Setiap kali diuji pastinya kita akan tertanya-tanya, kenapa? Kenapa kita diuji sehebat begini? Kenapa bukan orang lain? Kenapa kita sentiasa diuji sedangkan orang lain hidup bahagia tanpa dugaan dan masalah. Orang kata Allah uji sebab Allah sayang, tapi betulkah? Kalau Allah sayang kepada kita sebagai hambanya, kenapa Allah seolah-olah sengaja nak kita hidup susah dan tak berpeluang untuk merasa bahagia? Istimewa untuk anda jiwa yang sedang diuji, hari ini kami akan kongsikan info tentang hikmah ujian Allah yang kita mungkin tak perasan.

“Janganlah kamu membenci bala yang sedang melanda dan kesusahan yang sedang berlaku. Kerana boleh jadi perkara yang kamu benci, padanya terletak kejayaanmu. Dan boleh jadi perkara yang kamu utamakan, padanya kehancuranmu.” – Al-Hasan

Ujian yang datang mungkin adalah sebagai kifarah penghapus dosa atau sekadar ujian dari Allah untuk menaikkan darjat kita di sisiNya

Ini adalah konsep yang kita sebagai umat islam wajib tahu dan tanamkan dalam diri. Apabila kita diuji, ianya adalah sama ada ujian dari Allah untuk meningkatkan darjat kita di sisiNya atau boleh juga dugaan tadi datang sebagai kifarah untuk menghapuskan dosa yang kita lakukan. Namun jangan pula kita terlalu cepat menjatuhkan hukum bahawa setiap manusia yang diuji adalah kifarah kerana terlalu banyak melakukan dosa.

Tak kira walau yang mana satu pun dugaan yang datang kepada kita, apa yang paling penting ialah kita bersabar dan banyakkan berdoa kepada Allah untuk memohon agar dugaan yang datang segera diselesaikan. Apa pun, kita tetap mendapat hikmah dari dugaan yang datang. Jika ianya sekadar ujian dari Allah, maka jika kita bersabar dan redha menghadapinya, maka darjat kita akan menjadi semakin tinggi.

Jika dugaan yang datang adalah sebagai kifarah di atas dosa-dosa yang kita lakukan, sekurang-kurangnya ia telah membantu membersihkan seidkit dosa kita dan mengurangkan berat dalam timbangan dosa semasa kita dihisab di akhirat nanti. Mungkin hari ini kita derita namun yang sebenarnya Allah sedang mempermudahkan urusan kita di akhirat nanti. Bukankah ia satu hikmah yang tak ternilai harganya?

Ujian membantu kita untuk menginsafi diri dan menjadi seorang yang lebih baik

Tahukah anda bahawa hikmah ujian Allah yang seterusnya ialah ia mampu member ruang kepada kita untuk menginsafi diri dan menjadi seorang manusia yang lebih baik. Apabila diuji, biasanya kita akan berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah untuk mencari ketenangan. Apabila diuji kita akan banyak bersolat sunat, solat taubat, bertahajjud, dan membaca Al-Quran.

Secara tak langsung kita akan sedar betapa selama ini kita jauh dari Allah dan hidup terlalu mengejar dunia. Apabila diuji kita akan sedar dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Kita akan berusaha untuk menjadi seorang muslim yang lebi baik. Bukankah ini satu hikmah yang baik untuk diri kita? Tak semua orang beruntung untuk merasa nikmat insaf.

Ujian membuka pintu taubat

Ketahuilah bahawa setiap kali diuji, kita akan mendapat pahala yang melimpah-ruah asalkan kita bersabar dan redha dengan ujian yang datang tanpa menyalahkan Allah dan melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Pahala yang banyak adalah janji Allah kepada jiwa-jiwa yang tabah semasa diuji. Malah kita yang diuji dibukakan pintu taubat seluas-luasnya. Adalah sangat rugi kalau kita tidak perasan dengan hikmah yang besar ini.

hikmah ujian

Sumber: Muslimsolution

Ujian membuka pintu rahmat

Pernah dengar orang kata, doa orang teraniaya tiada hijabnya dan akan terus diangkat ke atas. Ini adalah satu lagi hikmah ujian Allah kepada kita yang perlu digunakan sebaiknya dan jangan disia-siakan. Doa tanpa hijab adalah sebesar-besar rahmat yang diinginkan oleh setiap manusia.

Oleh itu, apabila sedang diuji banyakkan berdoa, minta apa sahaja yang kita nak dari Allah. Inilah masanya untuk kita ambil peluang dan minta sehala hajat yang terbuku di dada. Di dalam islam, selain doa orang yang teraniaya, doa seorang muslim yang sedang bermusafir dengan tujuan yang baik juga sangat mustajab. Akhir sekali ialah doa seorang ibu buat anaknya, ia adalah doa tanpa hijab dan akan terus naik ke arasy.

Ujian Allah akan melembutkan hati

Apabila diuji dengan dugaan dari Allah, secara automatik hati kita akan menjadi lebih lembut. Jika selama ini hati kita sekeras batu dan sangat susah untuk menerima kelemahan diri, apabila diuji pastinya kita akan sedar bahawa sesungguhnya kita hanyalah seorang hamba. Kita Cuma mampu merancang namun segala di dunia ini adalah menurut ketentuan Allah.

Seorang yang berhati lembut adalah seorang manusia yang baik. Dia akan menjadi tabah apabila diuji. Dia akan memafkan kesalahan mereka yang menganiaya atau berbuat jahat kepadanya. Malah dia juga akan berasa redha dengan ujian yang datang kerana sedar bahawa Allah uji kerana sayang dan setiap ujian yang datang menjanjikan pahala yang banyak kepada kita.

Ujian dari Allah akan menyedarkan kita bahawa dunia ini hanya sementara

Hikmah ujian Allah yang seterusnya ialah ia akan menyedarkan kita bahawa hidup kita hanya sementara dan akhirat adalah alam yang abadi. Sebelum diuji, mungkin selama ini kita terlalu leka mengejar dunia sehingga terlupa untuk membuat persediaan untuk alam akhirat. Mungkin juga kita terlalu leka dengan dunia sehingga solat 5 waktu kita menjadi tunggang-langgang.

Apabila diuji baru kita sedar bahawa dunia bukan segala-galanya. Kita juga akan sedar bahawa apabila diuji, segala penat-lelah kita mengejar dunia langsung tidak membantu malah boleh jadi ianya adalah sesuatu yang sia-sia.

hikmah ujian

Sumber: Akuislam

Itulah dia perkongsian tentang hikmah ujian Allah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang jenis talak dalam islam dan tanggung jawab anak lelaki.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.