Jom baca tentang Hari Tasyrik dan kelebihannya yang perlu kita tahu. Ketahui tentang maksudnya dan banyak lagi.

Apakah yang Dimaksudkan dengan Hari Tasyrik?

 Hari Tasyrik ataupun digelar Ayyam at-Tashriq dalam bahasa Arab merupakan hari raya umat Islam yang termasuk dalam hari raya Aidul Adha. Hari Tasyrik juga merupakan hari untuk makan dan minum selain mengingati Allah SWT.

Tambahan lagi umat Islam masih dalam kegembiraan menyambut hari raya Aidil Adha. Disebabkan itu semua jenis puasa adalah dilarang pada hari Tasyrik. Pada hari ini juga merupakan waktu penyembelihan haiwan atau ibadah korban.

“Dari Jubair bin Math’am dari Nabi SAW, Baginda bersabda: ‘semua hari Tasyriq adalah waktu penyembelihan (haiwan korban)’.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Waktu terbaik untuk penyembelihan binatang korban adalah selepas menunaikan solat sunat Aidul Adha ataupun pada 10 Zulhijjah, sehingga terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah atau pada hari Tasyrik yang terakhir.

Bilakah Hari Tasyrik?

Hari Tasyrik adalah selama tiga hari dalam bulan Zulhijjah iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Atau tepatnya selepas hari raya Aidul Adha iaitu pada 10 Zulhijjah.

Berpuasa Pada Hari Tasyrik?

Mengenai hukum berpuasa pada hari Tasyrik, telah jelas diterangkan melalui riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW mengutuskan Abdullah bin Hudzaifah agar mengelilingi kota Mina serta menyampaikan;

“Janganlah kamu berpuasa pada hari ini kerana ia merupakan hari makan, minum, dan berzikir kepada Allah.”

Jadi sudah jelaslah bahawa hari Tasyrik adalah hari yang dilarang atau diharamkan untuk berpuasa pausa fardu, sunat mahupun puasa nazar. Ini bersesuaian dengan makna hari Tasyrik sendiri yang bermaksud ‘hari makan dan minum’. Sepertimana sabda Baginda;

“Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Apakah Terdapat Keutamaan Pada Hari Itu?

Terdapat banyak keutamaan hari Tasyrik yang perlu diketahui agar umat Islam agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda;

“Sesungguhnya hari yang paling mulia di sisi Allah adalah hari Idul Adha dan (Hari Tasyrik)”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Apakah Kepentingan Pada Hari Tasyrik Ini?

  • Hari Tasyrik adalah sebagai lanjutan kepada hari raya Aidul Adha. Allah SWT menghadiahkan hari untuk umat Islam meraikan rezeki-Nya dengan makan dan minum, serta mengingati dan mensyukuri nikmat pemberian tersebut.
  • Sebagai mengenang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang  taat akan perintah Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Namun Allah SWT telah menggantikan sembelihan itu dengan seekor kibas dan mengarahkan Nabi Ibrahim menyembelih kibas tersebut.
  •  Allah memberi peluang untuk melakukan ibadah korban iaitu menyembelih binatang yang dibolehkan seperti unta, kerbau, lembu, kambing dan kibas. Daging yang dikorbankan itu dibahagikan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan golongan miskin. Ibadah korban boleh didirikan sehingga sebelumnya masuk waktu Maghrib pada 14 Zulhijjah. Begitu juga dengan takbir raya.
  • Bagi umat Islam yang sedang mendirikan ibadah haji pula, pada hari tersebut akan melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah; iaitu jamratul ula, jamratul wusta dan jamratul aqabah. Ibadah ini adalah sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang melontarkan anak batu kepada syaitan yang mengganggu mereka ketika sedang mendirikan ibadah korban seperti yang diperintahkan oleh Allah.

Apakah Terdapat Ibadah atau Perbuatan Baik Lain yang Dianjurkan Pada Hari Tasyrik Ini?

Banyakkanlah lakukan ibadah harian dengan mempertingkatkannya dengan niat untuk memperoleh kebaikan pahala dan kerberkatan Allah SWT. antaranya;

  1. Banyakkan solat sunat
  2. Mengadakan ibadah korban
  3. Mengadakan jamuan
  4. Menziarahi keluarga dan sahabat
  5. Menghias atau membersihkan rumah
  6. Memakai pakaian cantik dan bersih
  7. Memberi hadiah atau makanan
  8. Bertakbir dan berzikir

Penutup

Terdapat banyak hikmah Allah SWT menghadiahkan hari Tasyrik kepada umat Islam beserta dengan larang-larangan tertentu. Selain untuk meraikan kegembiraan untuk makan dan minum serta bersenang-senang dengan ibadah korban dan ibadah takbir dan zikir, larangan berpuasa pada hari Tasyrik adalah bentuk ujian dalam menilai sejauh mana keimanan hamba-Nya dalam mengikuti larangan tersebut.

Tinggallah sama ada untuk kita mengikutinya atau melanggari ketetapan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

 

Jemput untuk membaca artikel kami yang lain. Anda mungkin menyukai Tanda Hati Hitam dan  Tip Mengaji al-Quran untuk Baiki Diri

 

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.