Bagi seorang ibu mengandung, pastinya anda sentiasa berhati-hati agar tidak jatuh sakit bagi memastikan kandungan anda tidak terjejas. Demam, batuk, dan selsema adalah di antara penyakit yang selalu dialami oleh ibu mengandung.

Kedengaran seperti penyakit biasa, namun semasa mengandung pastinya anda ingin mengelakkan daripada mengambil sebarang ubat.

Imej via Bidadari

Kali ini kami akan kongsikan kepada anda info tentang selsema ketika hamil sebagai panduan untuk anda. Kenapa ibu hamil mudah terkena selsema? Adakah selsema ketika hamil boleh menjejaskan kandungan anda? Apakah tips berkesan untuk mengatasi selsema ketika hamil.

Kenapa ibu hamil mudah terkena selsema?

Ibu mengandung mudah terkena selsema kerana semasa mengandung, tahap imuniti badan akan menurun lalu menyebabkan virus dan bakteria mudah menjangkiti badan. Selepas dijangkiti, anda berpotensi untuk sakit dengan teruk kerana badan tidak mampu untuk melawan penyakit tersebut akibat antobodi yang lemah.

Adakah selsema ketika hamil boleh menjejaskan kandungan anda?

Jika anda tertanya-tanya adakah selsema semasa mengandung boleh menjejaskan kandungan, jawapannya ialah ya. Ini kerana semasa mengandung, tubuh badan seorang wanita mengalami perubahan yang besar dan menjejaskan sistem imun dan daya tahan lawan penyakit lalu menyebabkan penyakit ringan seperti selsema mampu memberikan impak buruk yang besar.

Selsema semasa mengandung boleh menjejaskan kandungan anda dengan menyebabkan:

  • Gangguan kepada pertumbuhan bayi dalam kandungan. Ia boleh menyebabkan perkembangan bayi anda terbantut lalu menyebabkan bayi anda lebih kecil daripada saiz yang sepatutnya.
  • Kecacatan pada janin. Selsema yang dianggap sebagai penyakit biasa juga mampu menyebabkan berlaku kecacatan pada janin akibat tumbesaran yang terganggu.
  • Selsema ketika hamil juga boleh menyebabkan keguguran berlaku. Oleh itu, jika anda terkena selsema ketika hamil, jangan pandang ringan.

Apakah komplikasi yang boleh berlaku kepada ibu hamil akibat selsema?

Selain menjejaskan kandungan, selsema semasa mengandung juga boleh menyebabkan berlakunya komplikasi berikut kepada ibu:

  • Pneumonia atau radang paru-paru. Ini adalah komplikasi selsema semasa mengandung yang paling kerap berlaku.
  • Meningitis. Selain Pneumonia, ibu mengandung juga berisiko untuk mendapat Meningitis sekiranya virus yang menjangkiti tubuh badan mula merebak ke bahagian otak lalu menyebabkan berlakunya keradangan pada otak yang terjejas.
  • Bronkitis atau jangkitan paru-paru juga adalah di antara komplikasi yang boleh berlaku.
  • Myocarditis atau keradangan pada otot jantung adalah komplikasi selesema semasa mengandung yang paling ditakuti dan sangat membahayakan kesihatan.

Apakah tips untuk menghilangkan selsema semasa hamil yang berkesan?

Imej via Bidadari

Adalah sangat penting untuk anda mendapatkan rawatan segera sekiranya terkena selsema semasa mengandung. Pengambilan ubat selsema adalah rawatan yang biasa diberikan jika anda mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Selain mengambil ubat, anda juga boleh mengamalkan tips untuk menghilangkan selsema semasa mengandung yang berkesan seperti berikut:

  • Banyakkan memakan makanan yang kaya dengan vitamin c untuk meningkatkan imuniti dan daya lawan penyakit tubuh badan anda. Anda boleh memilih untuk makan vitamin atau supplement yang banyak dijual di pasaran, atau anda juga boleh mengambil buah-buahan yang kaya dengan vitaminc seperti oren, limau, jambu batu, kiwi, dan sebagainya.
  • Banyakkan makan makanan berasaskan halia. Halia membantu meningkatkan imuniti dan menghilangkan selsema dengan cepat.
  • Teh o panas yang dicampur dengan halia juga sangat membantu untuk menghilangkan selsema semasa mengandung.
  • Selain teh o panas yang dimasukkan halia, teh o panas yang dimasukkan sehiris lemon juga tidak kurang hebatnya dalam membantu menghilangkan selsema bagi ibu yang sedang mengandung. Ianya sangat menyegarkan dan akan melegakan selsema yang anda alami.
  • Teh o panas bersama sedikit madu juga dikatakan berkesan untuk menghilangkan selsema tanpa perlu mengambil ubat selsema yang diberikan oleh doktor.
  • Bawang putih. Bawang putih adalah anti bakteria dan anti fungal yang berfungsi untuk membunuh virus dan bakteria yang menjangkiti tubuh badan. Pengambilan bawang putih semasa selsema membantu tubuh badan melawan jangkitan yang berlaku dan menghilangkan selsema dengan cepat.
  • Elakkan cuaca yang terlalu sejuk atau terlalu panas kerana keduanya akan menyebabkan selsema anda menjadi semakin teruk. Cuaca yang panas akan menyebabkan hingus anda menjadi cair lalu menyebabkan hingus tidak berhenti-henti meleleh dari hidung anda, sementara cuaca yang terlalu sejuk akan menyebabkan anda mengalami hidung tersumbat. Oleh itu, pastikan suhu bilik anda tiak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk supaya selsema anda tidak menjadi semakin buruk.
  • Kerap membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer. Jika anda terkena selsema semasa mengandung, pastikan anda membasuh tangan dengan sabun atau sanitizer dengan kerap, terutamanya selepas anda bersin atau menghembus hingus.
  • Memakai topeng muka juga sangat membantu untuk mengelakkan selsema anda menjadi semakin teruk dan mengelakkan anda mendapat jangkitan yang baru.
  • Jauhi mereka yang sedang selsema dan mengalami penyakit berjangki yang lain.
  • Jika anda ingin bersin, elakkan daripada bersin ke tapak tangan. Bersin ke arah siku anda. Ini kerana jika anda bersin ke tapak tangan, bakteria dan virus akan terkumpul di tapak tangan anda yang biasanya akan digunakan untuk menyentuh muka lalu menyebabkan jangkitan kepada anda.

Itulah dia info tentang selsema ketika hamil yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin sukakan perkongsian kami tentang sembelit ketika hamil dan punca kaki kebas

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.