Seorang wanita muslimah sememangnya diwajibkan untuk mengenakan hijab. Lagi-lagi setelah mencapai usia akil baligh. Mungkin ada yang merasa hijab ini merimaskan namun hakikatnya fungsi hijab ini jauh lebih dari itu. Ini kerana Hijab merupakan salah satu bentuk pemuliaan terhadap wanita yang telah disyariatkan dalam Islam.

Hijab jaga kehormatan
Image Via :: Locker Project

Berhijab merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan bagi setiap wanita Muslimah. Itu memang tidak dinafikan kerana ia adalah tuntutan dalam agama Islam. Hijab ini sendiri sebenarnya adalah salah satu bentuk kemuliaan yang dipamerkan pada kaum wanita. Hijab itu sendiri boleh memberi suatu rasa ‘hormat’ dari orang lain terhadap seseorang wanita itu.

Topik Hijab Turut Terkandung Di Dalam Al Quran

Hal ini sebagaimana yang telah terkandung di dalam firman Allah SWT di dalam Surah An Nur (ayat ke 31) yang berbunyi :

hijab-jaga-kehormatan-wanita
Image Via : Saya Hafiz

Katakanlah kepada wanita yang beriman ; “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Dalam ayat lain pada al-Ahzab [33]: 59:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٥٩

Hai Nabi, katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu, dan istri-istri orang mukmin agar hendaklah mereka mengulurkan jilbab-jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal, sehingga mereka tidak diganggu/disakiti. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Sedih Melihat Wanita Zaman Moden Ini Yang Tidak Semuanya Berhijab

Islam merupakan agama yang memuliakan wanita. Seorang wanita diperintahkan untuk menutup aurat, menjaga diri dari pergaulan dan fitnah serta kemuliaan-kemuliaan lainnya.

Namun, semakin zaman beredar semakin maju juga cara kehidupan dan sedih juga rasa hati apabila ada di kalangan wanita sesama saudara dalam Islam yang tidak mengenakan hijab. Ada juga yang hanya pada pengenalan dirinya saja Islam tetapi berperwatakan yang sebaliknya dengan pakaian yang agak seksi dengan tambahan solekan tebal yang agak keterlaluan demi untuk menarik perhatian kaum lelaki.

Makin sedih apabila ada dikalangan wanita ini yang pada dasarnya memang benar mengenakan hijab tetapi tidak lain hanya sekadar salah satu gaya dalam berfesyen sebagai hiasan penutup kepala. Hijab yang ada sekarang juga lebih banyak yang mementingkan soal gaya berbanding dengan niat dan tujuan untuk berhijab itu sendiri.

Wanita Zaman Nabi SAW Sanggup Koyak Kain Panjang Demi Menutup Kepala

Daripada Aisyah RA, dia berkata, “Semoga Allah merahmati para wanita generasi pertama yang berhijrah, ketika turun ayat : Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…. Maka mereka segera mengoyak-goyak kain panjang mereka untuk digunakannya sebagai penutup bahagian atas tubuh mereka.”

Subhanallah! Ternyata sangat berbeza erti sehelai hijab itu pada wanita dulu berbanding dengan wanita yang hidup di zaman sekarang ini.

7 Sebab Mengapa Hijab Boleh Jaga Kehormatan Wanita Muslimah

Mengenakan hijab ini sebetulnya boleh memberi banyak manfaat dan keutamaan terhadap seseorang wanita. Antara sebab-sebab utama mengapa hijab ini boleh jaga kehormatan wanita adalah :

#1 – Hijab Boleh Menjaga Kehormatan Diri – percaya ataupun tidak hijab boleh memberi isyarat bahawa anda bukan seorang wanita murahan

#2 – Hijab Boleh Membersihkan Hati – hijab yang di pakai akan membuatkan wanita itu rasa lebih berhati-hati dalam pelbagai perkara

#3 – Hijab Boleh Melahirkan Akhlak Yang Mulia – wanita berhijab akan cuba untuk menjaga tingkahlakunya supaya tidak menjatuhkan maruah hijab itu sendiri

#4 – Hijab Boleh Memberi Tanda Kesucian Peribadi Pada Si Pemakainya

#5 – Hijab Boleh Menjaga dan Menutup Rasa Malu

#6 – Hijab Boleh Bantu Mencegah Dari Keinginan dan Godaan Syaitan

#7 – Hijab Boleh Menjaga Maruah Agama dan Maruah Diri Wanita Itu Sendiri

Ternyata hijab ini adalah sebuah kewajipan bagi wanita Muslimah dalam mengabdikan diri kepada Islam. Hijab ini juga boleh dianggap sebagai sebuah cermin kesucian diri yang penuh kemuliaan untuk menutup rasa malu dan sebagainya.

Adab Berpakaian Yang Betul Untuk Para Wanita Solehah Menurut Tuntutan Agama Islam

Dalam soal memilih pakaian pula, para wanita Muslimah wajib memakai pakaian yang tidak menjolok mata. Antara syarat yang boleh dijadikan panduan dalam soal pemakaian ini adalah seperti :

  • Melabuhkan tudung (hijab) ke dada
  • Longgar dan tidak ketat hingga menampakkan susuk tubuh
  • Tidak menyerupai pakaian wanita jahiliah
  • Pakaian mestilah menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna
  • Menutupi seluruh tubuh kecuali wajah dan kedua telapak tangan
  • Bukan berfungsi sebagai perhiasan
  • Kain haruslah agak tebal dan tidak jarang hingga mendedahkan bentuk tubuh dan warna kulit terutama pada bahagian yang tidak sepatutnya
  • Bukan Pakaian syuhrah (untuk mencari populariti)
  • Diutamakan berwarna gelap, namun seorang Muslimah dibolehkan berpakaian warna selain hitam asal bukan dengan niat sebagai perhiasan
  • Tidak mengunakan pakaian yang terdapat makhluk yang bernyawa
  • Tidak menggunakan wangian dengan tujuan untuk menarik perhatian orang lain
  • Tidak berpakaian dengan sengaja semata-mata untuk menyerupai pakaian golongan kaum lelaki
  • Tidak terlampau zuhud dengan memakai pakaian yang terlalu lusuh sehingga menimbulkan ujub dalam diri

Tujuan berpakaian dengan menutup aurat dan sopan ini bukanlah bertujuan untuk melindungi diri dari suhu dan sebagainya. Sebaliknya pemilihan pemakaian yang betul ini secara tidak langsung dapat menutup segala perhiasan yang ada di tubuh (terutama pada bahagian kepala, leher dan dada) dari pandangan lelaki yang bukan mahram dan juga dari pandangan lelaki-lelaki yang ada niat jahat.

Jadilah Wanita Muslimah Yang Berhijab Dalam Menjaga Kehormatan Diri Sendiri

Berhijab tu cantik tau! Nampak ayu dan sopan. Makin terserlah kecantikan seseorang wanita muslimah itu dengan mengenakan hijab. Makin gembira hijab yang di pakai dengan penuh tertib mengikut syariat agama akan dapat memberi amaran pada mana-mana lelaki bukan mahram supaya jangan cuba-cuba berani dekat. Ini kerana anda bukanlah seorang wanita yang mudah di goda untuk di ajak berbuat kejahatan.

Hijab jaga kehormatan wanita? Ya bagi saya ianya sangat-sangat benar dan semoga dengan adanya perkongsian ini dapatlah kita sama-sama berhijrah dengan memakai hijab yang betul mengikut landasan agama Islam tercinta. Jika sebelum ini tidak berhijab, marilah ubah dan terus istiqamah.

Sumber :

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.