Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya inginkan cahayamata sebagai penyeri rumah tangga dan lambang cinta dua hati yang tidak bertepi.

Sebaik sahaja anda disahkan mengandung, pastinya anda berasa bersyukur yang tidak terhingga dan mula mencari ilmu dan maklumat tentang kehamilan, terutamanya jika ini adalah kandungan pertama anda.

Di antara ilmu penting yang perlu anda dan pasangan ketahuilah ialah tentang proses perkembangan bayi dan kedudukan bayi dalam kandungan mengikut bulan. Istimewa untuk anda, kali ini kami akan kongsikan maklumat lengkap tentang kedudukan bayi dalam kandungan dari 2 sehingga 9 bulan. Semoga bermanfaat buat anda.

kedudukan bayi dalam kandungan
Sumber: Rebelcircus

2 bulan

Pada usia kandungan anda 2 bulan atau 8 minggu, bayi anda adalah sebesar sebiji strawberi yang kecil dengan ukuran kira-kira 1.6 cm dan berat 1.1 gram. Bayangkan strwaberi comel dengan mata, mulut dan hidung yang baru mula terbentuk. Comel sangat kan?

Ekor berudu bayi anda akan hilang dan diganti dengan kaki dan tangan comel yang mula tumbuh. Pada kandungan 2 bulan anda belum dapat merasa pergerakan bayi anda namun yang sebenarnya, pada masa ini bayi anda sudah boleh bergerak. Bayi anda sudah mampu untuk menggerakkan pinggang dan memusingkan badannya.

Pada masa ini, bayi anda akan berada pada kedudukan kepala di atas dan kaki dibawah.

3 bulan

Apabila kandungan anda mencecah 3 bulan, pada waktu ini kedudukannya dalam kandungan masih lagi dalam posisi kepala di atas dan kaki di bawah. Pada saat ini mata, hidung, dan telinga bayi anda sudah terbentuk dengan sempurna. Malah kaki dan tangan bayi anda sudah mempunyai kuku yang comel.

Apa yang lebih menarik, seawal 3 bulan alat kelamin bayi anda sudah terbentuk. Bayi anda sudah mempunyai jantina namun oleh kerana alat kelamin bayi anda masih belum sempurna, adalah mustahil untuk menentukan jantina bayi anda pada tahap ini. Anda perlu bersabar sedikit.

Semasa berumur 3 bulan, bayi anda akan menggeliat dengan kerap. Malah bayi anda sudah pandai menguap, menelan air ketuban, membuang air kecil, dan menghisap ibu jarinya.

kedudukan bayi dalam kandungan
Sumber: Deeprootsathome

4 bulan

Apabila kandungan anda memasuki usia 4 bulan, kedudukan bayi anda masih lagi dalam keadaan kepala di atas dan kaki di bawah. Walau pun bayi anda semakin aktif bergerak dan memusingkan badannya, namun posisi ini akan dikekalkan oleh bayi anda. Apabila memasuki 4 bulan, bentuk badan bayi anda akan semakin kelihatan seperti manusia dengan kepala besar dan kaki tangan yang pendek.

Pada waktu ini, organ dalaman bayi anda seperti paru-paru, hati, pankreas, usus, dan lain-lain sudah mula terbentuk. Apa yang paling menarik, bayi anda akan mula pandai menendang. Kebanyakan ibu akan mula merasa gerakan bayi pada waktu ini.

Jika anda adalah ibu yang mengandung untuk kali pertama, mungkin anda tidak perasan bahawa apa yang anda rasai adalah pergerakan bayi. Ini kerana bayi anda masih kecil dan pergerakannya adalah sangat lembut. Jika anda belum merasai pergerakan bayi anda, usah risau. lambat-laun anda akan merasainya juga.

5 bulan

Sebaik sahaja kandungan anda memasuki usia 5 bulan, bayi anda akan menjadi semakin aktif dan semakin kerap bergerak. Pada waktu ini kebanyakan ibu sudah merasai pergerakan bayi dalam kandungannya, termasuk ibu yang pertama kali mengandung. Pada mulanya anda akan merasakan pergerak yang perlahan namun lama kelamaan bayi anda akan semakin kuat dan menghasilkan pergerakan yang kuat.

Telinga bayi anda sudah boleh mendengar dan bunyi pertama yang akan didengar oleh bayi anda ialah degupan jantung anda dan suara anda. Apabila mendengar suara anda atau pasangan, bayi anda akan aktif bergerak menunjukkan bahawa dia sedang berasa gembira dapat mendengar suara kegemarannya.

Pada waktu ini anda sudah boleh melihat jantina bayi anda dengan alat ultrasound. Semasa melakukan imbasan, bayi anda akan berada dalam kedudukan melintang di dalam kandungan anda dengan kepala berada di bahagian kanan dan kaki di bahagian kiri perut anda, atau sebaliknya.

6 bulan

Semasa berumur 6 bulan dalam kandungan, kedudukan bayi anda masih lagi dalam posisi melintang iaitu kepala di bahagian perut kanan dan kaki di bahagian perut kiri anda atau sebaliknya. Pada saat ini rambut bayi anda akan semakin lebat. Malah tubuh badan bayi anda mula ditumbuhi bulu-bulu halus yang lembut.

Daya pendengaran bayi anda sudah semakin tajam dan bayi anda mendengar semua bunyi dan suara yang ada di sekeliling anda. Pada masa ini adalah sangat baik untuk anda pasangkan bacaan surah Al-Quran atau alunan zikir supaya didengari oleh bayi dalam kandungan anda. Lebih baik kalau anda berzikir dan mengaji selalu untuk bayi anda.

Kedudukan bayi anda dalam kandungan pada waktu ini masih sama. Bayi anda belum berpusing untuk menurunkan kepalanya ke bawah memandangkan waktu bersalin masih jauh.

7 bulan

Anda sudah memasuki trimester ketiga dan terakhir kehamilan anda. Pada tahap ini keduduka bayi anda akan mula berubah di mana bayi anda akan mula berpusing dengan kedudukan kepala menuju ke bawah. Bayi anda sudah pandai mengelipkan mata.

Paru-paru bayi anda juga sudah matang dan jika bayi anda dilahirkan awal pada masa ini, peluang bayi anda untuk terus hidup adalah sangat cerah.

8 bulan

Kedudukan bayi dalam kandungan semasa berusia 8 bulan ialah dengan posisi kepala di bawah dan kaki di atas. Jika pada masa ini bayi anda berada dalam kedudukan lain seperti melintang, usah gusar.

Masih ada masa untuk bayi anda mengubah kedudukannya. Jangan berurut untuk membetulkan kedudukan bayi anda kerana ianya boleh membahayakan nyawa anda dan bayi.

9 bulan

Mencecah usia 9 bulan, bayi anda sudah bersedia untuk dilahirkan ke dunia dengan berada dalam posisi kepala di bawah dan kaki di atas. Kepala bayi anda akan semakin turun ke bawah dan memasuki ruang pelvis anda. Semakin dekat anda nak bersalin, anda akan merasakan bayi anda semakin turun ke bawah.

kedudukan bayi dalam kandungan
Sumber: Babycenter

Itulah dia info tentang kedudukan bayi dalam kandungan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang posisi tidur untuk hamil dan selsema ketika hamil

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.