Nisfu Syaaban adalah daripada perkataan Arab. Nisfu bermaksud setengah atau separuh, manakala Syaaban pula adalah nama bulan dalam kalendar Islam. Malam Nisfu Syaaban adalah malam pada separuh bulan Syaaban iaitu pada malam 15 hb Syaaban.

Mengikut kepercayaan, Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dalam buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib).

malam nisfu syaaban

Imej via ummi

Malah, terdapat juga beberapa hadis yang menceritakan tentang kelebihan Malam Nisfu Syaaban. Di dalam hadis-hadis tersebut disebutkan bahawa Malam Nisfu Syaaban adalah malam pengampunan, oleh sebab itu sangat disarankan agar kita menghidupkan malam ini dengan amal ibadah.

Percanggahan Pendapat Tentang Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

1) Tidak Ada Keutamaan Khusus Pada Malam Nisfu Syaaban

Menurut pendapat yang paling kuat adalah tiada kelebihan pada Malam Nisfu Syaaban. Kedudukan malamnya adalah sama dengan malam-malam hari yang lain (kecuali Lailatul Qadar). Dikatakan semua dalil yang menyebutkan keutamaan malam Nisfu Syaaban adalah hadis lemah.

Al-Hafidz Abu Syamah mengatakan dalam kitabnya tentang bulan Syaaban;

“Para ulama ahli hadis dan pengkritik perawi berkata, ‘Tidak terdapat satupun hadis sahih yang menyebutkan keutamaan malam Nisfu Syaaban.” (al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’)

Bahkan dikatakan terdapat beberapa hadis dhaif tentang keutamaan malam Nisfu Syaaban, yang tidak boleh dijadikan landasan. Malah dikatakan, hadis yang menyebut tentang keutamaan solat kesemuanya berstatus palsu.

2) Terdapat Keutamaan Khusus Pada Malam Nisfu Syaaban

Pendapat ini berdasarkan hadis sahih dari Abu Musa al-Asyaari ra, iaitu Nabi saw bersabda;

إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إلا لمشركٍ أو مُشاحنٍ

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah melihat pada malam pertengahan Syaaban. Maka Dia mengampuni semua makhluknya, kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (HR Ibn Majah, at-Tabrani, dan dishahihkan al-lbani)

Kebanyakan ulama dalam Mazhab Hanbali meyakini terdapat keutamaan pada malam Nisfu Syaaban. Ini juga sesuai dengan keterangan Imam Ahmad selain ada banyaknya hadis yang berkait dengan hal ini, serta dibenarkan oleh berbagai riwayat dari para sahabat dan tabi’in.

3) Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Beberapa kelebihan malam Nisfu Syaaban ada disebutkan dalam beberapa hadis. Malam Nisfu Syaaban juga adalah antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam Shafie di dalam kitabnya al-Umm;

“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: ‘Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban’.”

Berkata Imam Ghazali melalui kitabnya Ihya Ulum al-Din; “Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaaban.”

doa

Imej via indahnyaislam

Oleh kerana itu, terdapat para tabi’in yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara iaitu sebahagiannya hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam, lalu bersembahyang sunat dengan memakai wangian, bercelak mata dan memakai pakaian yang terbaik.

Dan sebahagian lagi melakukannya dengan bersembahyang sunat dan berdoa secara bersendirian di rumah.

Amalan Membaca Surah Yaasin Sebanyak 3 Kali Pada Malam Nisfu Syaaban

Sudah menjadi amalan dalam masyarakat Islam di Malaysia sejak dulu untuk membaca Surah Yaasin sebanyak 3 kali pada malam Nisfu Syaaban. Surah Yaasin dibaca dengan setiap satunya diniatkan memohon:

  • Dipanjangkan umur dalam keadaan sihat untuk mentaati Allah.
  • Ditetapkan iman dan dijauhkan dari bala bencana.
  • Diluaskan rezeki yang halal dan diberkati.

Malah, ada juga yang menyarankan solat tertentu dan ada yang berpuasa pada keesokan harinya (15 Syaaban).

yasin

Imej via tazkirahdaily

Sebenarnya tiada amalan khusus yang diwajibkan pada malam Nisfu Syaaban. Adalah menjadi bid’ah jika kita mewajibkan ibadat tertentu pada malam itu, namun melakukan sebarang ketaatan pada malam itu sebagai memenuhi malam yang sangat istimewa itu adalah tidak dilarang.

Membaca al-Quran dari mana-mana surah termasuk surah Yaasin juga dikira sebagai satu ketaatan. Hendak membaca banyak kalipun tiada halangan tetapi bukan bilangan yang dikejar, tetapi bacalah dengan memenuhi hak-hak bacaan yang sebenar dan lakukanlah dengan tertib, tadabbur dan ta’aqqul.

Kesimpulannya, tidak salah untuk menghidupkan amal ibadah pada malam Nisfu Syaaban. Tetapi amalan-amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi saw. Ini kerana, tidak ada amalan khusus yang diajarkan oleh Nabi untuk kita lakukan pada malam Nisfu Syaaban.

Benarkan Buku Amalan Ditutup Pada Malam Nisfu Syaaban?

Sebenarnya tidak dijumpai suatu dalil mahupun keterangan ulama bahawa buku catatan amal manusia ditutup pada malam Nisfu Syaaban. Dalil yang ada, cumalah sebuah hadis dari Usamah bin Zaid, beliau bertanya,

يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ

Maksudnya, “Wahai Rasulullah, saya belum pernah melihat anda berpuasa dalam satu bulan sebagaimana anda berpuasa di bulan Syaaban?”

Nabi saw bersabda,

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya, “Ini adalah bulan yang sering dilalaikan kebanyakan orang, bulan antara Rejab dan Ramadan. Ini adalah bulan dimana amal-amal diangkat menuju Rabb semesta alam. Dan saya ingin ketika amal saya diangkat, saya dalam keadaan berpuasa.” (HR an-Nasa’i 2357, Ahmad 21753, Ibnu Abi Syaibah 9765 dan Syuaib Al-Arnauth menilai sanadnya hasan)

syaaban

Imej via jambi

Dalam hadis di atas, Rasulullah saw mengkhabarkan, salah satu waktu dimana amal para hamba Allah swt dilaporkan adalah ketika bulan Syaaban. Dan kerana itu, Baginda memperbanyak puasa di bulan Syaaban. Harus diketahui juga baha Rasulullah saw tidak menentukan pada hari keberapa peristiwa pelaporan amal itu terjadi. Bahkan zahir hadis menunjukkan, peristiwa itu terjadi selama satu bulan. Kerana itulah, Nabi berpuasa satu bulan pada bulan Syaaban tanpa memilih hari-hari tertentu. Baginda juga tidak menyarankan agar kita memilih pertengahan Syaaban untuk puasa. Yang Baginda lakukan adalah memperbanyakkan puasa sepanjang bulan Syaaban.

Selain itu, penting juga untuk kita perhatikan bahawa hadis ini sedikitpun tidak menyebutkan adanya penutupan buku catatan amal. Nabi Muhammad saw hanya menyatakan bahawa ketika bulan Syaaban terdapat pelaporan amal dan bukan penutupan catatan amal.

Tidak ada istilah penutupan buku amal dalam Islam. Umat Islam sentiasa dituntut untuk beramal sehingga ke hujung hayat. Allah swt berfirman,

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

Maksudnya, “Beribadahlah kepada Tuhanmu sampai datang kepadamu Al-Yaqin.” (Surah al-Hijr, Ayat 99)

Para ulama tafsir sepakat bahwa makna Al-Yaqin pada ayat di atas adalah kematian. Setiap manusia dituntut beramal dan beribadah selama akalnya masih waras.

istiqamah

Imej via konfrontasi

Nabi saw menasihatkan agar kita selalu menjaga iman, dengan istiqamah dalam beramal. Ada seorang sahabat yang meminta nasihat daripada Rasulullah saw tentang apa yang perlu dijaga dalam kehidupan ini. Nasihat yang Baginda saw sampaikan sangat ringkas,

قلْ آمنتُ بالله ثم استقم

Maksudnya, “Katakan, Saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.” (HR. Ahmad 15416 dan sanadnya sahih)

Istiqamah sifatnya berpanjangan dan konsisten. Dari sini, kita dapat ketahui bahawa tiada istilah istirehat dalam beramal atau buku catatan amal ditutup sementara diganti buku yang baru.

Amalan kita dihisab oleh malaikat setiap masa. Oleh itu, tidak kiralah pada tahun bila, bulan apa, hari apa sekalipun, yang paling penting buat kita selaku hamba Allah swt adalah sentiasa perbanyakkan amal dan beristiqamah dengan amalan baik.

Rujukan:

  1. My Sumber
  2. Sinar Harian
  3. Tanyalah Ustaz
  4. Tazkirah
  5. Konsultasi Syariah

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Malam Nisfu Syaaban yang dikongsikan? Anda dapat manfaat? Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.