Bagaimanakah cara meneran bayi dengan betul untuk elak koyakkan yang besar? Tidak dinafikan pengalaman bersalin memang menyakitkan bagi setiap wanita.

Bahkan antara aspek yang tidak disenangi oleh kaum ibu adalah koyakan semasa bersalin.

Menurut Americal College of Obstetricians and Gynecologist (ACOG), mendapati bahawa 53% – 79% kelahiran normal mengakibatkan beberapa tahap koyakan, sama ada pada faraj atau perineum (kulit antara faraj dan dubur).

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan cara meneran bayi yang betul dan mengelakkan koyakan teruk semasa proses persalinan.

Sebab terjadi koyakan ketika bersalin

Koyakan faraj adalah perkara biasa semasa bersalin. Ia biasa berlaku apabila kepala bayi keluar melalui lubang faraj.

Koyakan ini adalah disebabkan oleh saiz kepala bayi yang terlalu besar untuk faraj merenggang.

Tahap koyakan faraj ketika bersalin

cara meneran bayi

Tahap 1

Ini adalah jenis koyakan paling tidak teruk yang boleh dialami oleh seseorang semasa bersalin. Koyakan tahap pertama hanya menjejaskan kulit perineum, iaitu kulit antara pembukaan faraj dan rektum.

Jenis koyakan ini mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan, dan akan sembuh dalam masa beberapa minggu.

Wanita yang mengalami koyakan faraj tahap pertama sering mengalami sedikit sakit ringan semasa mereka pulih, serta rasa pedih semasa membuang air kecil.

Tahap 2

Koyakan tahap kedua merebak lebih dalam ke dalam faraj berbanding koyakan tahap pertama, dan menjejaskan kedua-dua kulit dan otot perineum.

Tahap koyakan ini adalah yang paling biasa dialami semasa bersalin, dan biasanya memerlukan jahitan untuk membaiki kedua-dua otot dan kulit.

Tahap 3

Koyakan faraj tahap tiga pula meluas ke dalam sfinkter dubur, iaitu otot yang mengelilingi dubur. Proses pembaikan ini mungkin memerlukan bius am di dalam bilik pembedahan, dan masa pemulihan memerlukan beberapa minggu.

Tahap 4

Koyakan jenis ini paling jarang berlaku di kalangan wanita bersalin. Seperti dengan koyakan tahap ketiga, koyakan tahap keempat bukan sahaja meluas dari faraj ke dalam sfinkter dubur, tetapi juga ke dalam rektum itu sendiri.

Disebabkan oleh tahap keterukan jenis koyakan ini, anda mungkin akan diletakkan di bawah jagaan pakar dan pembaikan mesti dilakukan di bilik pembedahan.

Cara meneran bayi yang betul

cara meneran bayi

Cara meneran semasa bersalin

  1. Angkat kepala sehingga dagu mencecah dada.
  2. Mata memandang ke arah perut.
  3. Tangan pegang pergelangan kaki.
  4. Elakkan mengeluarkan suara ketika meneran. Simpan tenaga untuk meneran
  5. Jangan sesekali angkat punggung agar luka tidak melibatkan dubur.
  6. Tarik nafas dengan dalam dan teran seperti keadaan membuang air besar.
  7. Pastikan anda tidak mengeluarkan nafas dengan kuat.
  8. Teran sekuat – kuatnya selama yang boleh (selama 10 saat sekiranya boleh).
  9. Rehat dan relaks ketika tiada kontraksi. Basahkan bibir dengan air dengan bantuan suami.
  10. Curi nafas dan teruskan meneran di setiap kontraksi.
  11. Dengar arahan jururawat dan doktor
  12. Elakkan menjerit – jerit supaya pembaziran tenaga dapat dielakkan.

Kedudukan postur badan

Ibu perlu ambil berat tentang postur badan semasa hendak bersalin. Yang terbaik adalah seperti berikut:

  • Berbaring dengan keadaan kedua belah kaki terbuka luas.
  • Kedua-dua kaki dilipatkan sedikit ke belakang.
  • Bahagian belakang akan ditinggikan bahagian sedikit.
  • Cuba pegang pada tumit atau meletakkan kaki pada penyokong besi yang disediakan.

Banyakkan berehat sebelum bersalin

Proses ketika meneran memerlukan banyak tenaga. Sebab itulah, wanita selepas melahirkan berasa penat yang terlampau.

Justeru itu, anda disarankan untuk banyakkan berehat sebelum proses bersalin. Cukuplah sekadar berjalan-jalan di sekitar wad untuk menenangkan fikiran, mengurangkan tumpuan kepada perasaan sakit, dan membantu mempercepatkan proses bersalin.

Elak meneran terlalu awal

Anda perlu elak meneran sebelum bukaan serviks 10cm. Hal ini kerana, jika seseorang meneran terlalu awal, ia akan menyebabkan anda mudah berasa penat dan stress semasa proses meneran sebenar nanti.

Ambil snek ringan untuk tenaga

Sebelum masuk ke dewan bersalin, anda boleh makan snek ringan yang sihat dalam kuantiti yang kecil untuk memberikan tenaga dan mengalas perut.

Contohnya roti, minuman berkhasiat dan buah-buahan seperti pisang.

Peka arahan petugas perubatan

Anda hendaklah sentiasa peka dan ikut dengan segala arahan yang diberikan oleh petugas perubatan yang merawat.

Beritahu mereka jika anda mempunyai sebarang masalah ketika meneran. Kemudian, teran apabila disuruh dan tahan apabila tidak perlu teran.

Ianya penting kerana petugas perubatan ini akan memberikan arahan teran berpandukan kepada bacaan CTG dan keadaan bayi anda.

Cara pemulihan dari luka koyakan bersalin

Kawasan luka koyakan selepas bersalin adalah kawasan intim yang perlu dijaga rapi. Berikut kami kongsikan 5 tips mudah penjagaan luka jahitan bersalin normal:

  • Pastikan kawasan perineum (kawasan tisu antara bukaan faraj dan dubur) bersih untuk elak dari jangkitan pada luka jahitan.
  • Elak daripada masalah sembelit bagi mengelak tekanan di bahagian luka.
  • Pakai pakaian dalam yang selesa seperti jenis kapasa (cotton).
  • Kerap tukar pad.
  • Elakkan dari mencangkung.
  • Sentiasa periksa tanda jangkitan yang berlaku.

Selain dari tips cara meneran bayi ini, anda juga boleh baca artikel panduan kami yang lain berkenaan kehamilan seperti:

Sumber:

  1. Real Talk: Vaginal Tearing during Childbirth. Lancester General Health
  2. Expert Tips for How to Prevent Tearing During Birth. The Bump

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.