Ayuh ketahui tanda rezeki berkat.

Dalam bahasa Arab, rezeki berasal daripada perkataan ‘rizq’, yang bermaksud “sesuatu yang ‘diberi atau dikurniakan’.

Rezeki adalah kurniaan Allah S.W.T yang terkandung akan keperluan rohani dan jasmani seperti makanan, kesihatan dan lain-lain. Rezeki bukanlah merujuk kepada wang ringgit semata-mata tetapi konsepnya lebih meluas dan mendalam  lagi.

Allah S.W.T adalah pemberi rezeki yang mutlak dan satu-satunya. Allah juga berhak  memberi rezeki-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikendakinya, mahupun menarik rezeki itu semula. Namun, sebagai hamba-Nya, kita boleh meminta agar dikurniakan rezeki oleh Allah sesuai dengan keperluan kita.

Sabda Nabi S.A.W:

“Seandainya kalian benar-benar bertawakkal pada Allah, tentu kalian akan diberikan rezeki sepertimana burung diberikan rezeki. Ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali di petang hari dalam keadaan penuh perut.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Namun, masih ramai yang risau mengenai kecukupan rezeki terutama sekali berkaitan dengan wang. Hakikatnya rezeki juga meliputi kesihatan, ilmu, sahabat, idea dan kemampuan untuk melaksanakan ibadah.

Kecukupan rezeki sering dikaitkan dengan keberkatan. Bagaimana kita mengetahui bahawa kita mempunyai rezeki yang berkat? Melalui beberapa ciri ini, kita boleh menilai sama ada rezeki kita itu berkat atau sebaliknya. Antaranya;

1. Sentiasa Berasa Cukup

Perbelanjaan sentiasa cukup walaupun rezeki kecil. Masih dapat membeli barang keperluan keluarga dan menyimpan untuk masa depan. Terdapat sesetengah orang walaupun bergaji besar, masih berasa tidak cukup dan mahu lebih daripada sedia ada.

Selain faktor perancangan kewangan, kecukupan wang juga dipengaruhi oleh manusia yang sentiasa mahukan semua dan sering mahukan sesuatu yang lebih. Sedangkan jika diturutkan keinginan manusia, segunung emas pun masih tidak mencukupi.

2. Mudah Solat dan Beribadah

Keberkatan rezeki juga dapat dilihat apabila kita berasa mudah untuk melakukan amal kebaikan seperti solat, sedekah dan ringan untuk membantu orang lain.

Hal ini kerana setiap pendapatan yang diperoleh akan menjadi makanan dan darah daging, lalu membentuk hati kita. Dengan itu jika kita telah terbiasa dengan sesuatu yang baik, maka mudah juga melakukan kebaikan dan berasa takut untuk melakukan kemungkaran.

3. Keluarga Stabil dan Bahagia

Keluarga yang bahagia bermula dengan rezeki yang baik dan berkat. Jika perlakuan ahli keluarga kita baik dan harmoni, juga merupakan petanda akan keberkatan rezeki oleh Allah S.W.T. Pendapatan yang haram seperti hasil makan rasuah hendaklah dielakkan kerana ini boleh menganggu keberkatan rezeki dan kehidupan seharian.

4. Akan Dijauhkan Daripada Bala Allah S.W.T

 Apabila seseorang berasa cukup dan tenang dengan rezeki yang diperolehnya, dia akan mudah bersedekah dan tidak berkira-kira untuk memberi kepada orang lain.

Sesungguhnya amalan bersedekah ini bukanlah sesuatu amalan biasa, tetapi amalan yang mampu menolak bencana dan kemurkaan Allah S.W.T. Sabda Nabi S.A.W:

“Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.”

(Hadis Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)

5. Anak-anak Berjaya dan Berakhlak Baik

Rezeki yang berkat, melahirkan insan yang bertakwa dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka juga mampu cemerlang dunia dan akhirat, walaupun mungkin tidak menjadi orang terkaya di dunia.

Semua ini adalah kerana rezeki yang berkat yang akan menjadi darah daging dan mengisi hati agar menjadi terang dan tenang. Banyak contoh yang dapat dilihat apabila golongan yang bermasalah mendapat sumber rezeki daripada hasil pendapatan yang haram, judi contohnya.

6. Doa Mudah Termakbul

Rezeki yang berkat membuatkan doa mudah makbul dan cepat diperkenankan oleh Allah S.W.T. Semuanya kerana rezeki yang halal dan berkat, kerana jika dari rezeki yang haram sudah tentu   tidak diterima oleh Allah S.W.T.

Nabi S.A.W bersabda:

“Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh hingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: ‘Wahai Tuhanku!’ Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah S.W.T akan memperkenankan doanya?”

(Hadis Riwayat Muslim)

Penutup: Rezeki Yang Berkat Menjamin Kebahagian Dunia dan Akhirat

Rezeki yang berkat sangat penting dalam memastikah rahmat dari Allah S.W.T. jadi dalam bertebaran mencari rezeki pastikan diri kita tidka terlibat dalam hal rasuah, curi tulang, pecah amanah dan sebagainya.

Ingatlah rezeki bukan sahaja terhad kepada bentuk material semata-mata, tetapi  perkara lain yang menenangkan jiwa serta keharmonian keluarga. Bersyukurlah dengan setiap yang kita miliki, yang mustahak bukanlah kuantiti tetapi diberkati oleh Allah S.W.T. 

Allah itu maha Pemberi, sebagai hamba-Nya, berdoalah agar Allah mengurniakan rezeki yang sentiasa mencurah dan diberkati sentiasa.

Jika anda menyukai artikel ini, pasti anda juga menyukai perkongsian kami yang lain tentang;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.