Ayuh ketahui keistimewaan menunaikan haji!

“Didirikan Islam itu di atas lima rukun, iaitu mengucap kalimah syahadah (Aku beriktikad, berikrar dan mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua, dan sesungguhnya junjungan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah) , mendirikan sembahyang lima waktu dan mengeluarkan zakat serta mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullahil Haram dan puasa di bulan Ramadan.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Haji merupakan salah satu ibadah dalam rukun Islam yang wajib didirikan oleh setiap umat muslim, cukup walau sekali dalam seumur hidup.

Hukum menunaikan haji di Mekah adalah wajib bagi yang berkemampuan, malah berdosa jika mengendahkannya. Berkemampuan yang dimaksudkan adalah daripada aspek fizikal yang sihat, cukup ilmu dan mampu dalam ekonomi.

Kewajiban tersebut ada dinyatakan dalam al-Quran, iaitu dalam surah Ali ‘Imran : 97;

“Dan kewajiban manusia (kepada Allah) bagi yang sudah mampu melaksanakan ibadah haji, adalah segera dengan segera menunaikannya.”

Allah SWT menyediakan begitu banyak ganjaran yang besar kepada sesiapa yang mengerjakan  ibadah haji ini. Selain, dianggap sebagai tetamu Allah SWT yang sangat istimewa kedudukannya. Menurut Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, tetamu Allah itu ada tiga, iaitu: orang yang berhaji, berumrah, dan berperang di jalan Allah SWT.

Selain itu, terdapat ganjaran-ganjaran istimewa lain, iaitu:

1. Dijanjikan Balasan Syurga

Allah menjanjikan syurga kepada golongan hamba-Nya yang menunaikan haji. Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Pelaksanaan umrah yang disusul oleh umrah berikutnya adalah penghapus dosa yang dilakukan di antara keduanya. Dan, haji yang mabrur tidak ada balasannya selain syurga.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini bermakna, sesiapa yang mengerjakan haji dan memperoleh haji yang mabrur akan dijamin ganjaran syurga. Sesungguhnya inilah hadiah paling istimewa yang dijanjikan Allah SWT. 

2. Haji Sebagai Penghapus Dosa

Allah SWT juga akan menghapuskan segala dosa-dosa kepada golongan hamba-Nya yang mengerjakan haji dengan bersungguh-sungguh. 

Jadi, sesiapa yang selesai menunaikan haji diibaratakan seperti kain yang putih dan seperti bayi yang baru dilahirkan.

Seperti yang disampaikan Rasulullah SAW:

 “Siapa yang melaksanakan haji tanpa disertai perbuatan yang mengumbar nafsu dan maksiat, maka dia kembali seperti saat dilahirkan ibunya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Abdullah bin Mas’ud RA, mengatakan bahwa Rasulullah bersabda;

“Kerjakan haji dan umrah berurutan, kerana sesungguhnya, keduanya dapat menghapus kemiskinan dan dosa, seperti perapian yang dapat membersihkan kotoran pada besi, emas, dan perak. Haji yang mabrur tidak memiliki balasan yang pantas selain syurga.”

(Hadis Riwayat Nasa’I dan Tirmidzi)

3. Dimakbulkan Doa

Muslim yang menunaikan haji akan mudah dimakbulkan doanya oleh Allah SWT. Mohonlah perkara yang baik dengan bersunguh-sungguh kerana ketika inilah antara waktu yang Allah akan tunaikan segala permintaan.

Dari Abu Hurairah RA, menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Orang-orang yang pergi haji dan umrah adalah tamu Allah. Jika mereka memohon kepada Allah, maka Dia akan mengabulkannya, dan jika mereka meminta ampun kepada Allah, maka Dia akan mengampuninya.”

(Hadis Riwayat Nasa’ia, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, dan Ibnu Hibban)

4. Ibadah Haji Dianggap Sebagai Jihad

Rasulullah SAW bersabda:

“Jihad orang tua, orang lemah, dan wanita adalah haji,”

(Hadis Riwayat Nasa’i)

Muslim yang mengerjakan haji dianggap sebagai sedang berjihad tanpa pertempuran. Hal tersebut disampaikan Rasulullah SAWdalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrazzaq dan Thabrani.

Dikisahkan Hasan bin Ali RA menuturkan bahawa seorang laki-laki menjumpai Nabi SAW. Lalu berkata, “Aku ini seorang penakut dan lemah.” Maka, Baginda bersabda, “Ikutilah jihad tanpa pertempuran, iaitu haji.”

Aisyah RA berkata bahawa dirinya bertanya;

“Wahai Rasulullah, engkau memandang jihad adalah amalan paling utama. Kerana itu, bolehkah kami berjihad?” Rasulullah SAW. menjawab, “Kalian (kaum wanita) memiliki jihad yang paling utama, iaitu haji yang mabrur.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Didoakan Oleh Rasulullah

Para muslim yang mengerjakan haji juga akan mendapat kelebihan dengan mendapat kelebihan dengan didoakan keampunan oleh Rasulullah SAW. Doa Baginda yang bermaksud:

“Ya Allah! ampunilah (dosa-dosa orang yang menunaikan haji dan (dosa-dosa) orang yang dipohon oleh orang yang mengerjakan haji.”

(Hadis Riwayat al-Hakim)

6. Antara Amalan Ibadah Terbaik

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah;

Bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang amalan apa yang paling utama? Baginda menjawab : ‘Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian beliau ditanya kembali, ‘Setelah itu apa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Jihad fi Sabilillah.’ Kemudian ditanya lagi, ‘Lalu apa lagi? Beliau menjawab, ‘Haji mabrur’.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

7. Mengangkat Darjat dan Kedudukan

Sungguh beruntung bagi sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah SWT kerana Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya di dunia dan akhirat.

8. Menjamin Kesihatan

Allah SWT akan menjamin kesihatan zahir dan batin serta  kesembuhan di dunia bagi hamba-Nya yang mengunjungi Baitullah dan mengerjakan haji. 

Penutup: Allah Janjikan Ganjaran Istimewa Kepada Sesiapa Yangmenunaikan Haji Kerana-Nya

Allah SWT mengurniakan begitu banyak kelebihan ini, menandakan betapa besarnya kasih dan sayang Allah kepada muslim yang mentaati-Nya. Cukuplah dengan hanya sekali seumur hidup berpeluang menunaikan haji dan memperoleh haji mabrur, kerana ganjarannya sungguh lumayan.

Semoga kita antara yang terpilih dan dijemput untuk mengerjakan haji, dan memperoleh haji yang mabrur, amin.

Bacaan Lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.