Qunut (قنوت) berasal daripada perkataan Bahasa Arab. Ia membawa beberapa maksud, namun dalam hal ini, Qunut bermakna membaca doa ketika berdiri di dalam solat. Manakala Nazilah pula bermaksud bencana yang sangat berat seperti adanya musuh, ketakutan, musim kemarau, wabak penyakit atau sesuatu mudharat yang jelas menimpa umat Islam.

Baca Doa

Imej via satujam

Doa Qunut Nazilah ialah doa yang dibacakan setelah ruku’ (sewaktu i’tidal) pada rakaat terakhir solat. Hukumnya sunnah hai’ah (jika terlupa dan tertinggal, tidak perlu sujud sahwi). Qunut Nazilah dilaksanakan kerana ada peristiwa musibah yang menimpa, seperti bencana alam atau peperangan.

Palestin

Imej via kamupipnup

Terdapat banyak hadis sahih yang menceritakan tentang amalan Nabi saw membaca doa Qunut Nazilah dalam solat ketika ditimpa musibah. Antaranya,

 

1) Riwayat Abu Hurairah r.a, Abu Hurairah berkata:

“Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah saw selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahuliman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”.

Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas dari kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf”. (HR Bukhari dan Ahmad)

Di dalam hadis ini menceritakan bahawa Rasulullah saw mendoakan supaya Allah swt menyelamatkan beberapa orang sahabat Baginda yang masih tinggal di Mekah. Selepas masuk Islam, orang Muslimin diseksa dan diazab oleh kafir Quraish. Dengan keberkatan doa Rasulullah saw, mereka semua selamat dan kemudian terus berhijrah kepada baginda di Madinah.

 

2) Riwayat Anas bin Malik r.a, Muhammad bin Sirin berkata:

“Anas bin Malik pernah ditanya: Adakah Nabi saw membaca doa qunut dalam solat Subuh? Jawab Anas: Ya. Ditanya lagi: Adakah baginda berqunut sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab: Selepas rukuk dalam tempoh yang sekejap sahaja.” (HR Bukhari & Muslim)

Yang dimaksudkan dengan ‘tempoh yang sekejap’ ialah selama sebulan seperti yang dijelaskan dalam riwayat ‘Asim. Boleh juga dikatakan maksudnya ialah dalam kadar masa yang sekejap sahaja iaitu tempoh antara rukuk dan sujud.

 

3) Dalam riwayat lain ada menyebut, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi saw pernah mengutuskan seramai 70 orang yang terdiri daripada para qurra’ (yang alim dan mahir dalam bacaan al-Quran). Kumpulan para qurra’ ini dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri’l dan Zakwan. Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri’l dan Zakwan berhampiran dengan sebuah telaga, dikenali telaga Mau’nah (Bi’r Mau’nah), kabilah tersebut berkata: “Demi Allah, bukan kamu semua yang kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan Nabi saw.”

Kabilah-kabilah tersebut telah menipu dan khianat kepada Rasulullah saw. Mereka telah membunuh semua 70 orang para qurra’ tersebut. Apabila berita ini sampai kepada Nabi saw, baginda amat sedih. Lalu, baginda berdoa (laknat) ke atas kabilah-kabilah tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka, inilah permulaannya doa qunut. (Rujuk kisah ini dalam Sahih al-Bukhari (4088).

 

Hukum Membaca Doa Qunut Nazilah

Jumhur Ulama’ sepakat menyatakan hokum membaca Doa Qunut Nazilah adalah tidak wajib, dan meninggalkannya tidak membatalkan solat.

Namun begitu, para fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum membaca Doa Qunut Nazilah ketika umat Islam dilanda musibah. Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah pendapat para ulama’ dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali iaitu disyariatkan untuk membaca Doa Qunut Nazilah
ketika berlakunya musibah seperti mana yang dilakukan oleh Nabi saw.

 

Apakah Bacaan Qunut Nazilah?

Menurut pendapat majoriti ulama’, tidak ada doa khusus yang perlu dibaca di dalam doa Qunut Nazilah. Oleh itu, doa yang dibaca ialah apa yang bersesuaian dengan musibah yang berlaku ketika itu. Sebagai contoh, ketika rakyat Palu di Indonesia yang ditimpa bencana alam, kita oleh mendoakan khusus untuk mereka di dalam Doa Qunut Nazilah yang dibaca. Sekiranya berlaku peperangan seperti di Palestin dan Syria, kita oleh berdoa khusus buat saudara kita di sana.

Namun begitu, terdapat teks Doa Qunut Nazilah yang biasa diajarkan kepada kita, seperti dalam lagu kumpulan nasyid UNIC. Doa tersebut ialah;

Bacaan Qunut Nazilah

Imej via Qalbi Sakinah

 

Bolehkah Qunut Nazilah dibaca dalam semua solat fardhu?

Para ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini. Menurut pendapat yang rajih, doa Qunut Nazilah boleh dibaca di dalam semua solat fardhu. Pendapat ini dipegang oleh para ulama’ mazhab Syafie, ulama’ mazhab Hanbali, sebahagian ulama’ mazhab Maliki dan majoriti ulama’ hadis.

Sebagai contoh, hadis riwayat Ibn Abbas, Ibn ‘Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh di penghujung setiap solat. (HR Ahmad & Abu Daud). Menurut Al-Albani di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah hasan).

Oleh itu, doa Qunut Nazilah ini boleh dibaca pada rakaat terakhir dalam semua solat fardhu. Pendapat ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hazm, al-Syaukani dan lain-lain lagi.

 

Kesimpulan

Islam sangat menitik beratkan persaudaraan sesama Muslim.

Islam bersaudara

Imej via goingtojannah

Dari Nukman bin Basyir ra, ia berkata Rasulullah saw bersabda, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam.” (HR Muslim)

Oleh sebab itu, bila mana terdapat saudara semuslim kita yang dilanda musibah, kita juga turut bersedih dengan kejadian yang menimpa mereka. Doa Qunut nazilah merupakan suatu bentuk keprihatinan dan empati seorang muslim terhadap nasib yang menimpa saudara-saudaranya yang dilanda musibah sekalipun mereka berada jauh daripada kita. Qunut Nazilah adalah doa yang dipanjatkan kepada Allah swt, yang mana di dalamnya terdapat kebergantungan kepada Allah swtndan persaudaraan terhadap sesama muslim.

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Doa Qunut Nazilah yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Rujukan:

  1. Qalbi Sakinah
  2. Hajba

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.