Sayyidah Umamah merupakan cucu kesayangan Baginda Rasulullah SAW. Mari kita ketahui tentang cucu perempuan Baginda ini.
Nama sebenarnya ialah Umamah binti Abul ‘Ash bin Rabii’ bin Abdu al-Uzza bin Abdu asy-Syams bin Abdu Manaf bin Qushay.
Umamah merupakan puteri pertama dari Zainab binti Muhammad (yang merupakan puteri sulung Rasulullah SAW) dengan Abu al-Ash bin ar-Rabi’. Abu al-Ash merupakan menantu Baginda yang sangat berakhlak mulia dan dikenali sebagai seorang pedagang yang jujur di kota Mekah.
Pada hari kelahiran Umamah, Bagind Rasulullah menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Apatah lagi Umamah merupakan cucu perempuan pertama Rasulullah, dari puteri pertama Baginda.
Betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada Umamah apabila sering mengendong cucunya itu sewaktu masih kecil. Bahkan Baginda sering membawanya untuk bersolat berjemaah, iaitu akan mendukung Umamah ketika solat dan meletakkannnya ketika rukuk dan sujud.
Baginda juga sering memberikan hadiah kepada cucunya itu. Diceritakan ketika Rasulullah mendapat hadiah berupa perhiasan kalung. Baginda bersabda,
“Sungguh aku akan menyerahkan hadiah ini kepada anggota keluarga yang paling aku sayangi.”
Kemudian, isteri-isteri Nabi menyangka orang tersebut adalah Aisyah, isteri Rasulullah. Ternyata Baginda memanggil Umamah, dan mengalungkan perhiasan tersebut ke lehernya.
Rasullah SAW juga pernah menghadiahkan cincin emas pemberian Raja Najasyi kepada Umamah.Dari ‘Aisyah RA berkata;
“Nabi SAW mendapat kiriman perhiasan dari Raja Najasyi sebagai hadiah. Di antara perhiasan tersebut terdapat sebuah cincin emas yang mata cincinnya dari Habsyah. Aisyah berkata, ‘Rasulullah SAW lalu mengambilnya dengan sebatang kayu, atau sebagian jarinya kerana tidak suka (sebab emas hanya diperbolehkan untuk perempuan). Beliau kemudian memanggil Umamah binti Abu Al-Ash, anak perempuan dari puterinya Zainab, lalu bersabda, Berhiaslah dengan ini wahai gadis kecilku’.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah, dan Ahmad bin Hanbal)
Pada ketika itu, masyarakat Arab beluam terdidik dengana hubungan yang rapat antara seseorang dattuk dengan cucunya. Rasulullah SAW orang terawal yang menunjukkan kasih sayang kepada cucunya pada waktu itu.
Selepas pemergian Zainab, Abu al-Ash berperanan sebagai ayah tetapi juga ibu. Umamah pula membesar sebagai sorang remaja yang terpuji akhlaknya. Beliau juga seorang gadis yang cerdas dan solehah, selain memiliki sifat keibuan dan penyayang.
Abu al-Ash sangat bimbangkan puterinya sekiranya beliau tiada kelak. Sehinggakan beliau mewasiatkan kepada sahabat yang juga sepupunya Zubair Al-Awwam bin Khuwailid agar menikahi Umamah selepas kematiannya kelak.
Apabila Abu al-Ash meninggal dunia pada tahun ke 12H, Umamah pun menjadi isteri kepada Zubair al-Awwam, seperti kehendak bapanya.
Pada ketika itu juga, Saidatina Fatimah Az-Zahra iaitu isteri Ali bin Abu Talib amat menyayangi Zainab dan juga anak saudaranya itu, Umamah. Lalu beliau uga mewasiatkan agar suaminya Ali bin Abi Talib menikahi Umamah selepas kepergiannya. Fatimah juga berasakan Umamah dapat menjadi seorang ibu yang baik kepada dua puteranya; Hassan dan Husain.
Setelah wafatnya Saidatina Fatimah al-Zahra, Umamah dinikahi pula oleh Ali bin Abi Thalib. Ali dan Abi Thalib sendiri yang melamar Umamah dari Zubair bin al-Awwam.
Lalu Umamah menjalani kehidupan bersama Ali bin Abi Talib sebagi isteri yang solehah. Ada riwayat yang menyatakan mereka tidak mempunyai keturunan. Namun terdapat juga riwayat lain, bahawa mereka dikurnaiakan seorang putera bernama Muhammad bin Ali Al-Ausath.
Sewaktu berlakunya pemberontakkan sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Ali bin Abi Thalib, Umamah tersangat sedih dan merapi kematian suaminya itu.
Ada suatu riwayat menyatakan ketika Ali dibunuh, Umamah memegang kepada Ali yang terkena pedang sambil menangis dan merintih. Ini kerana Umamah sangat mengasihi suaminya itu.
Ketika Saidina Ali bin Abi Thalib berasakan ajalnya semakin mendekat, beliau sempat meninggalkan pesanan kepada isterinya itu agar menolak lamaran Muawiyah bin Abi Sufyan, jika musuhnya itu datang melamarnya.
Saidina Ali bin Abi Thalib juga telah mewasiatkan kepada Mughirah bin Naufal bin Al-Haris untuk mengahwini isterinya itu apabila beliau meninggal dunia. Ini kerana Ali bimbang Muawiyah bin Abi Sufyan akan mengahwini Umamah secara paksa.
Seperti diduga, selepas peninggalan Saidina Ali bin Abi Thalib, Muawiyah bin Abi Sufyan datang melamar Umamah melalui Marwan bin Al-Hakam dengan mahar sebanyak 100 ribu dinar.
Umamah sentiasa megingati pesanan Saidina Ali agar tidak mengahwini Muawiyah. Lalu mengutuskan utusan kepada Mughirah bin Naufal agar segera meminangnya. Al-Mughirah bin Naufal pun datang meminang Umamah daripada Hasan bin Ali dan mengahwini wanita solehah itu. Namun perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat.
Pada akhir hayatnya, Umamah ditimpa penyakit yang memudaratkan sehingga beliau tidak mampu berkata-kata. Namun beliau sangat tabah dan bersabar dengan penyakitnya sehingga ajal menjemputnya.
Namun, dalam riwayat lain menyatakan Umamah meninggal dunia sewaktu melahirkan anaknya bersama Mughirah bin Naufal bin al-Harits, tepat dengan peralihan kerajaan Islam kepada kekhalifahan Muawiyah bin Abu Sufyan.