Jome ketahui khasiat rebung!

Pengenalan

Buluh tergulung di dalam keluarga Gramineae, iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Lebih tepat lagi buluh berada di bawah sub-keluarga Bambusoideae.

Manakala sub-keluarga ini mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi.

Di Semenanjung Malaysia terdapat 7 genera buluh dan mengandungi sebanyak 44 jenis semuanya. Buluh yang dikenali sebagai kumpulan rumput gergasi serta berbatang keras pada dasarnya mempunyai 2 tabiat pertumbuhan iaitu berumpun dan jenis tunggal (dominan).

Imej via Bidadari

Genera yang lazim terdapat adalah Bambusa, Chusquea (ditanam), Dendrocalamus, Dinocloa, Gigantochloa, Phyllostachys (ditanam), Racemobambos, Schizostachyum, Thyrosostachys (ditanam).

Buluh sering didapati hidup subur di dalam hutan lembap tropika khususnya di kawasan-kawasan berhampiran lembah sungai, di hutan-hutan sudah dibalak (tanah pamah dan di atas permatang), di dalam belukar (hutan peringkat kedua), di kawasan-kawasan hutan yang telah musnah dan terbiar akibat aktiviti pertanian pindah, pembukaan tanah untuk pertanian dan juga pembalakan.

Spesies buluh yang paling pesat berkembang ialah Moso Cina. Ia dilaporkan tumbuh sehingga 100 cm sehari. Rebung digelar sebagai “Raja Sayuran Hutan” oleh orang Jepun. Rebung dimakan di banyak negara Asia seperti Malaysia. Indonesia, China, Korea, Jepun, Taiwan, Thailand, Filipina, Nepal, dan India.

Khasiat rebung

Sumber: Nelive

Dalam beberapa laporan saintifik, rebung telah pun diketahui mengandungi berbagai khasiat yang terdiri daripada air (dengan kandungan tertinggi sebesar 91%), protein, thiamin, karbohidrat, lemak, kalium, vitamin A, vitamin C, besi, fosfor, dan lainnya. Kandungan karbohidrat, protein dan lemak sebenarnya hampir sama jika dibandingkan dengan berbagai jenis sayur-sayuran yang lain. Begitu pula dengan kandungan kalium pada rebung yang cukup tinggi iaitu 533 mg per 10 gramnya.

Antara kebaikan buluh sebagai sumber makanan ialah:

  • Rendah kandungan kalori. Setiap 100 gram rebung hanya mengandungi 20 kalori dan 3-4 gram kabohidrat.
  • Rendah kandungan gula. Setiap 100 gram rebung mengandungi 2.5 gram gula berbanding dengan kandungan gula lobak merah iaitu 3.5gm/100gram.
  • Rendah kandungan lemak. Setiap 100 gram rebung mengandungi hanya 0.49 gram lemak dan lemak ini mengandungi kedua-dua jenis lemak tepu dan tidak tepu (saturated and unsaturated fats).
  • Tinggi kandungan protein. Setiap 100gram rebung mengandungi 2.5 gram protein dan protein dalam rebung yang mempunyai 17 jenis asid amino asas (essential) dan 2 jenis asid amino separa asas ( semi essential).
  • Kaya dengan vitamin dan mineral. Rebung mengandungi vitamin A, vitamin B6, vitamin E, thiamin, riboflavin, niacin, folate dan asid pantothenic sementara kandungan mineral adalah kalsium, magnesium, fosforus, potassium, sodium, zinc, copper, manganese, selenium and iron.
  • Tinggi kandungan serat. Setiap 100gram rebung mengandungi 6-8 gram serat yang penting untuk penghadaman makanan lebih efisien. Kandungan serat pada rebung ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan jenis sayuran tropika yang lain seperti Sawi (1.01%), Timun (0.61%), Kacang Soya (1.27%) dan sebagainya.

Jom ketahui apakah manfaat rebung.

1. Menambah selera makan

Kandungan selulosa yang tinggi dalam rebung dapat merangsang selera makan dan tekstur rebung menjadikan ia sebagai bahan pembuka selera yang baik.

Menurut penyelidik dari India pada tahun 2011, rasa rebung yang rangup, manis, berperasa dan unik merupakan antara faktor pilihan ramai orang untuk membuka selera dengan rebung sebagai hidangan.

2. Menurunkan paras kolesterol

Rebung membantu menurunkan paras kolesterol  LDL dalam darah dan mencegah sakit jantung.

Selain kehadiran serat yang tinggi, rebung mempunyai phytosterols yang terbukti membantu menurunkan kandungan kolestrol dalam darah.

Malah, kajian lepas membandingkan kandungan nutrien dalam rebung yang lebih tinggi berbanding bijirin, buah-buahan dan sayuran tertentu yang mampu menurunkan kolestrol dengan kecekapan yang lebih baik.

3. Menyihatkan sistem pencernaan

Kandungan gentian membantu proses pencernaan. Ia meningkatkan pergerakan usus, melancarkan pergerakan najis. Rebung dapat membantu mengatasi masalah pencernaan seperti gastroenteritis. Rebung juga bermanfaat dijadikan ubat cacing.

Kajian Park dan John dari Korea Selatan pada tahun 2009 merekodkan penurunan kolestrol dan peningkatan sistem pencernaan yang lebih baik dalam kalangan belia wanita di sana.

Didapati, pengambilan diet makanan rebung sebanyak 360 gram sehari selama 6 hari berturut-turut membantu menyihatkan sistem pencernaan responden yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

4. Membantu detox badan

Kandungan dalam rebung membantu badan membuang toksin. Dengan kehadiran pelbagai sebatian bioaktif, rebung sangat membantu menyingkirkan toksin.

Sekumpulan penyelidik dari Missisipi, Amerika Syarikat dalam kajian mereka yang diterbitkan dalam Jurnal Agricultural of Food Chemistry telah menemui hampir 70 jenis sebatian bioaktif dalam rebung yang bersifat antioksidan.

Antara sebatian utama ialah p-cresol, 2-heptanol, acetic acid dan 1-octen-3-ol.

5. Menurunkan berat badan

Imej via Bidadari

Kandungan serat yang tinggi membolehkan anda menurunkan badan dengan cepat secara semulajadi dan sihat. Ia memberikan rasa kenyang yang lama. Dilaporkan hampir 95% daripada rebung merupakan sumber serat yang boleh dimakan dengan nilai kalori yang sangat rendah.

Kandungan lemak rebung juga sangat rendah iaitu 2.6 gram lemak bagi setiap 100 gram rebung.

6. Menstabilkan tekanan darah

Oleh kerana kandungan kalium yang tinggi dalam rebung, ia amat membantu dalam mengekalkan tekanan darah yang stabil. Rebung juga menstabilkan kesan ke atas tekanan darah arteri.

Kajian lepas melaporkan bahawa kehadiran kalium dalam rebung membantu mengekalkan degupan jantung pada ritma yang normal.

Selain itu, kandungan serat yang tinggi dalam diet seseorang (khususnya serat tinggi dalam rebung) sememangnya telah terbukti secara meluas dalam komuniti klinikal dan saintifik bahawa serat mampu menurunkan tekanan darah.

7. Menyembuhkan Bisul Dan Luka

Mempunyai sifat anti inflamasi dan analgesik yang dapat membantu mempercepat proses penyembuhan bisul dan luka.

Berdasarkan kajian daripada penyelidik di New Delhi, India pada tahun 2011, rebung kaya dengan kandungan amino asid, selenium, potassium dan mineral lain yang sangat membantu proses penyembuhan luka dengan lebih cepat.

8. Memudahkan Proses Kelahiran

Imej via Bidadari

Berdasarkan bacaan sorotan kajian lepas, rebung termasuk tanaman jenis uterotonika yang dapat membantu meningkatkan kontrasi rahim sekaligus dapat memudahkan proses kelahiran.

9. Mengurangkan risiko strok

Makanan yang kaya dengan kalium sekitar 400 mg didakwa sangat bermanfaat untuk mengurangkan risiko serangan stroke.

Penderita stroke biasanya mengalami kekurangan mineral ini. Orang yang menderita kekurangan kalium, biasanya akan mengalami kekejangan otot.

Mereka boleh mengambil sayur rebung untuk mencukupi keperluan unsur kalium harian dalam badan.

10. Serat membantu mengatasi banyak penyakit

Kekurangan serat ternyata boleh juga menyebabkan berbagai jenis penyakit. Kekurangan serat boleh menyebabkan terjadinya aterosklerosis atau pembuluh darah tersumbat, diabetes melitus, hiperkolesterolemia, sakit jantung, kanser usus besar (kolon) dan sebagainya.

Serat merupakan zat yang berbentuk karbohidrat kompleks dan biasanya banyak terdapat pada dinding sel tanaman sayuran termasuk rebung buluh.

11. Manfaat Lain

Selain itu, rebung juga dikatakan:

  • Meningkatkan Sistem Imun Badan
  • Dengan jumlah yang tinggi ciri-ciri antioksidan, rebung menyumbang ke arah mengelakkan risiko kanser usus besar.
  • Selain daripada meningkatkan imuniti tubuh, pucuk buluh mempunyai ciri-ciri anti-radang yang mengurangkan risiko dijangkiti pelbagai penyakit kronik.
  • Rebung telah dirujuk sebagai ubat herba yang berkesan untuk mengurangkan kekejangan dalam pundi hempedu.
  • Tumbuhan ini telah terbukti untuk merawat demam campak lebih cepat daripada mana-mana ubat-ubatan lain. Untuk hasil yang terbaik, sup disediakan daripada rebung mesti dimakan dua kali sehari sehingga simptom reda.
  • Lain-lain faedah rebung ialah dikaitkan untuk merawat keguguran rambut, gatal-gatal, pendarahan, katarak dan masalah mata yang lain, haid menyakitkan, sakit pundi kencing, jangkitan gonorrhea dan sakit sendi.
Khasiat rebung

Sumber: Mediasosialkini

Rujukan

  1. Chongtham, N., Bisht, M. S., & Haorongbam, S. (2011). Nutritional properties of bamboo shoots: potential and prospects for utilization as a health food. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety10(3), 153-168.
  2. Choudhury, D., Sahu, J. K., & Sharma, G. D. (2012). Value addition to bamboo shoots: a review. Journal of Food Science and Technology49(4), 407-414.
  3. Fu, S. G., Yoon, Y., & Bazemore, R. (2002). Aroma-active components in fermented bamboo shoots. Journal of Agricultural and Food Chemistry50(3), 549-554.
  4. Singhal, P., Bal, L. M., Satya, S., Sudhakar, P., & Naik, S. N. (2013). Bamboo shoots: a novel source of nutrition and medicine. Critical reviews in food science and nutrition53(5), 517-534.

Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan menyukai perkongsian kami tentang khasiat manjakani, khasiat minyak zaitun, dan khasiat tomato.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.