Dalam kegembiraan kita menyambut hari raya jangan dilupakan akan amalan sunat hari raya aidilfitri yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam untuk buat.

Banyak sebenarnya pahala dan kebaikan yang boleh kita dan keluarga raih apabila mengamalkan sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

1. Melaungkan takbir

amalan sunat hari raya aidilfitri

Banyakkan bertakbir dan bersyukur kepada Allah. Dalam masa yang sama berdoalah memohon ampun moga diberi keberkatan di hari yang mulia ini.

Ibn Umar RA keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

Dalil bagi hukum sunat bertakbir pada hari raya aidilfitri ini berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk Nya.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 135)

2. Menghidupkan malam hari raya dengan ibadah

Kita digalakkan untuk menghidupkan malam raya dengan bertakbir dan membesarkan Allah serta berdoa.

Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (aidiladha dan aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah, No. 1782)

Mufti wilayah persekutuan ada menyampaikan beberapa panduan berguna untuk kita buat pada malam hari iaitu seperti:

  • Hadirlah solat berjemaah di masjid atau surau khususnya solat isyak dan subuh. Imarahkan dan meriahkan rumah Allah dengan ibadah. Jadikan sepertimana di bulan Ramadhan.
  • Hiasilah malam hari raya dengan bertakbir. Inilah syiar yang perlu sentiasa diamalkan dan jangan ditinggalkan.
  • Bangun 1/3 malam dan lakukan solat sunat. Penuhkan dengan ibadah-ibadah ketaatan yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikir, bertasbih dan berdoa. Mohon pada Allah agar Allah memberikan pengampunan dan berdoa agar dipertemukan kembali dengan Ramadhan yang akan datang.
  • Jangan cemari malam hari raya dengan perkara-perkara yang lalai dan tidak mendatangkan faedah.

3. Mandi sunat aidilfitri

Mandi sunat hari raya biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya. Hal ini berdasarkan daripada amalan para sahabat:


عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Maksudnya: “Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar RA mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.” – (Muwatta’ Malik, hadis sahih)

Selain itu, berdasarkan hadis riwayat Al-Baihaqi:

Maksudnya: Ali bin Abi Thalib RA pernah ditanya mengenai mandi. “Adakah diharuskan mandi setiap hari?” Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

 Lafaz mandi sunat adalah seperti yang berikut:

نويت الغسل لعيد الفط سنة لله تعلى

Maksudnya: “Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta’ala.”

Selepas berniat, lalu mandilah seperti biasa seperti mana yang kita lakukan setiap hari.

4. Memakai pakaian baru dan bersih

amalan sunat hari raya aidilfitri

Islam sangat menitikberatkan soal hal-hal yang berkaitan dengan kecantikan dan kebersihan.

Namun begitu, Islam tidak ada menetapkan secara khusus bagaimana bentuk pemakaian bagi seseorang Muslim atau Muslimah seperti perlu memakai kain buatan apa, jenis apa, berapa helai, warna apa dan sebagainya. 

Apa yang penting ianya tidak melanggar batasan syarak. Tujuan kita memakai pakaian yang baru bukanlah untuk riak atau menunjuk-nunjuk.

Sebaliknya yang patut diperlihatkan tanda syukur kita pada nikmat yang telah Allah berikan. Daripada Ibnu Umar RA berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

إن الله يحب أن يُرَى أثرُ نعمته على عبده

“Sesungguhnya Allah menyukai untuk melihat kesan nikmat-Nya ada pada hamba-Nya.” – (Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi).

Justeru itu, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk memakai pakaian yang baru dan terbaik terutama pada hari-hari kebesaran Islam yang menjadi kegembiraan bagi umat Islam sendiri. 

5. Memakai wangian atau haruman

amalan sunat hari raya aidilfitri

Kita memakai wangian setiap hari kerana untuk menghilangkan bau badan dan menambah keyakinan diri. Namun jauh dari semua itu, kita terlupa bahawa berwangi-wangian ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Tiga perkara yang disukai oleh ku daripada dunia 1. Wanita yang halal 2. Wangian 3. Rasa seronok dalam solat.” – (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi- hadis hasan)

Bahkan Rasulullah SAW juga amat menyukai wangian, dan baginda tidak pernah menolak pemberian seperti wangian.

6. Berjalan kaki ke masjid

Terdapat dalil-dalil yang disebutkan jelas menunjukkan bahawa berjalan kaki menuju ke masjid adalah lebih afdhal berbanding menaiki kenderaan sama ada motor ataupun kereta.

Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Maksudnya: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 908).

Jika jarak antara masjid dan rumah tidak jauh dan kita yakin dalam kelajuan berjalan kaki itu kita masih boleh merebut saf pertama, adalah sangat digalakkan untuk kita mendahulukan berjalan kaki dari menaiki kenderaan.

7. Menggunakan jalan berbeza

Kita digalakkan untuk pergi dan pulang dari masjid menggunakan jalan berbeza kerana kita dapat menemui ramai orang seterusnya dapat mengeratkan silaturahim, mengetahui khabar berita serta perihal kebajikan orang lain.

Rasulullah SAW juga menuju ke tempat solat Aidilfitri dan pulang ke rumah melalui jalan yang berbeza.

Daripada Jabir bin ‘Abdullah, beliau berkata: “Rasulullah membezakan jalan (ketika pergi menunaikan solat dan pulang ke rumah) ketika Aidilfitri.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

8. Bersedekah kepada yang memerlukan

amalan sunat hari raya aidilfitri

Antara amalan yang paling mudah untuk dilakukan adalah bersedekah. Dalil pensyariatan sedekah dalam Islam yang boleh dilihat dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, ayat 271:

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

9. Ucap selamat dan saling mendoakan

Bersalaman dengan ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga yang muhrim memohon ampun dan maaf.

10. Menjamah makanan sebelum keluar

Makan sedikit sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya. Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.” – (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

11. Mendirikan solat sunat hari raya

Solat sunat Aidilfitri adalah solat dua rakaat yang dilakukan pada 1 Syawal. Solat ini mempunyai rukun dan syarat serta sunatnya yang sama seperti solat fardu yang lima.

Kecuali ada perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

Hukum mendirikan solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad. Lafaz niat solat sunat Aidilfitri ini adalah seperti yang berikut:

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.”

Untuk lebih memahami kaifiat solat sunat ini, anda boleh baca pada artikel kami yang lepas: solat sunat aidilfitri

12. Saling ziarah-menziarahi

Budaya ziarah-menziarahi atau rumah terbuka dapat mengeratkan tali silaturahim antara umat Islam dan masyarat majmuk yang berbilang kaum serta kepercayaan.

13. Berpuasa sunat 6 hari

Puasa 6 hari pada bulan Syawal mempunyai banyak kelebihannya seperti mana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim, 1164)

Puasa sunat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dalam bulan Syawal kecuali 1 Syawal.

Lafaz niat puasa 6 Syawal adalah seperti yang berikut:

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”

14. Datang awal ke masjid

Ganjaran pahala datang awal ke masjid bukanlah hanya terdapat pada solat jumaat sahaja. Bahkan untuk solat-solat fardhu dan solat sunat yang lain banyak faedahnya yang boleh kita peroleh seperti dapat solat di saf pertama.

Firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” – (Surah Ali Imran, ayat133)

15. Sambut hari raya ikut syarak

Ramadhan mendidik diri kita dengan nilai-nilai peribadi yang baik untuk kita menambah keimanan dalam diri.

Justeru itu, Imam Ibn Rajab al-Hanbali pernah menyebut: “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”

Kesimpulannya, dalam sebulan kita berhari raya sambutlah ia dengan penuh kesyukuran berpandukan garis panduan syarak yang telah ditetapkan.

Selain dari amalan sunat hari raya aidilfitri ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan hari raya seperti:

Sumber:

  1. Cara Menyambut Aidilfitri Mengikut Sunnah. Mufti Terengganu
  2. Hari Raya Menurut Islam. Mufti Pahang
  3. Bayan Linnas Siri Ke-23: Adab Berhari Raya dan Kesilapannya. Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.