Mencari doa selepas solat fardhu yang mudah dinginati? Jom baca artikel ini. Panduan mudah yang boleh dihafal dan dipraktikkan.

Berdoa boleh dilakukan pada bila-bila masa. Namun demikian, ada waktu-waktu tertentu yang lebih afdhal untuk berdoa kerana berdoa pada waktu itu lebih mudah diperkenankan oleh Allah SWT

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan doa selepas solat fardhu yang boleh anda amalkan setiap kali seusai mendirikan solat.

Himpunan doa selepas solat

1. Doa mohon keampunan

“Ya Allah, ampunilah aku, kesalahan-kesalahanku, kebodohanku, perbuatanku yang melampaui batas di setiap urusanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Ya Allah, ampunilah aku, canda tawaku, kesungguhanku, kesalahanku, kesengajaanku dan setiap perkara yang ada padaku.”

2. Doa tolak bala

“Ya Allah, dengan kebenaran al-Fatihah dan dengan rahsia yang terkandung dalam al-Fatihah; ya Allah Tuhan yang melapangkan kedukaan dan yang menghilangkan kesedihan; Ya Allah Tuhan Yang Maha Penyayang kepada hamba-Nya;

Ya Allah, Tuhan yang menghindarkan bala; Ya Allah Tuhan Yang Maha Penyayang yang menjauhkan bala; tolakkanlah daripada kami malapetaka, bala bencana, kekejian dan kemungkaran, sengketa yang beraneka,

kekejaman dan peperangan, yang tampak dan yang tersembunyi, dalam negara kami khususnya dan dalam negara kaum Muslimin umumnya, sesungguhnya Engkau, Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

3. Doa agar diberi ketaatan

Muaz bin Jabal menceritakan:

“Rasulullah memegang tangannya dan berkata ‘Wahai Muaz, saya menyayangimu, demi Allah saya sangat menyayangimu.’ Kemudian Baginda berkata lagi, ‘saya wasiatkan kepadamu wahai Muaz agar setiap kali selepas hendaklah kamu membaca:

“Ya Allah, doronglah saya untuk mengingati-Mu (zikir), mensyukuri-Mu dan melaksanakan amalan baik untuk-Mu.” – (Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud dalam bab Solat: Tentang Istighfar)

4. Doa anak untuk ibu bapa

“Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

5. Doa agar diberi perlindungan

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam.

Pujian yang melengkapi nikmat-Nya, dan pujian yang menambahkan kelebihan-Nya, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala puji-puji sebagaimana patut kerana kebesaran zat-Mu dan agung kekuasaan-Mu.

Ya Allah! Tolonglah kami supaya ingat kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok ibadah kepada-Mu.

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kedukaan. Aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kemahuan dan kemalasan.

Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

6. Doa selepas solat lengkap

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, segala puji adalah semata-mata untuk Allah, Tuhan Pemerintah Alam. Selawat dan salam adalah untuk junjungan besar semulia-mulia Nabi dan Rasul dan begitu juga ke atas keluarga serta sahabat Baginda kesemuanya.

Ya Allah! Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon kepada Engkau memelihara kami. Kepada-Mulah kami pertaruh agama kami, ahli keluarga kami, harta-harta kami.

Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka itu dalam pemeliharaan, perlindungan, keamanan dan penjagaan-Mu daripada semua syaitan, dan yang mempunyai mata yang mempunyai kedengkian dan mempunyai kejahatan.

Sesungguhnya Engkau di aras tiap-tiap sesuatu itu Maha Berkuasa. Ya Allah, perbaikilah perhubungan kami dan lembutkan antara hati-hati kami.

Dan tunjukkan kami jalan keselamatan dan lepaskan kami daripada kegelapan kepada cahaya dan jauhkan kami daripada sebarang kejahatan sama ada yang terang atau yang tersembunyi.

Ya Allah, berkatilah pada pendengaran dan penglihatan kami dan hati-hati kami dan isteri kami dan keturunan kami dan berilah kami taubat.

Sesungguhnya Engkau Maha Memberi taubat lagi Maha Penyayang dan jadikanlah kami syukur di atas nikmat-nikmat-Mu, memuji dengan nikmat pemberian-Mu menerima dengan pemberian akan nikmat-Mu dan sempurnakan nikmat-Mu ke atasnya.

Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebajikan dunia dan kebajikan di akhirat dan pelihara kami daripada azab neraka. Rahmat Allah ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad ke atas keluarga dan para sahabat semuanya.

Maha Suci Tuhanku, Tuhan yang mempunyai sifat kemuliaan daripada apa yang mereka gambarkan. Dan, kesejahteraan ke atas segala Rasul dan segala puji semata-mata untuk Allah yang memerintah sekalian alam.”

7. Doa Abu Darda’

Doa ini dibaca selepas solat Subuh dan Maghrib.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia Rasul dan juga ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian.

Ya Allah Tuhan kami, Engkau Tuhan, tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkaulah kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy Yang Maha Besar.

Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku.

Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjayakan dan menggagalkan sesuatu selain Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Kami mengetahui sesungguhnya Allah (atas tiap-tiap sesuatu) amat berkuasa. Dan sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon perlindungan Engkau daripada kejahatan atau keburukan pada diri kami; dan daripada tiap-tiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia).

Engkaulah yang mengawasai ubun-ubunnya (segala gerak-gerinya). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar.

“Dan cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarganya serta sahabat-sahabatnya sekalian. Segala pujia tertentu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam.”

8. Doa kesejahteraan hidup

“Wahai Allah, Engkau Penyelamat, dan Engkau pemberi kesejahteraan. Bertambah keberkatan-Mu Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.”

atau

“Wahai Allah, Engkau Penyelamat, dan Engkau pemberi kesejahteraan. Kepada-Mu kembalinya kesejahteraan. Hidupkan kami dengan kesejahteraan, wahai Tuhan kami.

Masukkan kami ke dalam syurga yang merupakan tempat kesejahteraan. Bertambah keberkatan-Mu Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.”

Panduan wirid selepas solat

Doa Selepas Solat

Beristighfar sebanyak 3 kali:

أَسْتَغْفِرُاللَّهَ الْعَظِيْمَ، اَلَّذِيْ لَا إِلَهَ إِلَّا، هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

Maksudnya: Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup berdiri dengan sendirinya dan aku memohon keampunan daripadaNya.

Membaca doa tersebut 1 kali:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: Ya Allah, Engkaulah sumber keselamatan, dari Engkaulah datangnya keselamatan. Segala keberkatan milik Engkau Ya Allah, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. 

Membaca doa tersebut sebanyak 3 kali:

لَا اِلَهَ اِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَاشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيى وَيُمِيْتُ وَهُوَعَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

Maksudnya: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Kemudian, disambung dengan tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali setiap satu:

  سُبْحَانَ ٱللَّهِ

Maha suci Allah

ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ

Segala puji bagi Allah

ٱللّٰهُ أَكْبَرُ

Allah Maha Besar

Dan akhir sekali, anda boleh tutup dengan doa berikut:

ٱللّٰهُ أَكْبَرْ كَبِيْرًا وَٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيْرًا وسبْحان ٱللّٰهِ بُكْرَة وَأَصِيْلًا، لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱللّٰهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ ٱلْمُلْكُ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَعَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ وَإِلَيْهِ ٱلْمَصِيْرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيْمِ، أَسْتَغْفِرُٱللّٰهَ ٱلْعَظِيْمَ

Maksudnya: “Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada bersekutu denganNya sesuatu. BagiNya seluruh kerajaan dan bagiNya segala pujian.

Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu dan kepada Allah jualah tempat kembali. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Aku mohon keampunan daripada Allah.

Adab doa selepas solat dalam Islam

Doa Selepas Solat

Walaupun berdoa selepas solat fardhu tidak wajib, tetapi ia sebenarnya penamat solat yang indah selain berpahala kerana statusnya adalah sunat.

Doa selepas solat menghampirkan diri kita kepada Allah SWT. Kerana itulah berdoa juga memerlukan adab.

Sebagaimana kita berlemah-lembut dan menjaga kesantunan dalam meminta sesuatu kepada makhluk, tentulah hal adab lebih ditekankan semasa meminta kepada Maha Pencipta, Allah SWT.

Berikut adalah adab semasa berdoa:

  • Pastikan diri bersih daripada hadas kecil dan hadas besar.
  • Pakai pakaian yang bersih dan menutup aurat.
  • Hadapkan diri ke arah kiblat.
  • Kedua-dua tangan dirapatkan seperti sedang menadah air dan diangkat sejajar dengan bahu. Mata pula ditumpukan kepada kedua-dua tapak tangan.
  • Rendahkan jiwa dan letakkan diri dalam keadaan khusyuk.
  • Letakkan keyakinan di dalam diri bahawa Allah SWT akan memakbulkan doa kita. Baca doa dengan penuh perasaan.
  • Mulakan bacaan doa dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.
  • Isitghfar atau memohon keampunan kepada Allah di atas dosa-dosa yang dilakukan oleh diri sendiri. Kemudian mintalah agar Allah mengampunkan dosa kedua-dua ibu bapa dan saudara yang lain.
  • Pastikan doa dibaca dengan suara perlahan agar tidak mengganggu orang lain. Elakkan membaca doa yang bersajak.
  • Fahami doa yang disebut dan ulang doa-doa yang penting.
  • Doa yang diminta mestilah doa yang baik iaitu bukan untuk melakukan dosa dan bukan untuk memisahkan hubungan silaturrahim.
  • Akhiri doa dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.
  • Sapukan kedua-dua tapak tangan ke muka.
  • Pintalah apa sahaja yang anda inginkan kepada Allah SWT. Jika ada hal-hal tertentu yang menjadi keinginan hati, sampaikanlah ia kepada-Nya dengan penuh keyakinan.

Kesimpulannya, berdoa kepada Allah mengingatkan akan kerdilnya diri kita di dunia ini. Tanpa Allah SWT, kita umpama fakir yang tidak punya apa-apa.

Jadi, secara tidak langsung, berdoa menyedarkan kita bahawa kita amat bergantung kepada Allah dalam apa jua perkara. Malah, segalanya tidak akan diperolehi dan tidak dapat dielakkan dengan keizinan Allah SWT. Maka, berdoalah.

Selain dari panduan doa selepas solat ini, anda juga boleh baca artikel kami yang lain berkaitan doa yang boleh diamalkan seperti:

Sumber:

  1. Rohidzir Idris, Anda Bertanya Ustaz Menjawab, terbitan PTS Islamika (2011)
  2. Ensiklopedia Solat Premium, Rohidzir Rais. Telaga Biru

Penulis: Anas Haikal

Suka mengembara dan sukakan aktiviti penulisan. Berharap dapat berkongsi ilmu bermanfaat dengan para pembaca di Bidadari.My.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.