pengambilan lobak putih yang mempunyai banyak komponen antimikrob.

3. Menurunkan berat badan

Jus lobak putih yang diminum secara teratur mampu menurunkan berat badan. Dengan meminumnya, perut kita akan terasa kenyang dengan lebih lama.  Ini membuatkan kita dapat mengurangkan jumlah makanan yag diambil. Selain itu, ia juga mengandungi kalori yang rendah sehingga tidak menaikkan berat badan jika dimanfaatkan sebagai kudapan.

Setengah cawan lobak hanya mengandungi lebih kurang 12 kalori. Begitu juga dengan kandungan karbohidratnya yang sangat rendah, namun mengandungi banyak air.

4. Memutihkan muka

Siapa sangka lobak putih boleh dimanfaakan sebagai pemutih muka semulajadi yang selamat. Untuk mendapatkan hasil yang sempurna, kita boleh campurkan lobak putih dengan minyak zaitun. Caranya cukup mudah:

  • Ambil dua batang lobak putih dan bersihkan.
  • Kemudian parut atau dikisar.
  • Setelah itu, campurkan parutan lobak tersebut dengan minyak zaitun.
  • Sapukan dengan lembut pada muka yang telah dibersihkan dengan air suam.
  • Biarkan selama 30 minit, kemudian bilaslah muka dengan air sebersihnya.
  • Lakukannya secara rutin seminggu sekali.

5. Menyihatkan kulit

Kandungan air yang banyak dalam lobak putih ternayata dapat menjaga kelembapan kulit kita. Masalah kulit seperti kulit kering, bersisik dan mengelupas dapat dicegah dengan meminum jus lobak putih ini secara rutin.

Kecantikan kulit kita akan terjaga dengan nutrisi yang terdapat dalam lobak putih seperti vitamin C, zinc, vitamin B kompleks dan fosforus.

6. Menghancurkan batu karang

Lobak putih merupakan sayur yang memiliki sifat diuretik (merangsang air kencing) dengan kandungan potassium yang tinggi. Pengidap penyakit batu karang boleh minum setengah gelas jus lobak putih pada setiap pagi hari sebelum bersarapan.

Pengambilan jus lobak ini sebelum makan berupaya melarutkan batu karang serta mendorong pelepasan batu karang dalam air kencing. Selain bermanfaat untuk menyembuhkan penyakit batu karang, ia juga akan mencegah batu karang daripada tumbuh kembali.

Kajian terbaru tahun 2020 yang dijalankan di Iraq, melaporkan perbezaan kesan pengambilan jus lobak putih ke atas dua kumpulan tikus kajian yang mempunyai batu karang. Didapati, kumpulan yang mengambil jus lobak putih secara harian selama 28 hari menunjukkan kesan penyingkiran batu karang yang lebih baik.

7. Menyembuhkan demam & panas badan

Jus lobak putih yang dicampur dengan sedikit garam dikatakan cukup efektif untuk menyembuhkan demam dan panas badan. Bagai petua orang dahulu, bila demam, makan sup lobak putih.

Kandungan air dan sifat diuretik lobak putih seperti yang dibincangkan dalam point sebelum ini ternyata membantu melegakan demam dan menurunkan suhu badan dengan menambahkan bendalir dalam badan dan penyingkiran melalui air kencing.

8. Menyembuhkan buasir dan sembelit

Jika mengalami masalah buasir atau kerap sembelit, lobak putih sangat membantu. Lobak putih mengandungi zat yang sifatnya tidak mudah dihadamkan oleh tubuh kita.

Jadi ia akan membantu melancarkan sistem penghadaman dan mengubati masalah sembelit yang kita alami. Penyebab utama penyakit buasir adalah kerana sembelit. Jadi, jika masalah sembelit kita semakin berkurangan, lambat laun penyakit buasir yang kita hidapi itu akan juga sembuh.

Tambahan pula. lobak putih didapati mengandungi serat yang sangat tinggi yang baik untuk sistem pencernaan. Dilaporkan, hampir 30% daripada komposisi lobak putih ialah serat makanan yang sangat bagus untuk penghadaman.

9. Membersihkan buah pinggang

Sup lobak putih berfungsi untuk membersihkan buah pinggang. Ini resepinya:

  • Hiris bawang merah , bawang putih dan halia. Tumis dalam minyak yang sedikit.
  • Masukkan 3 cawan air dan rangka ayam.
  • Biar ia mendidih selama 15 minit. Masukkan serbuk pati ayam dan garam.
  • Akhir sekali, masukkan lobak putih yang telah dihiris bulat.
  • Biar ia mendidih sebentar dan boleh dihidangkan.
  • Boleh dihias dengan daun bawang dan daun sup dan tabur bawang goreng semasa menghidang.
khasiat lobak putih

Sumber: Vemale

10. Mengatasi masalah sistem penghadaman

Lobak putih mengandungi kandungan nutrisi dan khasiat pemakanan yang tinggi dan sering dikaitkan dengan mereka yang mengalami masalah penghadaman.

Masalah perut meragam sering kali berlaku akibat ketidakhadaman makanan dan ia bukan sahaja menyakitkan tetapi turut menyebabkan seluruh badan terasa tidak selesa. Salah satu kaedah dalam perubatan tradisional untuk mengubati masalah perut meragam ialah dengan menggunakan lobak putih.

11. Mencegah kanser

Lobak putih mengandungi ‘isothiocyanates’ yang dikatakan mampu membantu melawan sel kanser.  Selain itu, vitamin C yang terdapat pada lobak putih ini juga mudah larut dan diserap oleh tubuh sehingga mempunyai banyak kebaikannya untuk kesihatan.

Lobak putih mengandungi antioksidan semulajadi yang mampu melawan radikal bebas di dalam tubuh dan menjaga daya ketahanan badan dari dalam.

Di samping itu, pengkaji dari Jepun pada tahun 2008, melaporkan bahawa sejenis enzim yang banyak terdapat pada lapisan luar kulit lobak putih ini iaitu myrosinase, mempunyai sifat antimikrob, antikanser dan antimutagenik yang sangat baik.

Mereka menasihatkan bahawa semasa penyediaan lobak putih untuk dimasak, bahagian luar lobak putih itu tidak dibuang terlalu banyak bagi mengelakkan lebih banyak khasiat myrosinase terbuang.

Khasiat Lain

Imej via Bidadari

Di antara khasiat lain lobak putih ialah:

  • Menjaga kesihatan gigi, gusi, saraf, rambut dan kuku.
  • Merangsang nafsu makan.
  • Menghilangkan gugup dan darah gemuruh.
  • Baik untuk mereka yang menghadapi masalah pernafasan.
  • Mengatasi masalah pencernaan.
  • Meredakan sembelit.
  • Merawat selsema.
  • Membantu mengurangkan gejala tuberkulosis atau batuk kering.
  • Lobak putih juga mempunyai kesan diuretik ringan yang membantu meningkatkan pengeluaran kencing oleh buah pinggang. Elok untuk pesakit batu karang.
  • Baik untuk pesakit diabetes.
  • Mengurangkan bronkitis.
  • Mengurangkan sakit tekak.
  • Mengurangkan gejala asma.
  • Mengurangkan batuk.
  • Mengurangkan selesema.
  • Ia bertindak menentang bakteria, menguatkan limpa serta mempunyai kesan-kesan antipiretik.

Rujukan

  1. Aerts, A. M., Carmona-Gutierrez, D., Lefevre, S., Govaert, G., François, I. E., Madeo, F., … & Thevissen, K. (2009). The antifungal plant defensin RsAFP2 from radish induces apoptosis in a metacaspase independent way in Candida albicans. FEBS letters583(15), 2513-2516.
  2. Aziz, F. M., & Hassan, D. H. (2020). Radish Juice Promote Kidney Stone Deposition in Ethylene Glycol-induced Urolithiasis in Rats. Cihan University-Erbil Scientific Journal4(1), 57-61.
  3. Nakamura, Y., Nakamura, K., Asai, Y., Wada, T., Tanaka, K., Matsuo, T., … & Park, E. Y. (2008). Comparison of the glucosinolate− myrosinase systems among daikon (Raphanus sativus, Japanese white radish) varieties. Journal of agricultural and food chemistry56(8), 2702-2707.

 

Itulah dia khasiat lobak putih yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang khasiat yogurt dan khasiat gamat

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.