Meroyan atau kemurungan selepas bersalin adalah satu keadaan di mana si ibu mengalami kemurungan atau depresi selepas melahirkan anak. Kami kongsikan rawatan untuk kemurungan selepas bersalin.

Proses kelahiran, sama ada normal atau secara pembedahan C-Seksyen, merupakan satu proses yang mencabar. Ia menuntut banyak kesabaran, tenaga, dan pengorbanan daripada si ibu.

Sakitnya pula tidak mampu diluah atau diceritakan. Maka, tidak hairanlah jika ada para ibu yang trauma sebaik sahaja melalui proses ini, terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak.

rawatan untuk kemurungan selepas bersalin

Sumber: Sarawakvoice

Apakah rawatan untuk meroyan atau postpartum psychosis?

Apa yang perlu dilakukan jika anda mengesyaki seseorang yang anda kenali mengalami masalah kemurungan selepas bersalin?

1. Terima hakikat

Terima hakikat bahawa orang yang kita sayang sedang mengalami kemurungan selepas bersalin. Bukannya berlakon, mengada-ngada atau sengaja dibuat-buat.

2. Bawa berjumpa pakar psikiatri dengan segera

Bawa dia berjumpa dengan pakar psikiatri dengan segera. Buang stigma bahawa pakar psikiatri adalah untuk orang gila. Sebenarnya, mereka adalah pakar kesihatan yang memberikan rawatan terbaik bagi gangguan emosi dan mental.

3. Pastikan ubat yang diberikan oleh doktor dimakan mengikut waktunya

Ubat dan rawatan susulan yang disarankan oleh pakar psikiatri perlu diberikan kepada si ibu dengan sempurna. Ubat yang diberikan akan membantu mengurangkan simptom seperti tiada selera makan, keletihan, dan masalah tidur.

4. Teruskan proses kaunseling, hadiri temujanji susulan

Pastikan si ibu menghadiri setiap temujanji susulan.

5. Berikan sokongan emosi

Yang paling utama, sokongan daripada si suami. Berikan empati dengan isteri. Fahamilah dirinya. Jangan dibebankan fizikal dan emosinya semasa proses pantang. Berikan dakapan mesra dan kata-kata sayang selalu supaya si ibu sentiasa berasa dihargai.

Sokongan emosi daripada suami dan ahli keluarga adalah rawatan terbaik untuk ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin.

rawatan untuk kemurungan selepas bersalin Sumber: Fidelityhouse[/caption]

6. Berikan bantuan untuk menjaga bayi

Berikan bantuan untuk menjaga si kecil yang baru lahir. Bebanan menjaga bayi seorang diri boleh menyebabkan kemurungan selepas bersalin sukar untuk dirawat.

7. Pastikan mendapat rehat yang mencukupi

Pastikan si ibu mendapat rehat yang mencukupi. Ibu beranak kecil lazimnya kepenatan kerana menyusukan dan menjaga anak yang tidak tidur malam. Dengan bantuan anda, si ibu akan dapat berehat. Keletihan dan kepenatan melampau juga boleh membawa kepada tekanan emosi seterusnya kemurungan selepas bersalin.

8. Pastikan luka bersalin atau luka pembedahan berada dalam keadaan yang baik

Pastikan luka bersalin atau luka pembedahan si ibu sembuh dengan baik. Sebarang jangkitan akan menyebabkan si ibu jatuh sakit dan menyebabkan emosinya terganggu.

9. Pastikan si ibu mendapat jagaan selepas bersalin yang baik

Ibu yang baru bersalin perlu diberi perhatian dan jagaan penuh sama ada oleh si suami atau ahli keluarga terdekat. Keperluannya ketika berpantang perlu di penuhi. Aspek penjagaan semasa tempoh berpantang juga amat penting seperti berurut, berbengkung, dan bertangas kerana pada masa sama, ia dapat mengeluarkan gumpalan darah kotor yang masih berada di dalam rahim.

rawatan untuk kemurungan selepas bersalin Sumber: 100comments

10. Jaga pemakanan

Jaga pemakanan si ibu. Kadangkala, cara berpantang tradisional yang sangat ketat juga akan membuatkan si ibu rimas dan mula terganggu emosi dan mentalnya. Masukkan nutrien yang mencukupi ke dalam pemakanan si ibu kerana dengan mineral dan zat vitamin yang sempurna, si ibu dapat menghasilkan susu yang banyak, menyusukan bayi dengan baik, mengurangkan perasaan risau atau tertekan, dan sekaligus mengeratkan kasih sayang ibu dengan bayi.

11. Supplement

Selain dari pemakanan, pengambilan supplemen juga perlu dititikberatkan bagi menampung keperluan nutrisi ibu selepas bersalin. Nutrisi yang lengkap penting untuk ibu lepas bersalin bukan sahaja untuk membantu ibu-ibu kembali cergas malah bagus untuk penyembuhan dalaman yang lebih cepat dan juga menyokong kesihatan mental dan fizikal ibu.

12. Jangan tinggalkan dia berseorangan

Banyakkan bersembang dan berkongsi cerita dengan si ibu. Ini untuk mengelakkan daripada dia duduk berseorangan dan mula melayan perasaan.

13. Galakkan supaya mendekatkan diri dengan Allah

Galakkan si ibu untuk memperbanyakkan berzikir, membaca & mendengar alunan Al-Qur’an serta ceramah-ceramah agama yang bermanfaat bagi memastikan tahap emosi dan spiritual berada dalam keadaan yang sihat.

14. Galakkan supaya menambah ilmu keibu bapaan

Galakkan juga si ibu untuk banyak membaca atau belajar tentang ilmu keibubapaan ketika berpantang. Dapatkan lebih informasi dan pengetahuan tentang penjagaan bayi, penyusuan, masalah yang bakal dihadapi selepas kelahiran dan juga perubahan diri yang bakal dialami.

Persediaan ini bantu mengurangkan tekanan kerana ibu dapat mengawal keadaannya jika menghadapi kesukaran dan emosi akan lebih terkawal.

rawatan untuk kemurungan selepas bersalin Sumber: Medium

15. Senaman ringan

Galakkan si ibu untuk bersenam ringan. Senaman membantu si ibu berasa lebih cergas secara fizikal dan mental. Hanya dengan berjalan-jalan di kawasan sekitar halaman pun sudah memadai.

16. Libatkan diri dengan kumpulan sokongan

Galakkan si ibu untuk mengaktifkan diri dalam pelbagai laman sosial dengan menyertai kumpulan sokongan ibu-ibu berpantang dan menyusu. Di sini terdapat pelbagai perkongsian pengalaman dan saling memberikan sokongan.

17. Ingatkan supaya sentiasa berfikiran positif

Walau pelbagai dugaan yang menimpa, ingatkan si ibu supaya sentiasa ingat bahawa Allah selalu ada untuk kita. Pasti ada sesuatu yang baik sedang menunggu kita. Jangan bebankan diri dengan memikirkan sesuatu yang negatif. Nikmatilah waktu berpantang dengan penuh gembira. Disaat ini, sokongan orang terdekat sangat diperlukan.

18. Ingatkan supaya sentiasa bersifat realistik

Semasa tempoh berpantang, si ibu sememangnya perlu mengambil berat tentang aspek kesihatan diri dan pada masa yang sama belajar teknik pengurusan bayi dengan betul. Ingatkan supaya jangan sesekali bebankan diri dengan perkara-perkara yang sukar dilaksanakan. Apa yang penting, kita tanamkan rasa seronok dengan pengalaman menjadi seorang ibu

19. Isi masa dengan aktiviti berfaedah

Bantu si ibu untuk mengisi masa lapang dengan aktivit yang berfaedah supaya tiada masa untuk melayan perasaan.

Itulah dia rawatan untuk kemurungan selepas bersalin yang perlu anda tahu. Semoga perkongsian kami ini bermanfaat buat anda.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.