Ayuh pelajari cara Rasulullah melayani isteri Baginda.
Rasulullah SAW merupakan contoh tauladan sekalian alam yang begitu sempurna. Termasuklah dalam aspek memberi kebahagian kepada para isteri Baginda.
Baginda bukan sahaja seorang yang adil namun mempunyai cir-ciri romantis seorang suami yang paling mesra yang mampu membuatkan isteri-isteri Baginda sentiasa berbahagia.
Sabda Rasulullah SAW;
“Yang terbaik di antara kalian adalah yang terbaik terhadap keluarga/isterinya. Dan saya adalah orang yang paling baik terhadap isteri dan keluargaku.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Terdapat begitu banyak cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam memperlakukan isteri-isterinya bagai bidadari dunia. Antaranya:
Romantisnya Rasulullah SAW apabila Baginda menjadikan perbuatan mencium isterinya sebagai amalan yang kerap dilakukan. Dengan mencium ini akan menimbulkan rasa sayang bahkan perasaan kasih sentiasa mekar.
Rasulullah dikatkan kerap mencium Aisyah walaupun ketika itu Baginda sedang berpuasa. Jadi para suami haruslah kita membiasakan mencium isteri jika tidakpun sewaktu pergi atau pulang dari kerja.
Diriwayatkan oleh Aisyah SAW, Baginda adalah orang yang penyayang lagi lemah lembut.
“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW juga turut memelihara kebahagian dan keharmonian rumahtangga dengan memanggil isteri-isterinya dengan panggilan kesayangan yang khas.
Baginda memanggil Aisyah dengan ‘Humairah’ yang ertinya ‘kemerah-merahan pipinya’. Terkadang beliau juga suka memanggil sebutan ‘aisy atau aisyi’. Dalam budaya Arab pemenggalan huruf terakhir menunjukan panggilan manja atu sebagai tanda sayang. Aisyah RA menuturkan;
“Pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya, ‘Wahai ‘Aisy (panggilan kesayangan ‘Aisyah), Malaikat Jibril ‘AS tadi menyampaikan salam buatmu.”
(Muttafaq ‘alaih)
Tidur di pangkuan isteri adalah cara menunjukkan rasa sayang dan bermanja dengan isteri. Rasulullah SAW juga melakukan hal ini bersama isteri Baginda.
Aisyah RA meriwayatkan:
“Nabi Muhammad SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Baginda tidak pernah melepaskan kesempatan dan masa yang ada untuk membahagiakan dan menyenangkan hati para isteri Baginda dengan apa-apa cara sekalipun, termasuklah sentiasa membelai isterinya. Hal ini sudah pasti sangat menyenangkan hati isteri jika dilakukan oleh para suami.
Aisyah mengatakan;
“Adalah Rasulullah SAW biasa mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Beliau menghampiri dan membelai kami meskipun tidak mencampuri kami.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Bergurau senda sangat membantu mengukuhkan kemesraan suami dan isteri, seperti yang sering dilakukan oleh Rasulullah bersama-sama isteri-isteri Baginda.
Dari Zaid bin Tsabit, ia berkata tentang Rasulullah SAW :
“Baginda suka bergurau dengan isterinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Memberi hadiah juga dapat mengeratkan hubungan suami dan isteri. Jadi para suami, berilah hadiah kepada isteri kerana dengan memberi akan mengaitkan kasih sayang. Tidak perlulah hadiah yang mahal dan cantik, kecil dan murah pun sudah memadai.
Hadiah juga boleh dilakukan dalam bentuk mengajak isteri makan bersama di restoran, mengajak bercuti dan sebagainya.
Jika suami terlihat wanita lain di luar rumah, segeralah menemui isteri sendiri. Sesungguhnya itulah sebaik-baik perbuatan yang dapat mengekang nafsu.
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAWbersabda;
“Wanita, kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa (godaan) syaitan. Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia datangi isterinya, kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Suami yang bertanggungjawab juga adalah yang suka membantu dalam tugasan isterinya. Termasuklah membantu menguruskan rumahtangga. Tidak akan jatuh maruah dan martabat seseorang suami itu jika membantu isterinya menyelesaikan kerja-kerja rumah selain melayani karenah anak-anak.
Rasulullah SAW banyak melakukan urusan rumahtangga seperti membasuh, memasak, termasuklah menjahit sendiri pakaian Baginda yang koyak.
Umul Mukminin Aisyah pernah ditanya:
“Apa yang dilakukan Nabi SAW di rumahnya?” Aisyah menjawab: “Beliau ikut membantu melaksanakan pekerjaan keluarganya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam satu riwayat lain, Anas bin Malik menceritakan, ketika pulang dari perang Khaibar, salah seorang isteri Rasulullah SAW membonceng di belakang Baginda. Malah apabila ingin keluar, Baginda akan mengundi sesiapa dalam kalangan isteri-isterinya yang akan menemaninya untuk keluar bersama.
“Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Segala sifat baginda dilihat cukup sempurna dan wajar dicontohi oleh para suami dalm menjadikan isteri orang yang terbahagia di dunia.
Kepada para suami, praktikkanlah dan jadikan Bagidna Rasulullah SAW sebagai ikutan dengan meniru sifat romantik Baginda. Rasulullah SAW telah membuktikan layanan yang istimewa sari suami kepada pasangan adalah kunci yang menguatkan ikatan cinta dan kasih sayang.
Semoga cinta antara sesama pasangan kita adalah yang kekal dan selamanya sehingga ke syurga kelak. Amin.