Ada orang selalu berasa hatinya kosong, seolah-olah hidupnya tiada makna. Sekadar meneruskan kehidupan dari hari ke hari seperti robot layaknya. Hati yang kosong bukanlah bermakna anda mempunyai masalah mental atau psikologi, ianya cuma perasaan yang anda alami. Ianya boleh diatasi sekiranya anda tahu kenapa hati rasa kosong dan elakkan perkara-perkara tersebut.

1. Jauh dari agama

Punca pertama hati berasa kosong ialah disebabkan anda jauh daripada agama. Bila kali terakhir anda bersolat dengan penuh kusyuk? Bila kali terkahir anda mengaji Al-Quran? Bila kali terakhir anda bangun di tengah malam untuk berqiamullail? Jiwa dan rohani anda juga memerlukan makanan. Tanpa ibadah, jiwa anda akan terasa kosong. Akibatnya, hati juga akan berasa kosong.

2. Kurang bersyukur

Sebab kedua hati berasa kosong ialah kerana anda kurang bersyukur di atas segala yang anda ada pada hari ini. Apabila anda terlupa untuk bersyukur, ia bermakna anda tidak menghargai kehidupan yang anda ada pada hari ini. Hati anda berasa kosong kerana merasakan bahawa anda tidak mempunyai apa-apa.

3. Terlalu membesar-besarkan kegagalan

Hati juga akan berasa kosong disebabkan sika panda yang suka membesar-besarkan kegagalan yang anda lalui, walau pun ianya hanyalah sebuah kegagalan yang kecil. Jika anda terlalu memikirkan kegagalan, anda tidak akan mampu untuk bangun semula dan menjadi seorang yang lebih kuat untuk meneruskan hiduop.

4. Menyimpan dendam dan marah yang memakan diri

Tabiat suka menyimpan dengan dan marah didalam hati juga akan memakan diri dan menyebabkan hati berasa kosong. Menyimpan dendam dan marah akan menyebabkan anda sentiasa berada dalam emosi yang tidak baik dan merosakkan hati. Malah ia juga boleh menjejaskan kesihatan.

Oleh itu, kalau hati anda berasa kosong, cuba belajar untuk tidak menyimpan dendam dan marah. Maafkan mereka yang pernah melakukan kesalahan kepada anda. Apabila bebanan perasaan tersebut hilang, hati kosong anda juga akan hilang. Percayalah!

5. Suka bersendiri

Hati akan berasa kosong sekiranya anda memilih untuk suka bersendiri. Apabila anda bersendirian dengan kerap, anda akan mula memikirkan perkara yang bukan-bukan, termasuk mencipta sesuatu yang tidak ada. Manusia perlu hidup bersama masyarakat dan bergaul dengan orang tersayang. Bersendirian bukanlah fitrah seorang manusia.

Oleh itu, jika hati anda terasa kosong, kurangkan bersendirian. Jangan memerap di dalam bilik. Bergaullah dengan ahli keluarga. Keluar dengan kawan-kawan pada hujung minggu. Insya Allah hati anda tidak akan terasa kosong lagi apabila anda tidak lagi terlalu banyak bersendirian.

6. Menganggap hidup orang lain lebih baik daripada hidup sendiri

Ada orang berasa kosong kerana menganggap bahawa hidup orang lain adalah jauh lebih baik daripada hidupnya. Bak kata orang-orang lama, rumput di halaman orang biasanya Nampak lebih hijau daripada rumput di laman sendiri. Ini adalah sikap yang akan memakan diri dan menyebabkan hati berasa kosong.

Ketahuilah bahawa setiap manusia mempunyai cabaran hidup yang tersendiri. Yang ditunjukkan biasanya adalah yang manis-manis sahaja. Segala yang pahit akan dihadapi sendirian tanpa dicanang kepada orang ramai. Oleh itu, berhenti merasakan bahawa hidup orang lain jauh lebih baik daripada hidup anda.

7. Suka membandingkan diri dengan pencapaian orang lain

Kenapa hati berasa kosong yang seterusnya ialah kerana suka membandingkan diri dengan pencapaian orang lain. Contohnya, anda mempunyai rakan sekelas sejak sekolah rendah. Hari ini dia sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang comel, sedangkan anda masih bujang. Hari ini dia sudah mempunyai rumah sendiri dengan kereta yang selesa sedangkan anda masih tinggal bersama ibu bapa dan membawa kereta kecil buatan Malaysia.

Sikap suka membandingkan pencapaian sendiri dengan orang lain akan menyebabkan hati anda berasa kosong akibat merasakan bahawa anda adalah seorang yang gagal. Ketahuilah bahawa sesungguhnya rezeki setiap manusia sudah ditentukan oleh Allah. Bahagia dengan cara tersendiri.

8. Tidak menghargai diri sendiri

Hati juga akan berasa kosong sekiranya anda tidak menghargai diri sendiri seperti yang sepatutnya. Berilah penghargaan di atas setiap kejayaan yang anda kecapi, walau pun kecil. Berbanggalah dengan siapa diri anda pada hari ini kerana tak mudah untuk anda berada di mana anda berada sekarang tanpa usaha sendiri.

9. Mengharapkan sesuatu yang keterlaluan daripada kemampuan diri

Ada orang hatinya berasa kosong kerana terlalu mengharapkan sesuatu yang keterlaluan daripada diri sendiri walau pun sedar bahawa ianya adalah diluar kemampuan diri.  Sikap sebegini akan menyebabkan hati anda berasa kosong dan anda berasa seolah-olah hidup anda tidak berguna.

10. Masih hidup dalam hari semalam

Akhir sekali, hati berasa kosong disebabkan oleh anda masih hidup dalam hari semalam. Sebagai contoh, apabila hubungan cinta anda putus di tengah jalan, hati anda berasa kosong kerana anda masih tak move on daripada kekecewaan tersebut. Anda memilih untuk terus bersedih dan bergelumang dengan kekecewaan.

Atau mungkin juga hati anda berasa kosong selepas kematian insan yang tersayang. Anda terlalu lama berkabung dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa insan yang anda sayang sudah kembali kepada penciptanya. Sebagai akibat, hati anda akan berasa kosong.

Itulah dia info  tentang kenapa hati rasa kosong yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.