Pasti ada yang tak tahu banyak jenis minyak wangi sebenarnya. Perfume juga merupakan salah satu jenis minyak wangi. Ada lima jenis minyak wangi yang anda perlu bezakan sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Penting ke tahu jenis minyak wangi yang ada? Semestinya penting kerana setiap minyak wangi mempunyai kepekatan, kesesuaian dan ketahanan bau yang berbeza. Macam mana nak tahu kepekatan minyak wangi  sesuai atau pun tidak?

Formulanya adalah semakin tinggi kepekatan minyak wangi, semakin kurang kandungan alkohol yang terdapat dalam minyak wangi tersebut. Apabila kandungan alkohol kurang, ini bermakna ramuan atau kandungan dalam minyak wangi asli adalah tinggi.

Jangan main beli je tanpa mengetahui jenis-jenis tersebut. Kalau tak pasti, cuba anda periksa semula di botol minyak wangi anda, ada tak tertulis jenis minyak wangi seperti yang di bawah. Tanpa membuang masa, jom teroka lima jenis minyak wangi tersebut.

Parfum / Perfume

Bagi anda yang tak tahu, mesti anda fikir bahawa setiap minyak wangi adalah perfume asalkan baunya wangi. Perfume memang terkenal kerana mempunyai kepekatan yang tertinggi iaitu 20 hingga 30%.

Jadi, siapa yang sesuai untuk parfum? Parfum sesuai untuk sesiapa yang mempunyai kulit yang sensitif kerana kandungan alkohol yang lebih rendah berbanding minyak wangi yang lain. Dengan sedikit semburan, pasti mengeluarkan bau yang kuat dan bertahan lama.

Walaupun harga parfum lebih tinggi, namun ianya sangat berbaloi. Dalam tempoh masa 10 hingga 12 jam, pasti wangian tersebut kekal pada anda.

Eau Da Parfum (EDP)

Eau Da Parfum atau EDP sering digunakan oleh ramai orang untuk menghadiri sebarang majlis atau acara. Ramai juga menggunakannya semasa ‘dating’ kerana baunya yang kuat, unik dan meninggalkan kesan ketara.

EDP boleh disemburkan pada pakaian atau rambut. Namun anda perlu berhati-hati jika menyembur pada pakaian yang merupakan fabrik halus kerana risau meninggalkan warna minyak wangi tersebut.

Kepekatan EDP adalah 15% sehingga 20% iaitu kepekatan kedua tertinggi selepas parfum. Bau wangian dari EDP juga kuat dan mampu bertahan dari 8 jam sehingga 12 jam.

Eau De Toilette (EDT)

Jika dibandingkan dengan EDP, wangian jenis ini lebih lembut, segar dan harganya murah di pasaran. Mungkin disebabkan faktor ini, majoriti terutama kaum lelaki memilih untuk memakai wangian EDT.

Eau De Toilette atau EDT sesuai dijadikan wangian harian anda untuk melakukan apa jua aktiviti. Bukan itu sahaja, jika anda tinggal atau ke negara yang mengalami musim panas, wangian ini sesuai untuk anda.

Wangian ini mampu bertahan sekadar empat hingga enam jam. Kepekatan dengan kadar 5% hingga 15% dan kadar alkohol yang sederhana tinggi.

Eau De Cologne (EDC)

Eau De Cologne atau EDC mempunyai kepekatan 2% hingga 5% dan mempunyai kadar alkohol yang tinggi. Wangian bagi EDC adalah segar dan ringan. Namun wangian ini mampu bertahan dengan anggaran dua jam sahaja.

Lazimnya EDC dijual dalam botol pewangi yang besar memandangkan pengguna perlu menyemburnya dengan kadar yang banyak untuk mendapatkan bau yang wangi dan kuat. Berbaloilah dengan harganya yang murah dari jenis wangian yang lain.

Penggunaan EDC sesuai digunakan untuk cuaca panas. Hal ini kerana wangiannya yang tidak tahan lama dan anda boleh memakainya dengan kerap. Jika anda mempunyai kulit yang sensitif, anda tidak digalakkan memakai wangian jenis EDC kerana kadar alkohol yang tinggi.

Eau De Fraiche

Jenis minyak wangi yang terakhir adalah Eau De Fraiche yang mempunyai kepekatan yang paling rendah dengan kadar 1% hingga 3% sahaja hasil campuran pewangi dan air. Oleh sebab itu, bauannya ringan dan dijual dengan harga yang murah.

Jika anda tidak menyukai minyak wangi yang terlampau menonjol baunya, mungkin anda boleh cuba jenis minyak wangi ini. Ketahanan wangian ini mampu mencecah sehingga 2 jam.

Sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif, Eau De Fraiche sangat sesuai untuk anda kerana tidak mengandungi sebarang jenis alkohol.

Dah tau perbezaan jenis minyak wangi, senanglah nak beli wangian yang sesuai dengan citarasa anda. Minyak wangi bukan sahaja membantu untuk kita tampil segar, malah dapat meningkatkan keyakinan diri apabila berinteraksi dengan orang.

Rujukan

  1. 5 Types of Perfume & Strenghts. (2021). The Scent. https://www.perfumethescent.com/Article/Detail/603. (Link)
  2. Safwa Sophia. (2022). Minyak Wangi: Semua Jenis Minyak Wangi yang Anda Perlu Tahu. Layby. https://layby.my/blog/semua-jenis-minyak-wangi-yang-anda-perlu-tahu (Link)

Kami juga ada menulis artikel yang lain seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.