Jom ketahui adab-adab cara menyantuni anak yatim yang dianjurkan Islam.

Yatim secara bahasa bermaksud infirad atau juga ‘sendiri’. Anak yatim merupakan anak yang kehilangan ibu bapa sebelum usianya akil baligh. Tetapi setelah usianya baligh, dia tidak lagi disebut sebagai anak yatim.

Perkataan ‘anak yatim’ disebutkan sebanyak 23 kali dalam al-Quran. Bahkan Rasulullah S.A.W sendiri sangat menyantuni dan menyayangi golongan anak yatim ini. Dan jangan kita lupa Rasulullah S.A.W juga dilahirkan sebagai anak yatim, dan membesar sebagai yatim piatu.

Baginda Nabi  S.A.W  bersabda:

“Bila engkau ingin hati menjadi lembut dan damai serta keinginan (yang baik) tercapai, maka sayangilah anak yatim, usaplah kepalanya, dan berilah dia makanan yang seperti engkau makan. Bila itu engkau lakukan, hatimu akan tenang, lembut keinginan (kebaikan)mu akan tercapai.”

(Hadis Riwayat Tabrani)

Oleh itu, mari kita santuni mereka menurut saranan Islam, seperti;

1. Memenuhi Keperluan Mereka

Rasulullah S.A.W telah memberikan contoh terbaik untuk menyantuni golongan anak yatim, iaitu dengan memuliakan mereka, memberi perhatian serta kasih sayang  selain memenuhi keperluan kehidupan mereka seperti kebanyakan anak-anak yang mempunyai ibu dan bapa.

Mereka juga mestilah dijaga dari aspek kesihatan, pendidikan, serta kepentingan lain yang membantu mereka menjadi golongan yang soleh serta mampu berdikari kelak.

Rasulullah S.A.W sering menyantuni golongan anak yatim dengan mengusap serta membelai rambut mereka.

2. Menguruskan Harta Mereka Sebaik Mungkin

Jika mereka mewarisi harta, maka uruslah harta mereka dengan sebaiknya. Bukan mengambil kesempatan dengan menikmati harta mereka demi kepentingan diri sendiri.

Ingatlah, sangat berdosa besar jika memakan harta anak yatim dan azab Allah yang sangat dasyat menanti sesiapa yang tidak mengelola harta anak yatim dengan amanah.

Sebaliknya harta tersebut digunakan untuk memenuhi keperluan mereka, termasuklah membiayai pengajian mereka dan sebagainya. Mahupun, tolong menjaga harta tersebut sehingga mencapai umur dewasa dan matang.

3. Memasukkan Anak Yatim Sebagai Ahli Keluarga

Sekiranya berkemampuan, seseorang boleh mengambil anak yatim sebagai keluarga angkat. Cara ini merupakan yang terbaik demi memenuhi keperluan kasih sayang yang tidak didapati kerana ketiadaan ibu dan bapa kandung sendiri.

Jadi layanan terhadap anak yatim mestilah seperti seorang ayah yang bersikap penyayang kepada anak kandungnya sendiri.Selain itu kebajikan mereka akan lebih terbela selain mendapat lebih perhatian dari pelbagai aspek.

Abu Hurairah R.A berkata Rasulullah S.A.W bersabda;

“Rumah terbaik di antara umat Islam adalah rumah di mana seorang yatim piatu dirawat dengan baik, dan rumah terburuk di antara umat Islam adalah rumah di mana seorang yatim piatu diperlakukan dengan buruk.”

4. Menaja Keperluan Mereka

Jika tidak dapat mengambil mereka sebagai ahli keluarga angkat, boleh menaja mereka di rumah perlindungan anak-anak yatim. Ini juga bermaksud boleh menyumbangkan perbelanjaan atau keperluan lain kepada mereka secara berkala.

Tajaan ini merangkumi pelbagai keperluan asas seperti pakaian, makanan serta keperluan pendidikan seperti buku, alat tulis dan lain-lain.

5. Menjadi Sukarelawan atau Mentor

Melibatkan diri dalam kerja kebajikan di rumah anak yatim dan menjadi mentor mengikut ilmu serta kepakaran dan kemahiran yang dimiliki. Pelbagai cara boleh dilakukan  termasuklah dengan membuka kelas tambahan, pengajian al-Quran, kelas kraftangan mahupun kursus awal kemahiran komputer dan sebagainya.

Keutamaan dan Kelebihan Memuliakan Anak Yatim

Terdapat banyak kepentingan dan keutamaan dalam memperlakukan kebaikan kepada golongan anak yatim ini.

Rasulullah S.A.W bersabda tentang kedudukan istimewa orang yang menjaga anak yatim menerusi sabda baginda bermaksud: 

“Aku (Rasulullah) dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini,” kemudian baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah baginda serta merenggangkan keduanya (menunjukkan keadaan yang sangat rapat atau akrab.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Islam memberi keistimewaan terhadap sesiapa yang mengambil tanggungjawab menjaga anak yatim, antaranya;

  1. Mendapat pahala setanding pahala jihad dan ganjaran besar daripada Allah S.W.T
  2. Dimudahkan memasuki syurga
  3. Rezeki dimurahkan dan dipermudahkan urusan oleh Allah
  4. Mendapat keberkatan rezeki dan pertolongan Allah S.W.T
  5. Dapat membersihkan fikiran serta melembutkan hati
  6. Menyembuhkan penyakit hati dan jiwa
  7. Menjadikan diri lebih peduli dan mengambil berat terhadap golongan sekeliling
  8. Tergolong dalam golongan yang beriman dan dikasihi Allah

Penutup: Anak Yatim Disayangi Allah dan Rasulullah

Membantu dan memelihara anak yatim menjadi ladang pahala buat kepada kita, namun jika tidak amanah ianya akan menjadi kubang dosa pula.

Sangat besar ganjaran bagi mereka yang ikhlas menjaga golongan anak yatim ini. Tetapi balasan yang lain pula menanti jika sengaja menzalimi dan menganiaya golongan ini.

Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran yang melarang dan memberi amaran agar menjauhi perbuatan menghina atau mengherdik anak yatim;

“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.”

(ad-Dhuha: 9)

Ingatlah anak yatim juga sangat memerlukan perhatian dan perlindungan sama seperti kanak-kanak lain. Buatlah mereka tersenyum dan bahagia agar mudah-mudahan kehidupan kita lebih berkat dan disayangi Allah serta Rasulullah.

Ayuh ketahui lebih banyak artikel menarik dari kami seperti:

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.