Makan bersama lauk ikan kerapu jadi cadangan untuk makan tengah hari mahupun makan malam. Lauk ini pula semestinya lazat sangat dimakan bersama nasi putih dan ulam-ulaman. Terdapat pelbagai resepi masak ikan kerapu yang lazat dan mudah untuk anda cuba di rumah. Sila pilih antara 10 resepi di bawah yang jadi kegemaran anda.

1. Ikan Kerapu Celup Tepung DSV

Imej via Facebook

Siapa peminat ikan kerapu mari kami kongsikan resepi ikan kerapu sedap. Resepi ini diberi nama ikan kerapu celup tepung 10 rasa ala dato’ Seri Vida. Resepi menarik kerana menggunakan campuran air asam jawa dan gula melaka. Setelah dicubakan oleh Zurina Zulkefli didapati bahawa resepi ini sangat sedap! kuah dia memang sedap, tapi tidak tahu pula kenapa nama dia 10 rasa. Mari cubakan.

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan kerapu,
  • Tepung goreng serbaguna,
  • 1 sudu besar pes asam jawa,
  • 1 ketul mini gula melaka (ditumbuk hancur),
  • 1 mangkuk kecil sos ikan,
  • 1 biji limau nipis (jus),
  • 1 biji bawang merah (hiris),
  • 5 tangkai lada kecik (potong kecil),
  • 1 biji tomato (potong dadu),
  • 1 akar daun ketumbar (diracik),
  • Bawang putih cincang (tak letak pun tak apa).
Cara-cara :
  1. Mula-mula buatkan kuah dengan cara campurkan air panas, asam jawa, gula melaka, sos ikan, jus limau nipis, hirisan bawang, lada, tomato.
  2. Masukkan bawang putih goreng untuk rasa lagi sedap.
  3. Gaulkan kesemuanya dan perasakan dengan sedikit gula dan garam.
  4. Jangan lupa racikkan daun ketumbar ke dalam kuah untuk rasa yang lengkap.
  5. Setelah itu, hiriskan bahagian badan ikan dan salutkan dengan tepung serbaguna.
  6. Goreng ikan dalam minyak yang panas sehingga warna keemasan.
  7. Angkat ikan dan toskan minyak.
  8. Akhir sekali tuangkan campuran kuah tadi ke atas ikan. Sedia dihidang.

2. Ikan Kerapu Goreng Halia dan Bawang Putih

Imej via Facebook

Hidangan ini amat sedap kalau makan dengan nasi putih panas konfirm makan bertambah-tambah. Yan Alif berkongsi resepi ikan kerapu goreng halia dan bawang putih di laman Facebook. Jom masuk senarai masak minggu ini.

Bahan Ikan :
  • Ikan kerapu dilumur garam dan kunyit, sebelum goreng lumur sedikit dengan tepung jagung. Goreng dengan minyak yang banyak. Ikut suka garing nya. Lepas goreng, perahkan limau ke atas ikan.
Bahan A :
  • 2 inci halia muda, potong panjang,
  • Cili padi potong halus (ikut suka banyak mana),
  • Bawang putih potong nipis,
  • Semua bahan B digoreng garing. Goreng asing-asing.
Bahan B :
  • 3 sudu besar kicap cair,
  • 1 sudu besar kicap pekat,
  • 1 sudu besar sos ikan,
  • 3 titik minyak bijan,
  • 1 sudu kecil gula,
  • Minyak 1 sudu besar.
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak, kemudian campurkan semua bahan B. Api jangan kuat sangat, nanti hangus kicapnya. Kacau sampai menggelegak. Tutup api.
  2. Taburkan semua bahan A yang sudah digoreng garing ke atas ikan.
  3. Curahkan bahan B ke atas ikan. Siap.

3. Resepi Kengsom Kerapu

Imej via Facebook

Siapa suka makan kengsom ala Thai? Kengsom ialah makanan asal Thailand yang berkuah pedas. Kengsom sedap dimakan dengan nasi putih di waktu tengah hari. Mar Maria berkongsi resepi kengsom mudah di laman Facebook. Sesiapa yang pertama kali cuba gerenti menjadi.

Bahan-bahan :
  • Ikan kerapu,
  • *10 biji cili padi,
  • *5 ulas bawang putih,
  • *8 ulas bawang merah,
  • *1 inci belacan,
  • *1 inci kunyit hidup (setengah sudu serbuk kunyit),
  • *1 inci lengkuas (optional),
  • * Setengah cawan air asam jawa,
  • 2 batang serai diketuk,
  • Sayur kangkung/nenas,
  • Air,
  • Garam.
Cara-cara :
  1. Blender bahan bertanda * dan rebus dalam air mendidih.
  2. Masukkan juga serai.
  3. Selepas mendidih, masukkan ikan.
  4. Apabila ikan sudah masak, letak garam secukup rasa.
  5. Akhir sekali baru letak kangkung/nenas tadi.
  6. Tutup api, siap untuk dihidang.

4. Resepi Kari Kepala Ikan Kerapu Tanpa Santan

Imej via Facebook

Masak sejenis lauk ringan-ringan. Kari kepala ikan kerapu tanpa santan. Siapa peminat kari ikan masak tanpa santan sila cuba resepi yang dikongsikan oleh Ezan Jelita di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Kepala ikan kerapu boron (bersihkan dengan air asam jawa),
  • 2 biji bawang besar (dihiris),
  • 2 ulas bawang putih (dihiris),
  • 1 inci halia (dihiris),
  • 2 tangkai daun kari,
  • 3 sudu makan serbuk kari ikan (dibancuh dengan sedikit air),
  • Garam dan sedikit gula,
  • 1 sudu besar halba campur,
  • Semangkuk kecil air asam jawa,
  • Tomato (dibelah 4),
  • Cili padi/cili merah besar,
  • Bendi,
  • Minyak untuk menumis.
Cara-cara :
  1. Tumiskan bawang merah, bawang putih, daun kari serta halba.
  2. Campur bahan tumis hingga wangi.
  3. Kemudian masukkan bancuhan rempah kari dan tumis lagi hingga garing atau pecah minyak.
  4. Masukkan air secukupnya. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
  5. Kemudian masukkan air asam jawa, garam dan gula, kepekatan kuah bergantung kalau ingin cair tambahkan sedikit lagi air, bila sudah mendidih masukkan ikan. Tidak perlu kacau hanya biarkan saja.
  6. Apabila ikan sudah hampir masak masukkan bendi dan tomato.
  7. Setelah masak, angkat dan hidangkan.

5. Resepi Ikan Kerapu Kukus/Stim

Imej via Facebook

Ikan kerapu kukus/stim untuk makan malam disediakan oleh Zulfazdli Md Noordin di laman Facebook. Lagilah kalau dapat ikan segar lepas mancing mestilah sedap sangat.

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan (dibersihkan),
  • 1 batang serai (diketuk),
  • 5 ulas bawang putih (dihiris),
  • 2 inci halia (dihiris),
  • 1-2 biji limau nipis (ambil jusnya),
  • 2-3 biji cili padi (dihiris) – optional,
  • 1 biji tomato,
  • Sedikit garam dan gula,
  • 1 sudu makan sos ikan atau sos tiram,
  • Sedikit air,
  • Sedikit daun sup (dihiris) dan daun bawang untuk hiasan.
Cara-cara :
  1. Sediakan pengukus. Jerangkan airnya dengan api sederhana. Sediakan bekas tahan panas atau loyang.
  2. Lumurkan ikan dengan garam. Kemudian letak di dalam bekas tadi.
  3. Taburkan hirisan bawang putih, halia dan masukkan serai. Kukus selama 15-20 minit.
  4. Sementara itu, satukan sedikit air bersama sos ikan/sos tiram dan gula. Bancuhkan.
  5. Buka penutup kukusan, masukkan tomato serta air yang sudah dicampurkan dengan sos tiram tadi. Kukus lagi 5 minit.
  6. Akhir sekali masukkan jus limau dan cili padi. Kacau perlahan. Jika kurang masin boleh tambah garam. Kukus lagi selama 2-3 minit.
  7. Setelah masak, taburkan hirisan daun sup/daun bawang.
  8. Hidangkan dan sedia untuk dinikmati bersama nasi putih.

6. Resepi Kerapu Masak Cili Api

Imej via Facebook

Antara resepi ikan kerapu yang paling biasa dibuat adalah masak cili api. Ikan kerapu cili api sangat mudah untuk disediakan. Tidak memakan masa di dapur. Jom kita tengok resepinya dikongsikan oleh Shazana Hassan di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan kerapu,
  • 15 biji cili padi@cili api,
  • 4 biji bawang merah@bawang kecil,
  • 1 ulas bawang putih,
  • 1 sudu besar sos tiram,
  • 1 biji lobak merah,
  • 1 pokok daun bawang,
  • 1/3 sudu kecil asam jawa.
Cara-cara :
  1. Basuh bersih dan lumurkan garam kunyit pada ikan kerapu yang telah dipotong bentuk rama rama.
  2. Kisar cili api, bawang merah dan bawang putih dalam mesin pengisar sampai lumat dalam 2 minit sahaja.
  3. Lobak merah dipotong panjang-panjang.
  4. Daun bawang dipotong panjang.
  5. Ikan yang sudah siap diberi garam kunyit tadi digoreng sampai garing dalam minyak yang panas.
  6. Lepas itu masakkan pula cili yang telah dikisar bersama bawang sampai garing atau pecah minyak.
  7. Jika cili sudah garing, masukkan pula lobak merah dan juga sos tiram.
  8. Bila lobak merah sudah agak empuk. Masukkan pula daun bawang dan juga air asam jawa yang dibancuh dengan setengah gelas air.
  9. Masak lagi sehingga sebati rasanya.
  10. Kalau kurang masin boleh lah korang tambah garam tapi sos tiram pun sudah ada rasa masin.
  11. Bila sambal sudah masak, boleh terus dicurahkan ke atas ikan.

7. Resepi Ikan Kerapu Masak Asam Pedas Johor

Imej via Facebook

Sesiapa mencari idea masak ikan kerapu. Asam pedas Johor boleh masuk senarai menu hari ini. Serai dan daun kesum ialah wajib ada. Sila cubakan dan makan bersama nasi putih panas. Sedapnya hirup kuah dia. Resepi dikongsikan oleh Cik Puan Eta di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Ikan 3 @ 4 ekor,
  • Cili kering segenggam,
  • Bawang besar 3 biji,
  • Bawang merah kecil 5 biji,
  • Bawang putih 5 biji,
  • Halia sebesar ibu jari,
  • Biji lada hitam 1 sudu kecil,
  • Belacan 1 sudu kecil,
  • Serai 3 batang (ketuk sahaja),
  • Daun kesum,
  • Kacang bendi (optional).
Cara-cara :
  1. Blend cili kering, bawang, halia, lada hitam, dan belacan.
  2. Panaskan minyak tidak terlampau banyak, masukkan serai ketuk.
  3. Agak-agak sudah wangi, masukkan bahan kisar tadi. Tumiskan sampai pecah minyak (kena lama harap bersabar).
  4. Kalau sudah pecah minyak masukkan garam, aji dan gula.
  5. Kemudian masukkan air agak-agak berkuah. (Jangan masukkan banyak sangat nanti kuah asam pedas jadi cair). Tunggu mendidih.
  6. Bila sudah mendidih masukkan air asam jawa, bendi dan daun kesum. Tunggu mendidih dalam 5 minit.
  7. Kemudian baru masukkan ikan. Jangan reneh ikan terlalu lama nanti dia hancur.
  8. Tambahkan perasa.

8. Resepi Ikan Kerapu Masak Tiga Rasa

Imej via Facebook

Masak kerapu 3 rasa ala thai memang bikin terliur. Menu ini amat sedap dimakan dengan nasi putih panas. Kena letak nenas supaya dapat rasa masamnya itu. Resepi kerapu masak ikan 3 rasa dikongsikan oleh Nur Fadila di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 6-8 ulas bawang putih dicincang halus,
  • 1 biji bawang holand dipotong dadu,
  • 2 biji tomato dipotong dadu,
  • 10-15 biji cili api dipotong kecil,
  • 2 batang serai dihiris nipis,
  • 3 keping nenas dipotong dadu,
  • 1 biji buah mangga muda dicincang memanjang,
  • Akar ketumbar,
  • Daun ketumbar,
  • Sos tomato,
  • Sos cili,
  • Sos tiram,
  • Kicap phu khaw tong (sos ikan pun boleh tapi jangan letak banyak),
  • Aji,
  • Gula,
  • Air masak.
Cara-cara :
  1. Goreng ikan kerapu yang siap dilumur dengan garam sampai garing, asingkan.
  2. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumis bawang putih sehingga harum.
  3. Kemudian masukkan kesemua bahan-bahan yang dipotong tadi kecuali daun ketumbar. Kacau sekejap sehingga naik bau dan lembut.
  4. Terus masukkan sos tomato dan sos cili dengan kuantiti yang banyak.
  5. Lalu masukkan sos tiram dan kicap phu khaw tong atau sos ikan.
  6. Seterusnya masukkan juga aji dan secubit gula. Kacau sehingga mendidih.
  7. Masukkan juga akar ketumbar yang diketuk ke dalam sos.
  8. Masukkan sedikit air masak, agak-agak kuah tidak pekat sangat dan jangan cair sangat, siap.
  9. Jika sos sudah masak boleh terus dicurahkan ke atas ikan kerapu yang digoreng garing tadi.
  10. Kemudian taburkan daun ketumbar yang siap dipotong.

9. Resepi Ikan Kukus Halia ala Chinese

Imej via Facebook

Menu ini merupakan menu kegemaran di restoran cina muslim. Tapi harganya boleh tahan mahal juga. Buat sendiri lebih puas dan jimat bukan? Mari kami tunjuk ajar cara masaknya dengan resepi daripada Na Haryiani Long Man di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan kerapu dibersihkan,
  • 1 ketul halia muda dihiris ikut banyak yang disuka,
  • 1 ulas bawang besar diracik halus,
  • 2 ulas bawang putih dicincang,
  • 5-6 biji cili padi dipotong – optional,
  • Daun sup dicincang,
  • Daun bawang dipotong.
Bahan sos digaul bersama :
  • 2-3 sudu besar kicap manis atau kicap biasa yang pekat,
  • 3 sudu besar sos tiram,
  • 2 sudu besar kicap cair – boleh gantikan dengan garam,
  • 1 sudu besar tepung jagung,
  • 1 cawan air (atau lebih jika perlu),
  • 1 sudu kecil lada sulah,
  • 1 sudu teh minyak bijan.
Bahan tumis :
  • Sedikit halia yang diracik,
  • 3 ulas bawang putih,
  • 3 ulas bawang merah,
  • Sedikit minyak.
Cara-cara :
  1. Ikan digaul dengan garam dan letakkan dalam pinggan atau dulang kukus.
  2. Letak ratakan halia muda, bawang putih dan bawang besar diatas ikan serta letak sedikit didalam perut ikan.
  3. Tabur cili padi, daun sup dan daun bawang.
  4. Panaskan kukusan sehingga mendidih.
  5. Masukkan ikan. Tuang bahan sos yang dikacau sebati.
  6. Kukus sehingga masak. Sesekali buka penutup, dan kacau sos ditepi ikan supaya rata. Jika mata ikan sudah putih dan lembut tandanya ikan sudah masak.
  7. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumis sehingga kekuningan.
  8. Terus curahkan ke atas ikan di dalam kukusan tadi.
  9. Letakkan juga sedikit minyak tumisan itu tapi jangan terlalu banyak.

10. Resepi Ikan Kerapu Bakar Sambal

Imej via Facebook

Ingin makan hidangan makan malam yang lazat? Apakata masak ikan bakar pula. Ikan diperap dengan bahan simple serai dan kunyit hidup sahaja. Sangat senang menyediakan hidangan ini. Selain itu Adnil Sam juga berkongsi cara buat sambal ikan bakar sedap. Ayuh cubakan resepi ini.

Bahan–bahan :
  • 1 ekor ikan kerapu dibersihkan dan belah dua.
Bahan-bahan perap ikan :
  • 2 batang serai ditumbuk halus,
  • 2 inci kunyit hidup ditumbuk halus,
  • Sedikit garam kasar ditumbuk sekali dengan kunyit hidup dan serai,

Sapukan rata bahan-bahan perap pada ikan. Perap ikan dalam peti sejuk selama 1-2 jam sebelum dibakar. Tapi tidak perlu letak di bahagian beku.

Sambal Ikan Bakar :
  • 5 biji cili merah*,
  • 1 ulas bawang putih*,
  • 3 sudu besar thai shrimp crushed chili,
  • 1 sudu besar sos sri racha*,
  • 2 sudu besar cili kisar*,
  • 3 sudu besar pes tom yam*,
  • 1 sudu besar sos cili thai*,
  • Garam,
  • Asam jawa,
  • Gula,
  • Perasa,
  • 1 ½ cawan air dibancuh dengan 2 sudu kecil tepung jagung (sebagai bahan pemekat),
  • Minyak masak untuk menumis.
Cara-cara :
  1. Kisar halus bahan-bahan yang bertanda *.
  2. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali. Tumis bahan kisar dan kacau selama 1-2 minit.
  3. Kemudian masukkan thai shrimp crushed chili. Tumis lagi hingga cili garing.
  4. Bila cili sudah kelihatan garing, masukkan bancuhan air tepung jagung bersama asam jawa, garam, perasa dan gula secukup rasa.
  5. Kacau dan masak hingga sambal mencapai kepekatan yang anda suka.
  6. Bila sudah secukup rasa dan cukup kepekatan yang anda mahu boleh tutup api.
  7. Sambal ini telah sedia untuk disapu nipis ke atas ikan yang hendak dibakar.
  8. Bila ikan hampir masak, curah lebih sikit lagi sambal ke atas ikan beberapa minit sebelum ikan selesai proses bakar.

Resepi Lain

Selain resepi di atas kami juga menulis resepi menarik lain. Sila cubakan.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.