20 Tempat Menarik di Kuala Selangor Yang Mesti Dilawati
Mencari tempat menarik di Kuala Selangor? Kuala Selangor merupakan satu daerah di Selangor yang memakan masa 1 jam untuk tiba jika anda dari Kuala Lumpur,…

Nota: artikel ini mungkin mengandungi pautan afiliasi. Bidadari.my mungkin memperoleh komisen kecil tanpa kos tambahan kepada anda.
Mencari tempat menarik di Kuala Selangor? Kuala Selangor merupakan satu daerah di Selangor yang memakan masa 1 jam untuk tiba jika anda dari Kuala Lumpur, memang dekat.
Untuk meredakan stress, apa kata anda singgah sahaja melancong di sini. Jadi, berikut kami senaraikan 20 tempat menarik di Kuala Selangor. Teruskan membaca!
Sky Mirror
Alamat: Jalan Sultan Mahmud, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari | 6 am - 10 pm
Anda pasti hairan kenapa nama tempat ini Sky Mirror, bukan? Sky Mirror ini adalah fenomena permukaan air yang mewujudkan bayangan langit yang kelihatan seperti cermin.

*Imej via Tripadvisor *
Terletak di Sekinchan, fenomena ini hanya terjadi apabila air pantai surut sahaja. Ianya cuma berlaku 6 ada hari 1, 2, 14, 15, 16 dan 30 mengikut kalendar Cina. Anda perlu menaiki boat selama 30 minit dari Jeti Sasaran ke pantai ini.
Disebabkan fenomenanya jarang, jumlah pengunjung di sini selalunya ramai. Harga tiket masuknya ialah RM 60 - RM 80 untuk kanak-kanak dan RM 80 - RM 100 untuk dewasa mengikut agen yang dipilih.
Eagle Feeding Kuala Selangor
Alamat: No 1, Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Nak meluangkan masa dengan unik, apa kata anda rasai pengalaman memberi burung helang makan di Kuala Selangor. Seperti hendak ke Sky Mirror, anda perlu menaiki di Jeti Pasir Penambang untuk ke muara sungai, Sungai Selangor.

*Imej via Kuala Selangor.com *
Banyak agen atau pemandu pelancong berada di Pasir Penambang yang anda boleh pilih untuk membawa anda memberi helang makan. Setiap pakej akan mengambil masa 20 - 40 minit untuk memberi helang makan sambil layan keindahan alam.
Blue Tears
Alamat: Sky Mirror Jetty (Departure point), Kuala Selangor, Selangor

*Imej via Kuala Selangor.com *
Fenomena Blue Tears ini jarang berlaku di Malaysia mahupun di luar negara. Kuala Selangor adalah salah satu daripada tujuh tempat Blue Tears yang ada di Malaysia. Anda juga perlu menaiki boat menyelusuri pantai Kuala Selangor untuk melihat Blue Tears.
Waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena ini adalah pada hari pertama, kedua dan ketiga mengikut kalendar lunar. Anda digalakkan untuk datang pada pukul 9.00 malam ke atas untuk menyaksikan dengan lebih jelas. Memang cantik jika dilihat dengan mata kasar berbanding rakaman kecuali peralatan yang digunakan menggunakan resolusi tinggi.
Kampung Pelangi
Alamat: Lot 4021, Jalan Rizab Zazuli, Kampung Bukit Hijau, 45800 Jeram, Selangor
Waktu operasi:
- Isnin - Jumaat (9.00 pagi - 5.00 petang)
- Sabtu, Ahad & cuti umum (9.00 pagi - 5.30 petang)
Harga tiket:
- Sabtu, Ahad & cuti umum (Dewasa RM 25 | Kanak-kanak, warga emas & OKU RM 20)
- Isnin - Jumaat ( Dewasa RM 20 | Kanak-kanak, warga emas & OKU RM 15)
Kampung Pelangi turut dikenali sebagai Kuala Selangor Cabin Camp. Seiring dengan nama diberi, kawasan ini dicat dengan pelbagai warna pelangi bukan sahaja padan bangunan atau binaan namun lantai juga dihiasi dengan warna tersebut.

*Imej via KSCC *
Anda boleh memilih sama ada untuk melawat atau menginap di sini. Terdapat pelbagai jenis penginapan yang ada seperti Busstay, Cabinstay, Hobbitstay dan banyak lagi. Setiap penginapan mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri.
Antara aktiviti yang anda boleh cuba adalah melawat mini zoo, memanah, wall climbing dan sebagainya. Sebahagian pembayaran tiket atau penginapan akan diperuntukkan kepada Pondok Balai Ilmu iaitu kelas pengajian agama yang percuma untuk masyarakat setempat.
Hussin Fauzi Farm
Alamat: Batu 45, Kampung Teluk Penyamun, Bestari Jaya 45600 Kuala Selangor, Selangor
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 pagi - 6.00 petang)
Harga tiket:
- Dewasa (13 tahun ke atas) | RM12
- Kanak-kanak (3 tahun-12 tahun) | RM7
Hussin Fauzi Farm adalah sebuah petting zoo berdekatan Ma’ahad Tahfiz Dar As-Thaqhofah. Anak-anak khususnya pasti suka ke sini kerana terdapat pelbagai haiwan ternakan yang jinak seperti kuda, rusa, unta dan sebagainya yang boleh dilihat dan diberi makan secara dekat.

*Imej via Hussin Fauzi Farm *
Bukan itu sahaja, ada aktiviti lain seperti memanah, berkuda, ATV, menangguk ikan dan sebagainya dengan kadar bayaran yang berbeza. Memang berbaloi jika bawa anak-anak ke sini. Sekurang-kurangnya mereka dapat didedahkan dengan alam sekeliling.
Untuk pengetahuan anda, setiap pembelian tiket, sebanyak RM 2 akan disalurkan kepada pengurusan Ma’ahad Tahfiz Dar As-Thaqhofah yang juga merupakan pengelola bagi tempat ini. Sambil melawat anda juga boleh beramal.
MARDI Tanjong Karang
Alamat: Kampung Sungai Sireh Batu Sebelas, 45500 Tanjung Karang, Selangor
Waktu operasi:
- Sabtu - Khamis (8.30 pagi - 4.30 petang)
- Jumaat cuti kecuali galeri
Taman Agroteknologi di Tanjung Karang ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan sekitar sawah padi. Selain anda boleh merasai pengalaman menanam padi secara manual, anda juga boleh bersampan, memancing dan menangkap ikan.

*Imej via Teratak Tok Ngah *
Jika anda inginkan aktiviti santai, anda boleh berbasikal keliling kampung atau minum air kelapa muda. Betul-betul rasa seperti di kampung sendiri. Jangan lupa untuk merakamkan gambar kerana pemandangan di sana memang sangat cantik dan kehijauan.
Pelbagai kemudahan disediakan seperti kafeteria, surau dan gazebo untuk berehat. Harga tiket bergantung pada pakej yang anda pilih. Terdapat 3 pakej yang ditawarkan yang pastinya murah dan sangat berbaloi.
Firefly Park Resort
Alamat: Kampung Bukit Belimbing, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Waktu operasi: Isnin - Ahad ( 9.00 pagi - 10.30 malam)
Jika anda penduduk Selangor dan ingin membawa keluarga bercuti seakan di kampung, Firefly Park Resort pasti tidak akan mengecewakan anda. Bawa anak-anak mandi kolam di sini pasti mereka seronok.

*Imej via Visit Selangor *
Resort ini mempunyai chalet yang unik kerana terapung di atas air yang mempunyai 2 bilik. Chalet terapung ini serendah RM 150 pada hari biasa. Jika mahu penginapan di hadapan kolam renang, anda boleh memilih untuk menginap di kabin.
Antara aktiviti di sini adalah melihat kelip-kelip, menyelusuri sungai, mini supa dupa, waterball boat dan sebagainya. Pasti ia menjadi percutian bermakna buat anda sekeluarga.
Taman Alam Kuala Selangor
Alamat: Jalan Klinik, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari | 9 am – 6 pm
Ini merupakan antara tarikan pelancongan utama di Kuala Selangor - Taman Alam Kuala Selangor. Ia siap dibina pada tahun 1987.

Imej via Foursquare
Berkeluasan 296 hektar, taman ini terbahagi kepada dua hutan iaitu hutan hujan tropika dan hutan paya. Saiz hutan hujan tropika ini juga luas, sekitar 201 hektar.
Jenis haiwan yang popular di sini ialah burung. Terdapat lebih 150 spesis burung di sini di mana hampir separuh daripadanya adalah spesis burung luar negara.
Bukit Melawati
Alamat: Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Bukit Melawati merupakan antara tempat menarik di Kuala Selangor yang kaya dengan Sejarah. Ia juga pernah ditawan oleh Belanda pada abad ke-18 dahulu.

Imej via Instagram
Di kawasan inilah terdapat banyak tempat-tempat yang menjadi tarikan pelancongan di Kuala Selangor. Antaranya termasuklah Meriam Penggawa, Perigi Beracun dan Rumah Api Altinsburg.
Kelip-kelip Kampung Kuantan
Alamat: Kampung Kuantan, 45000 Batang Berjuntai, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari | 7.45 am - 10.30 pm
Sebut sahaja tentang tempat menarik di Kuala Selangor, pasti nama Kelip-kelip Kampung Kuantan ini wajib tersenarai. Agak-agak apa yang menarik di sini?

Imej via Foursquare
Semestinya pemandangan kelip-kelip yang bercahaya pada waktu malam, memang cantik! Bagi mereka yang suka mengambil gambar, anda pasti akan jatuh cinta dengan tempat ini.
Untuk ke sini, anda perlu menaiki sampan. Harganya RM 40 sahaja untuk 4 orang, sangat berbaloi dengan pengalaman yang akan anda rasai.
Taman Kesenian Sasaran Art
Alamat: Jalan Sasaran, Sungai Buloh, 45800 Jeram, Selangor
Bagi peminat seni, anda wajib singgah Taman Kesenian Sasaran Art ini. Ada banyak galeri seni tempatan yang pasti akan menarik minat anda.
Selain galeri seni, tarikan utama lain ialah arca kesenian yang mengkhususkan tentang budaya. Karya mural di sini juga cantik-cantik belaka.

Imej via Instagram
Selain karya tempatan, karya oleh pelukis dari luar negara seperti Vietnam, Taiwan, Indonesia Nepal dan Australia juga turut dipaparkan di sini. Jenis karya juga berbeza-beza subjeknya.
Kota Tanjung Keramat
Alamat: Jalan Tanjong Keramat, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Sebut sahaja tarikan bersejarah di Kuala Selangor, pasti nama kota ini akan terkait - Kota Tanjung Keramat. Ada banyak tarikan bersejarah yang boleh anda lawati jika ke sini.
Antaranya ialah Makam Keramat Anak Dara, Tasik Shima dan Tanjung Keramat Fort. Setiap tarikan ini juga ada sejarahnya yang tersendiri, jadi jangan lupa ke sini untuk mempelajarinya.
Pantai Remis
Alamat: Jalan Pantai Remis, Kampung Dungun, 45800 Jeram, Selangor
Mencari tempat yang sesuai untuk memancing? Singgah sahaja di Pantai Remis yang terletak beberapa kilometer sahaja dari Bukit Melawati.

Imej via Foursquare
Selain aktiviti memancing, anda juga boleh melalukan aktivit lain. Antaranya ialah bermain layang-layang, mengumpul cengkerang dan beriadah bersama keluarga.
Ramai pengunjung mengakui yang hasil memancing di Pantai Remis ini agak banyak. Makanan laut seperti kerang bakar juga turut dijual dan ianya diakui segar.
Makam Keramat Anak Dara
Alamat: Jalan Tanjong Keramat, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Terletak di Tanjung Keramat, Makam Keramat Anak Dara ini juga merupakan antara tarikan bersejarah di Kuala Selangor. Tertanya-tanya tentang kisahnya?

Imej via Foursquare
Kisah lagenda ini dikatakan bermula apabila seorang gadis bujang menghilangkan diri, menyebabkan orang tuanya bertindak untuk membangunkan makam khas untuk anaknya yang hilang.
Kisah lanjut tentang perihal ini ada diceritakan di papan yang terletak di replika makam ini sendiri. Jika anda berminat untuk mendalami kisahnya, singgah sahaja di sini.
Perigi Beracun
Alamat: 45000 Kuala Selangor, Selangor
Perigi beracun ini juga merupakan antara tarikan yang bertempat di Bukit Melawati. Anda pasti tertanya-tanya tentang sejarahnya, bukan?

Imej via Foursquare
Zaman dahulu, air di dalam perigi ini dikatakan beracun oleh penduduk. Ianya merupakan tempat hukuman bagi sesiapa yang menderhakai sultan pada ketika itu.
Air beracun ini diperbuat daripada ramuan getah dan miang rebung. Ia diisi sehingga paras dagu untuk menghukum pesalah. Kini, ia dikenali sebagai antara lokasi bersejarah di Kuala Selangor.
Rumah Api Altingsburg
Alamat: 45000 Kuala Selangor, Selangor
Bukit Melawati memang ada banyak tempat yang bersejarah untuk disinggah. Salah satunya ialah Rumah Api Altinsburg yang berdiri megah di atas bukit tersebut.

Imej via Instagram
Rumah api inilah yang digunakan pada zaman dahulu untuk membantu ahli pelayaran, juru mudi atau nakhoda kapal untuk belayar dan mendarat dengan selamat.
Ia siap dibina pada tahun 1910 dan dinamakan bersempena dengan seorang pemimpin Belanda ketika itu. Sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer.
Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor
Alamat: No 1, Puncak Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari | 9.30 am - 5.30 pm
Tercari-cari muzium yang boleh dilawati di Kuala Selangor? Di Bukit Melawati, anda boleh melawat Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.

Imej via Foursquare
Anda dapat melihat galeri seni dan replika bersejarah seperti replika meriam, polis, keris dan pistol. Barangan dapur seperti cawan dan pinggan juga turut dipaparkan di sini.
Pasar Basah Pasir Penambang
Alamat: Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari | 8 am - 7 pm
Pasar ini merupakan pasar yang namanya sentiasa menjadi sebutan penduduk di Kuala Selangor - Pasar Basah Pasir Penambang. Ia sering dipenuhi dengan pengunjung disebabkan oleh kualiti makanan lautnya.

Imej via Foursquare
Antara makanan laut yang boleh anda beli ialah ikan jenahak, ikan siakap, ikan yu, kerang, sotong dan ketam. Ada banyak lagi, yang penting memang bikin ramai pengunjung rambang mata!
Pasir Penambang
Alamat: Alamat: 45000 Kuala Selangor, Selangor
Pasir Penambang adalah tempat menarik di Kuala Selangor yang menyajikan pengalaman yang berbea dan unik untuk para pengunjungnya. Pengalaman apakah yang kami maksudkan?

Imej via Foursquare
Ianya adalah memberi makan kepada helang. Anda akan menaiki bot dari Jeti Pasir Penambang dan setibanya di kawasan ini, anda boleh memberi makan kepada helang-helang sekitar sini.
Selain itu, tempat makan berhampiran kawasan ini juga sedap-sedap. Jangan lupa untuk mencuba air coconut shake, pasti menyegarkan tekak dan berkrim!
Taman Ikan Air Tawar
Alamat: Majlis Daerah Kuala Selangor, Jalan Semarak, Selangor, 45000 Kuala Selangor
Terletak beberapa minit sahaja dari Bukit Melawati, Taman Ikan Air Tawar juga merupakan antara tempat menarik di Kuala Selangor yang patut anda kunjungi.

Imej via Foursquare
Ianya menempatkan lebih 60 spesis ikan air tawar seperti ikan kelisa, ikan buaya dan ikan keli. Paparan info tentang ikan-ikan ini juga ada untuk bacaan pengunjungnya .
Artikel Menarik Lain
Teruja untuk mengunjungi tempat menarik di Kuala Selangor yang dikongsikan? Kami yakin anda pasti teruja untuk melancong di sini.
Selain artikel ini, kami juga menulis artikel tempat yang lain untuk dilawati. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial.