Bila sebut tentang rezeki, pastinya perkara pertama yang terlintas di fikiran kita adalah duit. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan sejak dulu lagi bagi masyarakat di seluruh dunia untuk mengaitkan rezeki dengan duit,  kemewahan serta harta-benda yang melimpah-ruah.

Namun begitu yang sebenarnya dari sudut pandangan islam, rezeki bukanlah sekadar duit semata-mata malah ianya sangat luas dan merangkumi seluruh aspek kehidupan. Nak tak kalau kami kongsikan jenis rezeki yang ramai orang tak perasan?

jenis rezeki

Sumber: Vanillakismis

Dipermudahkan urusan

Di antara rezeki bukan dalam bentuk duit yang kita selalu terlepas pandang ialah apabila segala urusan kita dipermudahkan. Di antara senario di mana urusan kita dipermudahkan adalah seperti berikut:

  • Senang mendapat parking semasa berada di premis yang padat dan susah untuk mendapat parking.
  • Mudah mendapat kerja.
  • Apabila kereta kita rosak ada insan yang memberikan bantuan.
  • Apabila kita dalam kesulitan ada sahaja jalan penyelesaiannya.

Dikelilingi insan yang baik

Dikelilingi insan yang baik juga adalah salah satu jenis rezeki yang tidak semua orang diberikan rezeki untuk merasa. Sesungguhnya dengan siapa kita bergaul akan membentuk siapa diri kita. Jika kita berkawan dengan penagih dadah, kemungkinan besar kita juga akhirnya akan menjadi seorang penagih dadah. Kalau kita membiasakan diri bergaul dengan insan baik yang mengajak kita kepada kebaikan, insya Allah pastinya kita juga akan menjadi seorang yang baik.

Ditemukan dengan jodoh

Ditemukan dengan jodoh juga merupakan salah satu jenis rezeki bukan dalam bentuk duit. Sudahkan anda bersyukur kerana sudah berumah tangga? Cuba perhatikan di kalangan ahli keluarga dan kenalan anda, pastinya ada beberapa individu yang sudah masuk kategori berumur namun masih lagi memegang status bujang kerana belum bertemu jodoh. Sesungguhnya jodoh pertemuan adalah ketentuan tuhan. Oleh itu bersyukurlah kerana takdir anda ditulis dengan berjodoh.

Mendapat suami yang baik dan menjalankan tanggung jawab tanpa culas

Selain rezeki untuk bertemu jodoh, jenis rezeki yang seterusnya ialah diberikan suami yang baik dan menjalankan tanggung jawab tanpa culas.

"

Jika berbicara tentang perkahwinan, ramai yang diberikan rezeki untuk berkahwin namun tak semua bernasib baik untuk mendapat suami yang baik dan bertanggung jawab. Oleh itu bersyukurlah jika anda dikurniakan suami yang baik.

Dikurniakan cahayamata

Selain mendapat suami yang baik dan bertanggung jawab, mendapat cahayamata sebagai penyeri rumah tangga juga adalah jenis rezeki yang wajib untuk disyukuri. Berapa banyak pasangan yang masih berdua dan sabar menunggu kehadiran seorang anak kecil sebagai lambing cinta mereka?

Oleh itu jangan sesekali lupa untuk mengucapkan kesyukuran kepada Allah dengan amanah yang diberikan. Oleh itu, jalankanlah tanggung jawab sebagai ibu bapa dengan sebaiknya sebagai tanda kita bersyukur dengan rezeki yang diberikan.

jenis rezeki

Sumber: Pa&ma

Diberikan anak yang soleh dan solehah yang mendengar kata dan menyejukkan hati

Anak yang soleh dan solehah adalah idaman semua ibu bapa. Ini kerana doa anak yang soleh dan solehah adalah salah satu bekalan yang akan dibawa ke akhirat nanti. Namun tidak dinafikan bahawa tidak semua ibu bapa bertuah untuk mendapat anak yang baik dan mendengar kata. Oleh itu ibu bapa yang mendapat anak soleh an solehah adalah sangat beruntung.

Diberikan kesihatan tubuh badan

Nikmat kesihatan adalah jenis rezeki yang sangat didambakan oleh manusia. Apalah gunanya duit yang banyak, pangkat dan kedudukan yang tinggi, rumah yang besar, harta-benda yang melimpah, isteri yang cantik, suami yang hebat, dan anak-anak yang berjaya dalam hidup jika kita sakit dan terlantar tidak dapat menikmati hidup.

Betapa ramai orang kaya dan berada yang sanggup berhabis duit demi mendapatkan kesihatan. Oleh itu jangan mengeluh jika berasa hidup serba kekurangan. Ini kerana segala kemewahan dan kesenangan hidup di dunia tidak dapat membeli kesihatan malah semua kemewahan tidak bermakna langsung jika terlantar saki.

Diberikan pekerjaan yang baik

Jenis rezeki bukan duit yang seterusnya ialah diberikan pekerjaan yang baik. Mungkin pada anda kerjaya sekarang hanya biasa-biasa sahaja, tiada yang istimewa. Anda pergi bekerja setiap hari demi kelangsungan hidup sambil berharap untuk mendapat tawaran kerja lain yang lebih baik dengan gaji yang lebih besar.

Namun tahukah anda bahawa dalam diam ramai orang diluar sana yang cemburukan pekerjaan anda dan sangat ingin untuk menggantikan tempat anda.

Diberikan kehidupan yang bahagia

Kehidupan yang bahagia adalah impian setiap manusia. Secara fitrahnya setiap insan inginkan hidup bahagia dan tenang bersama suami dan anak-anak. Diberikan ketenangan jiwa. Dijauhi dari masalah dan dugaan yang membuatkan hati berasa resah dan kecewa. Jika kita diberikan hidup yang bahagia, bersyukurlah kerana diberikan rezeki yang tidak ternilai oleh Allah.

Diberikan keringanan untuk melakukan ibadah dan merasai kemanisan iman

Jenis rezeki bukan dalam bentuk duit yang terakhir ingin kami kongsikan pada hari ini ialah rezeki diberikan keringanan dalam melakukan ibadah dan merasai manisnya iman.

Berapa ramai manusia di dunia yang masih lalai dengan dunia dan alpa, tidak menjalankan ibadah seperti yang sepatutnya. Berapa ramai yang masih belum merasai manisnya iman sehingga tidak takut untuk melakukan dosa? Oleh itu beruntunglah bagi mereka yang diberikan kemanisan iman dan berasa ringan untuk melakukan amal ibadah.

Kesimpulan

Itulah dia info tentang jenis rezeki bukan sekadar duit yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca kurang rezeki, keberkatan rezeki, dan amalan menjemput rezeki.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.