Hajarul Aswad (الحجر الأسود) adalah perkataan Arab yang bermaksud batu hitam. Batu ini boleh dijumpai di sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah). Bentuk Hajarul Aswad adalah bundar. Ia berwarna hitam dan berlubang. Tingginya sekitar 150 sentimeter dari atas tanah.

Batu ini mempunyai lingkaran sekitar 30 sentimeter dan garis tengah 10 sentimeter, lebih besar daripada lingkaran muka seseorang.

Kerana itu, seseorang yang ingin mencium batu ini harus memasukkan mukanya ke dalam lubang itu. Kepala yang besar pun dapat dimasukkan ke dalam lubang batu hitam ini. Bahagian luar batu hitam ini diikat dengan pita perak yang berkilat.

tawaf

Imej via wikipedia

Bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah tawaf, penjuru yang terletak Hajarul Aswad ini dijadikan tanda sebagai tempat permulaan tawaf.

Mereka hendaklah memulai tawaf dengan membetulkan bahu kiri mereka ke arah Hajarul Aswad, kemudian berpusing sebanyak tujuh kali. Ibadah tawaf bermula di penjuru Hajarul Aswad dan berakhir di bahagian penjuru Hajarul Aswad juga.

Sejarah Hajarul Aswad

Hajarul Aswad adalah batu yang diturunkan dari syurga. Batu ini asalnya berwarna putih seperti salju. Namun kerana dosa manusia dan kelakukan orang-orang musyrik di muka bumi, batu tersebut akhirnya berubah menjadi hitam.

hajarul aswad

Imej via republika

Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

نَزَلَ الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِى آدَمَ

Maksudnya, “Hajarul Aswad turun dari syurga padahal batu tersebut begitu putih lebih putih daripada susu. Dosa manusialah yang membuat batu tersebut menjadi hitam”. (HR Tirmidzi no. 877)

Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَكَانَ أَشَدَّ بَيَاضاً مِنَ الثَّلْجِ حَتَّى سَوَّدَتْهُ خَطَايَا أَهْلِ الشِّرْكِ

Maksudnya, “Hajar aswad adalah batu dari syurga. Batu tersebut lebih putih dari salju. Dosa orang-orang musyriklah yang membuatnya menjadi hitam.” (HR Ahmad)

Batu yang mulia ini juga menjadi saksi di akhirat nanti.  Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda mengenai Hajarul Aswad,

وَاللَّهِ لَيَبْعَثَنَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَهُ عَيْنَانِ يُبْصِرُ بِهِمَا وَلِسَانٌ يَنْطِقُ بِهِ يَشْهَدُ عَلَى مَنِ اسْتَلَمَهُ بِحَقٍّ

Maksudnya, “Demi Allah, Allah akan mengutus batu tersebut pada hari kiamat dan ia memiliki dua mata yang boleh melihat, memiliki lisan yang boleh berbicara dan akan menjadi saksi bagi siapa yang benar-benar menyentuhnya.” (HR Tirmidzi no. 961, Ibnu Majah no. 2944 dan Ahmad 1: 247)

Pada tahun 606 M, ketika Nabi saw berusia 35 tahun, Kaabah mengalami kebakaran besar sehingga perlu dibina semula. Setelah proses pembangunan semula itu selesai, dan Hajarul Aswad hendak diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah Arab Quraisy tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya.

Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum, sebagai orang yang tertua, mengusulkan bahawa yang berhak meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki pintu Safa keesokan harinya. Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi rasul.

Oleh sebab itu, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan kebijaksanaannya, Muhammad menjalankan amanah untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya dengan penyelesaian yang cukup adil dan hikmah.

Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada. Kemudian, Hajarul Aswad diletakkan di tengah-tengah serban itu.

Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkan Hajarul Aswad. Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkan Hajrul Aswad di tempatnya.

Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari ketua-ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.

pita perak

Imej via newstodaypk

Awalnya, Hajarul Aswad tidak dihiasi dengan lingkaran pita perak di sekelilingnya. Lingkaran itu dibuat pada zaman terkemudian setelah Baginda Nabi saw wafat.

Menurut Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki, seorang ahli sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajarul Aswad, setelah terjadi kebakaran pada Kaabah. Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajarul Aswad tetap utuh dan tidak mudah pecah.

Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada tahun 189H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram. Ia memerintahkan Ibnu at-Tahnan, seorang pengukir perak terkenal ketika itu, untuk menyempurnakan lingkaran pita perak di sekeliling Hajarul Aswad dan membuatnya lebih berkilat dan berkilau.

Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 1839-1861 M). Pada tahun 1268H, baginda menghadiahkan lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajarul Aswad, sebagai pengganti lingkaran pita perak yang telah hilang.

Lingkaran emas itu kemudian diganti dengan lingkaran perak oleh Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 1861-1876 M). Pada 1331 H, atas perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah pada tahun 1909-1918 M), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita perak yang baru.

Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Hajarul Aswad sering dililit dan dilingkari pita perak.

Hukum Menyentuh Dan Mencium Hajar Aswad

Menyentuh atau mencium Hajarul Aswad adalah Sunnah dalam ibadah tawaf, seandainya kita tidak dapat menciumnya, cukup menyentuhnya dan tapak tangan kemudian kita cium tangan yang menyentuh Hajarul Aswad tadi.

sentuh hajar aswad

Imej via kamubanget

Berikut adalah hadis-hadis berkenaan Nabi saw mencium dan menyentuh Hajarul Aswad:

Dari Abdullah bin Umar ra, “Sesungguhnya Rasulullah saw ber-istilam (menyentuh) Rukun Yamani dan Hajarul Aswad pada setiap Tawaf Baginda.” (Mutaffaq alaih) dan di dalam Sunan Abu Daud, ″Rasulullah saw menciumnya.”

Dari Nafi′ beliau berkata:

Saya melihat Umar ra menyentuh Hajarul Aswad dengan tangannya kemudian mencium tangan beliau itu dan beliau berkata, aku tidak pernah meninggalkan perbuatan ini (menyentuh Hajarul Aswad dan mencium tangannya) sejak aku melihat Rasulullah saw melakukannya.″ (HR Muslim).

Dari Abu Thufail beliau berkata:

″Saya melihat Rasulullah saw bertawaf di Baitullah di atas untanya. Beliau menyentuh Hajarul Aswad dengan Mihjan (tongkat yang bengkok di bagian pegangannya) kemudian mencium tongkat itu.” (Musnad Sahabat di dalam kitab At Tis′ah).

Dari Abdullah bin Abbas ra,

″Sesungguhnya Rasulullah saw bertawaf di Baitullah di atas untanya, setiap kali Beliau melintasi Hajarul Aswad beliau ber-isyarat ke arahnya (Hajarul Aswad) dengan sesuatu yang ada pada beliau (tangan, atau apa saja yang dipegang) dan bertakbir.” (HR Bukhari)

Pendapat 4 Imam Mazhab

Imam Hanafi:

″Sunnah mencium Hajarul Aswad, bila tidak dapat menciumnya, cukup menyentuhnya, bila tidak dapat menyentuhnya, cukup bertakbir, bertahmid atau bertahlil ke arahnya.″

Imam Maliki:

″Sunnah mencium Hajarul Aswad dan bibirnya (yang warna putih), jika tidak mampu, cukup menyentuhnya, jika tidak mampu cukup bertakbir, bertahmid atau bertahlil ke arahnya, tanpa berisyarat. Beliau menambahkan, ketika mencium Hajarul Aswad adalah dengan hidung. Bukan dengan kening atau dua pipi.”

Imam Syafi′i dan Imam Hanbali:

″Sunnah mencium Hajarul Aswad dengan kening, jika tidak mampu, cukup menyentuhnya dan mencium tangan yang menyentuh tadi, jika tidak mampu cukup beri syarat dengan tangan ke arah Hajarul Aswad.″

berebut cium hajar aswad

Imej via teknikmultimedia

Keadaan di Kaabah sentiasa penuh dengan orang ramai yang melakukan tawaf. Malah, peluang untuk mencium Hajarul Aswad bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi bagi orang perempuan. Ini kerana, ada waktu-waktu tertentu yang dihadkan untuk para wanita menyentuh dan mencium Hajarul Aswad.

Jangan memaksa diri untuk mencium Hajarul Aswad, sehingga menggunakan khidmat ‘joki’ atau ‘bodyguard’ dengan membayar mereka sejumlah wang Riyal (dari mulai 75 hingga 150 Riyal). Kita tidak digalakkan melakukan sesuatu method atau cara untuk menjalani Ibadah sunnah dengan melakukan perkara yang haram.

Joki yang dibayar dengan asbab untuk membukakan jalan bagi kita menuju Hajarul Aswad dengan cara menahan, mencegah atau menyingkirkan jemaah lainnya, sudah pasti, hal ini dilarang kerana menganiayai dan menyakiti jemaah lain.

Kesimpulan

Berdasarkan hadis-hadis yang sahih, Hajarul Aswad adalah batu dari syurga yang diturunkan ke dunia. Sebagai manusia biasa, pasti kita akan rasa teruja dengan batu tersebut kerana asalnya dari syurga. Namun, hakikatnya batu itu adalah sekadar batu, juga makhluk Allah swt. Tidak perlu kita terlalu memujanya.

Mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi saw semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajarul Aswad), beliau berkata-kata:

“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah saw menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”

Rujukan:

  1. Wikipedia
  2. Utusan
  3. Fitrah Hajj
  4. Rumaysho
  5. Jalan Akhirat

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Hajarul Aswad yang dikongsikan? Anda dapat manfaat? Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.