Keindahan Pulau Perhentian tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terbahagi kepada kepada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil, terdapat banyak tempat dan aktiviti menarik di sana. Jom kami kongsikan 11 tempat menarik di Pulau Perhentian.

1. Pulau Perhentian Besar

Apa yang anda cari sewaktu bercuti di pulau? Semuanya ditawarkan di pulau ini, dari pakej snorkeling  dan menyelam skuba hinggalah kepada perkhidmatan bot untuk anda menikmati pemandangan indah pulau dengan sepuas hati.

Anda wajib bersuba atau snorkeling untuk menikmati keindahan sebenar Pulau Perhentian. Lanskap dunia bawah air Pulau Perhentian cukup memukau jiwa. Bayangkanlah, dengan menyelam, anda dapat melihat dengan lebih dekat keindahan batu-batu karang dan habitat marin lain yang penuh warna-warni ibarat sebuah lukisan. Rugi tak cuba!

Resort-resort di sini terletak di lokasi yang cukup menarik, kebiasaannya di tepian pantai. Maksudnya, dengan hanya bersantai di dalam bilik anda dapat merasakan bayu laut yang bertiup tenang dan juga bunyi pukulan ombak yang mendamaikan jiwa.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Amitravel

2. Pulau Perhentian Kecil

Tak pasti nak bermalam di Pulau Perhentian Kecil atau Besar? Mungkin penjelasan ni akan membantu anda membuat pilihan. Kalau Pulau Perhentian Besar dapat memuaskan jiwa anda yang merindukan suasana tenang, Pulau Perhentian Kecil pula lain ceritanya.

Pulau ini agak meriah dengan pelancong terutama sekali pada bahagian yang dipanggil Long Beach ataupun Pantai Panjang, tak kisahlah siang atau malam, ada sahaja aktiviti yang berjalan di sini. Inginkan ketenangan? Jangan risau, ruang untuk anda mendapatkan privasi ada disediakan di Coral Bay yang terletak bertentangan dan tidak sukar untuk diakses.

Sebagai info tambahan, salah satu sebab kenapa Pulau Perhentian Kecil ini lebih menjadi tumpuan adalah kerana terdapat banyak penginapan-penginapan bajet yang tersedia di sini.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Airasiago

3. Pantai Panjang ( Long Beach )

Pantai Panjang ataupun Long Beach adalah sebuah lokasi yang menjadi perhatian ramai backpackers dan mat saleh. Aktiviti yang berjalan di tepian Pantai Panjang ini bertambah meriah sebaik tiba waktu malam. Antara yang menarik yang ada di sini adalah pertunjukan api.

Di tepian Long Beach ni juga ada banyak guest house yang sesuai untuk diinapi golongan solo traveller atau yang bercuti dalam bajet. Nak jimat lagi? Dirikan je khemah tepi pantai ni.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Picssr

4. Kincir Angin D’Lagoon

Kincir Angin D’Lagoon adalah sebuah tarikan unik yang terletak di bahagian puncak tertinggi di Pulau Perhentian Kecil. Kalau anda berdiri di atas puncak ini, anda dapat menyaksikan pemandangan yang terindah di Pulau Perhentian.

Yang menjadikan ia sebuah lokasi yang wajib dilawati di sini adalah kerana Kincir Angin D’Lagoon adalah seperti ‘dek pemerhatian’ pulau ini. Dari puncak ini anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan penuh 360 darjah sekitar Pulau Perhentian.

Bunyinya macam tinggi sahaja puncaknya, tapi jangan risau, laluan pejalan kaki untuk anda mendaki menuju ke puncak telah disediakan. Masa yang diambil untuk mendaki adalah dalam 20 minit. Pakai kasut yang selesa dan jangan lupa bawa kamera.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Ieyra

5. Teluk Pauh

Teluk Pauh adalah sebuah tarikan alam semula jadi di dalam Pulau Perhentian Besar yang terletak di bahagian barat laut. Kalau anda datang ke sini dari Pantai Panjang (Pulau Perhentian Kecil), anda boleh menggunakan perkhidmatan ‘teksi air’ yang disediakan penduduk setempat. Masa yang diambil untuk sampai ke teluk ini adalah dalam sekitar 10 minit.

Sebaik sampai di kawasan Teluk Pauh, anda akan terpesona melihat keindahan melampau yang disajikan di depan mata. Teluk Pauh ini ibarat sebuah kolam renang semula jadi yang sangat besar , yang menjadikan ianya sejuta kali menyeronokkan adalah kerana kejernihan airnya yang persis kristal. Nak mandi sepuas hati? Inilah lokasinya kerana dasar airnya juga tidak begitu dalam.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Nitzus

6. Turtle Bay

Terletak tidak jauh dari Teluk Pauh adalah tarikan yang seterusnya, Titik Penyu atau Turtle Bay. Dari namanya sahaja dapat dibayangkan apa yang boleh ditemui di sini.

Nak tahu kenapa banyak penyu di sini? Sebabnya, kawasan dasar laut di sekitar Titik Penyu ini adalah tempat mereka mendapatkan sumber makanan. Cara terbaik untuk melihat penyu-penyu ini adalah dengan bersnorkeling di perairan sekitar.

Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan supaya tidak mengganggu habitat mereka atau menyentuh mereka yang sedang bergerak bebas di sekitar. Cukuplah sekadar melihat dari jauh. Jangan lupa untuk sediakan kamera anda.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Worldofbuzz

7. Teluk Dalam

Teluk Dalam terletak di selatan Pulau Perhentian Besar. Di sepanjang teluk ini juga terdapat banyak penginapan menarik yang ditawarkan. Kawasan teluk yang panjang ini cukup mendamaikan. Di sini anda boleh meluangkan masa bersama keluarga sambil berkelah dan menikmati pemandangan dengan tenang.

Pada waktu tengah hari dan matahari terbenam, kawasan teluk ini menjadi tumpuan untuk pelbagai aktiviti seperti berkayak, snorkeling, bola tampar dan sebagainya.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Perhentianislandresort

8. Pantai Romantik

Inginkan pengalaman yang romantik semasa berada di Pulau Perhentian? Apa kata kalau anda berdating bersama pasangan di Pantai Romantik, sesuai sekali dengan namanya. Pantai dengan pasir putih ini dapat memberikan anda ketenangan yang dicari-cari.

Dah puas berjalan, anda boleh meneruskan aktiviti di sini dengan ‘menyelami’ keindahan sebenar yang disorokkannya di dalam air laut dengan cara bersnorkeling. Banyak ikan-ikan yang menanti  kunjungan anda.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Cloverholidays

9. Pulau Tokong Burung

Pulau Tokong Burung yang terletak sekitar 40 minit dari Pulau Perhentian dengan menaiki bot-bot yang tersedia.Pulau ini memiliki permukaan yang berbatu-batu dan tidak begitu berpasir seperti pulau yang lain di Pulau Perhentian. Untuk menikmati keindahan sebenar yang ditawarkan Pulau Tokong Burung ini anda boleh menaiki batu besar yang terdapat di sini untuk menikmati pemandangan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: tenerifeandoporelmundo

10. Terumbu Tiga

Nama lain Terumbu Tiga adalah Tiger Rocks. Kawasan menyelam yang best ini terletak di bahagian timur Pulau Perhentian Besar. Kalau anda memilih lokasi ini untuk menyelam skuba, anda dapat melihat banyak pembentukan batu karang yang berwarna-warni yang terdiri daripada spesies-spesies seperti Ctenocella pectinata, Sinularia Sp, Symphyllia Recta dan bermacam lagi.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Jomcuti

11. Lata Air Berani

Di sini terdapat sebuah kolam kecil yang terbentuk di tepian pantai Pulau Perhentian Besar. Airnya tidak pernah kering. Kolam air tawar  ini menjadi tumpuan ramai orang untuk bermandi-manda sepuas hati kerana kesegaran yang dirasakan bila air yang sejuk bak ais ini terkena pada badan. Jika anda pergi ke Pulau Perhentian, jangan lepaskan peluang untuk ke sini.

tempat menarik di pulau perhentian

Sumber Gambar: Amirahshahida

Itulah dia 11 tempat menarik di Pulau Perhentian yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Rasa teringin untuk ke sana? Jom kita cuti-cuti Pulau Perhentian.

Jemput juga baca artikel tempat menarik penulisan kami seperti tempat menarik di Kuala Selangor, tempat menarik untuk honeymoon dan tempat menarik di Singapore.

Sumber: Maisinggah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.