Inilah cara bertaubat yang dianjurkan oleh Islam. Mari ketahui bersama.

Setiap yang bernama manusia pasti pernah melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang boleh lari daripada melakukan perbuatan salah dan dosa. Dengan itu tidak ada mana-mana manusia pun yang benar-benar suci dari segala kesalahan.

Namun, sifat Allah yang Maha Pengasih dan Pengampun sentiasa mengampuni dan menerima taubat para hamba-Nya.

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya al-ghargharah ( suatu suara yang keluar daripada kerongkong di saat roh ditarik keluar daripada jasad), maka Allah akan menerima taubatnya.”

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Ini bermakna, pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk setiap manusia mengakui kesilapan dan bertaubat, sehingga Allah SWT mengambil semula nyawanya kelak. Allah SWT juga pasti akan mengampuni dosa dan menghapuskan setiap kesalahan hamba-Nya yang insaf dan bertaubat. Seperti yang dinyatakan jelas dalam surah an-Nisa; 31:

“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga).”

Apakah Maksud Taubat?

Taubat berasal dari bahasa Arab iaitu ‘Taaba’, yang bermaksud  ‘kembali’. Ini bermakna, seseorang itu dikatakan kembali atau bertaubat setelah menjauhi perbuatan-perbuatan dosa.

Kembali juga bermakna ‘pulang’ kepada Allah SWT dengan melepaskan semua perbuatan dosa dan mentaati Allah dengan menjauhi larangan-Nya.

Taubat juga boleh diertikan sebagai menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan, meminta ampun kepada Allah SWT dan berazam tidak akan mengulangi lagi dosa tersebut.

Dari aspek syariat pula, taubat bermaksud meninggalkan semua perbuatan dosa dan menyesali kesalahan yang telah dikerjakannya kerana Allah SWT.

Taubat yang terbaik adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi semua kesilapan lalu walau kemungkinan tinggi untuk mengulanginya semula.

Hukum Bertaubat

Hukum bertaubat adalah wajib. Berdosa jika melengahkannya jika mengetahui sesuatu perbuatan itu salah dan dilarang oleh agama.

Taubat juga wajib disegerakan dan tidak boleh ditangguh seperti beberapa ibadah lain, seperti haji dan sebagainya.

Bagaimana Cara Terbaik Untuk Bertaubat?

Terdapat beberapa jenis cara bertaubat yang disarankan. Antaranya;

1. Ikhlas Bertaubat

Pastikan diri sendiri ikhlas untuk bertaubat. Kehendak untuk bertaubat mestilah dari diri sendiri dan bukannya dari paksaan dan suruhan orang lain.

Ini kerana dengan keikhlasan itu lebih memudahkan usaha bertaubat dan hanya mengharapkan reda dan  kehendak Allah SWT.

2. Berhenti Serta Merta Daripada Perlakuan Dosa

Berhenti segera dan menjauhi perkara dosa yang dilakukan tanpa menangguhnya. Ini termasuklah dengan apa-apa sahaja faktor yang boleh menjurus untuk kembali melakukan perkara dosa tersebut.

Lebih penting untuk tinggalkan perkara salah itu secepat mungkin dan segera bertaubat. Ini dibimbangi akan berulang lagi kesalahan yang sama.

3. Mengakui Dosa

Mengakui dosa dan semua kesilapan yang telah dilakukan di hadapan Allah SWT. Selain berdoa agar Allah memudahkan usaha untuk kembali kepada-Nya. Menangislah jika perlu kerana titisan air mata dari orang yang bertaubat adalah air mata yang terbaik dan bermakna.

4. Menyesali Perbuatan Dosa

Menyesali segala perbuatan yang salah dan berniat untuk menjauhinya. Ambil iktibar dan pengajaran dengan kesalahan telah yang dilakukan agar tidak mengulanginya lagi di masa akan datang.

5. Berjanji Dan Tekad Takkan Ulangi

Berazamalah dengan bersunguh-sungguh untuk tidak melakukan  kesilapan yang sama lagi. Janji pada Allah SWT dan diri sendiri untuk betul-betul berubah dari keburukan ke arah kebaikan.

6. Memohon Keampunan Dan Maaf

Mohonlah ampun kepada Allah dengan sesungguh hati. Minta pada Allah SWT agar dijauhkan dari apa-apa azab-Nya selain dikurniakan kebaikan di dunia dan akhirat.

Dan jika melibatkan orang lain, mohonlah juga kemaafan daripadannya dan akui kesilapan yang dilakukan. Pulangkan apa-apa barang jika melibatkan hak orang lain.

7.Laksanakan Perintah Allah SWT

Salah satu cara terbaik adalah dengan melakukan perintah Allah sebagai cara untuk meninggalkan keburukan.

Seperti yang dinyatakan dalam surah al-Imran : 135

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah – Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengatahui.”

Perbanyakkan ibadah dan amal kebaikan yang disuruh Islam. Termasuklah ibadah solat, berzikir bersedekah atau apa-apa sahaja perbuatan yang dapat medekatkan diri kepada Allah SWT.

Gandakan kewajipan yang ditinggalkan dan lebih baik menggantikan segala ibadah yang pernah tertinggal terdahulu. Seperti qada solat, ganti puasa dan sebagainya.

8. Banyakkan  Beristigfar

Istigfar adalah cara yang paling mudah sebagai cara memohon ampun daripada Allah SWT.  Beristigfarlah berulang kali dan sebanyak mungkin terutamanya selepas solat bagi memadam dosa-dosa lalu.

9. Jauhi Perkara yang Mendekatkan Dosa

Jauhilah perkara-perkara dosa atau yang mendekatkan diri dengan kemurkaan Allah SWT. Termasuklah jika melibatkan individu yang mempengaruhi ke arah berbuat dosa, maka jauhilah  agar tidak berjerumus ke arah dosa yang lain pula.

Jangan sesekali berfikir untuk melakukan dosa-dosa seperti sebelumnya. Lupakan segala kesalahan lampau, jika diingati pun ambillah sebagai iktibar dan pengajaran bukannya untuk diulangi semula.

Ini termasuklah menjaga pandangan, pendengaran, langkah kaki dan anggota badan yang lain dari perkara-perkara haram.

10. Mendirikan Solat Sunat Taubat

Sebaik-baiknya perbuatan taubat diikuti dengan melakukan solat sunat taubat. Solat ini adalah sebagai permohonan kepada Allah SWT  agar menerima taubat kita. Dirikanlah solat sunat taubat ini dengan betul, yakin dan sekerap yang boleh.

Penutup:  Manfaatkan Baki Kehidupan Untuk Menyesali Kesilapan Dan Memohon Keampunan Allah SWT.

Apabila bertaubat seseorang itu kembali suci dan mempengaruhi jiwa untuk berasa lebih tenang dan reda.

Sebelum terlambat, gunakan kesempatan untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Bahkan lebih baik jika dilakukan dengan kerap lantaran sebagai manusia tidak pernah selamat daripada berbuat salah dan dosa.

Selagi nyawa di badan, selagi itulah tempoh masa untuk bertaubat masih ada. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mengasihani dan Maha Pengampun yang tidak akan menolak taubat dan rayuan hamba-Nya. Bahkan Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat seluasnya agar hamba-hamban-Nya bersih dari dosa dan meraih syurga kelak.

Rujukan:

  1. JAKIM
  2. Aku Islam
  3. Metro

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.