Ada yang lupa aktiviti hari raya Aidilfitri ke? Maklumlah sudah dua tahun meraikannya secara kecil-kecilan dan terkandas di perantauan. Saat yang ditunggu oleh semua umat Islam telah pun tiba.

Setahun sekali meraikannya bersama yang tersayang pasti meninggalkan kesan manis untuk diingati. Lebih-lebih lagi pada tahun ini kerana sudah dua tahun rakyat Malaysia raya bersederhana ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Bila ramai yang tak dapat pulang ke kampung menyambut Syawal yang lepas, pasti Syawal tahun ini disambut dengan lebih meriah bersama keluarga besar. Kalau ada yang terlupa aktiviti Hari Raya Aidilfitri, jom kita imbau kembali.

Membayar Zakat Fitrah

Nak beraya dengan seronok jangan sampai lupa untuk membayar zakat Fitrah. Zakat Fitrah diwajibkan kepada seluruh umat Islam yang merdeka, memiliki harta yang lebih dan sebagainya. Zakat merupakan cara untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. Nak tahu lebih mengenai zakat fitrah, rujuk https://www.zakat.com.my/.

Jika anda belum membayar zakat, bayarlah pada waktu wajib iaitu setelah terbenam matahari pada akhir Ramadan sehingga terbit matahari pada 1 Syawal. Nak lebih afdal, keluarkan zakat selepas solat fardhu subuh pada hari akhir Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidil Fitri.

Kadar zakat fitrah berbeza mengikut negeri dan berubah dari semasa ke semasa. Kadar bayaran ini ditetapkan mengikut makanan asasi setiap negara.

Masak Hidangan Raya

Nama pun beraya, sudah tentu ada juadah raya. Lebih istimewa jika dimasak sendiri pada malam raya. Jika di kampung, pasti semua keluarga bergotong-royong untuk masak juadah kegemaran masing-masing.

Lemang, ketupat dan rendang pasti menjadi menu utama hampir setiap rumah. Tak kurang juga nasi impit bersama kuah kacang atau lontong. Yang penting, bila balik beraya bersama, segala kerja perlulah dibuat bersama. Jangan curi tulang ya!

Mengemas Rumah

Pada malam raya atau selepas subuh pula pasti ada yang kemas rumah pada saat akhir. Pasti ramai tetamu yang akan datang menziarahi. Rumah perlulah berada dalam keadaan bersih dan kemas, baru selesa tetamu datang.

Antara checklist untuk mengemas rumah pada saat akhir adalah menyapu, memasang langsir baru, membersihkan halaman rumah dan menyediakan pinggan mangkuk untuk menjamu selera.

Kuih raya jangan lupa diletakkan di dalam balang istimewa. Tipulah kalau tak pernah makan kuih raya sambil letakkannya di dalam balang. Sedar-sedar je dah habis dimakan sendiri. Bila tetamu sudah pulang, pastikan isi semula balang kuih yang kosong.

Solat Hari Raya

Pada pagi 1 Syawal, mesti ramai nak solat raya berjemaah di masjid terutama golongan lelaki. Sebelum bersiap hendak ke masjid, buatlah perkara sunat iaitu mandi sunat hari raya. Jangan lupa untuk menjamah sedikit makanan sebelum bergerak ke masjid.

Nak dapat lebih pahala, apa kata anda berjalan kaki dan menukar jalan ke surau atau masjid memandangkan ini juga merupakan perkara sunat sewaktu hari raya Aidilfitri. Banyakkan bertakbir semasa perjalanan sehingga solat hari raya dimulakan.

Jika berjumpa dengan umat Islam yang lain, ucapkan selamat hari raya dan saling mendoakan satu sama lain. Antara doa yang digalakkan adalah تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ yang bermaksud semoga Allah menerima amalan (amal ibadah) kami dan kamu.

Bersalaman dan Bermaafan

Tradisi yang sering dilakukan pada hari raya adalah bersalaman dan bermaafan antara satu sama lain. Kebiasaannya setiap keluarga akan berkumpul dan mengambil giliran untuk bersalaman sambil memberi duit raya.

Inilah peluang untuk untuk meminta maaf, mengakui kesalahan dan meluahkan apa yang terpendam. Dengan ini, hati rasa lebih terbuka dan silaturahim dapat dieratkan lagi. Tapi ingat, kalau bukan hari raya sekali pun, kita perlulah saling bermaafan dan belajar dari kesilapan.

Menziarahi

Sudah dua tahun tidak dapat menziarahi satu sama lain ekoran PKP, aktiviti ziarah-menziarahi hanya dilakukan melalui panggilan video. Tahun ini pasti bertambah meriah rumah dengan kunjungan sanak-saudara dan sahabat handai secara bersemuka.

Paling tidak dalam satu hari pasti dapat berkunjung ke 10 buah rumah. Sambil bertanya khabar dan bertukar cerita, perut pasti kenyang merasai pelbagai juadah di setiap rumah. Makan beramai-ramai pasti bertambah seleranya.

Masa ini lah dimanfaatkan untuk berkenalan dengan sanak-saudara. Simpan telefon bimbit seketika dan lupakan dunia sosial. Bukan selalu dapat beramah mesra dengan ramai orang.

Merakam Gambar

Tak lengkap aktiviti hari raya Aidilfitri jika tiada sesi bergambar atau ootd untuk dijadikan kenangan. Rugi jika sudah berpakaian cantik tetapi tidak merakamkan gambar. Lebih-lebih lagi sewaktu berkumpul bersama seisi keluarga.

Media sosial pasti penuh dengan gambar ootd raya dengan kapsyen yang kreatif. Yang penting, semua bergembira meraikan bulan kemenangan ini.

Bermain Bunga Api

Pada sebelah malam pula, aktiviti bermain bunga api, mercun atau meriam pasti tak ketinggalan. Kanak-kanak terutamanya pasti riang bermain bersama-sama. Yang dewasa pula jangan lupa untuk sentiasa memantau mereka agar tidak berlaku kejadian yang tak diingini.

Suasana malam pasti lebih meriah dengan pelbagai bunyi dan cahaya bunga api serta mercun. Namun diingatkan agar tidak bermain mercun sehingga larut malam dan mengganggu jiran. Seronok-seronok juga, namun kita perlulah prihatin dengan sekeliling.

Semoga segala amalan kita pada bulan Ramadan diterima oleh Allah SWT. Setelah sebulan berpuasa, Hari raya Aidilfitri diraikan bagi menyambut bulan kemenangan ini. Jangan lupa untuk berkongsi rezeki tidak kira pangkat atau darjat.

Pasti ada lagi aktiviti hari raya aidilfitri yang kami tidak nyatakan. Jom kongsikan dengan kami aktiviti lain daripada yang lain yang anda lakukan pada hari raya.

Kami juga ada menulis artikel lain yang bermanfaat buat anda seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.