Tempat glamping antara tempat penginapan yang dicari oleh pecinta alam. Glamping atau Glamorous Camping yang adalah konsep perkhemahan yang mewah dan mudah. Hal ini kerana penginapannya iaitu khemah khas siap tersedia termasuk kemudahannya dan pengunjung hanya perlu datang untuk menginap dengan selesa tanpa perlu berpeluh membangunkan khemah.

Tempat glamping kebiasaannya berada di kelilingi alam semula jadi yang memberi ketenangan buat pecinta alam. Jauh dari kesibukan kota, berada di tempat seperti ini membolehkan kita menghirup udara yang lebih segar, bebas pencemaran dan bebas dari hiruk-pikuk kota.

Bagi anda yang mencari port healing bertemakan alam, tempat glamping pasti sesuai untuk anda menghilangkan tekanan. Kami kongsikan 20 tempat glamping popular di Malaysia dari rate marhaen hinggalah harga kayangan!

River & Glamp

Imej via River & Glamp

River & Glamp terletak di Ulu Yam, iaitu kira-kira 20 minit dari Batu Caves. River & Glamp berada di perkarangan Nur Laman Bestari Eco Resort. Ada lima jenis khemah glamping untuk anda pilih dan kesemuanya memuatkan 5 orang dalam satu khemah.

Khemah yang berada di tepi sungai menjadi port terlaris. Setiap khemah pula mempunyai tandas, power point, pendingin hawa, kipas, tuala dan sebagainya.

Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan disini termasuklah berbasikal, menunggang ATV, memanah dan barbeku. Jika mahukan aktiviti air yang lasak, anda perlu menyertai aktiviti water tubing dan kayak dengan bayaran tertentu. Lebih mencabar tetapi menyeronokkan kerana anda dapat menyelusuri arus sungai yang deras.

Apa yang lebih menarik, pakej glamping di sini termasuk makan tengah hari, sarapan dan makan malam. Semuanya tersedia buat pengunjung dan anda boleh bersantai dengan tenang. Berita baik buat mereka yang ingin mengadakan sambutan hari jadi mahupun ulang tahun perkahwinan dimana terdapat empat pakej serendah RM 199 lengkap dengan dekorasi. Memang berbaloi!

Alamat: Nur Laman Bestari Eco Resort, Jalan Sungai Tua, Kampung Batang Batu, 68100 Batu Caves, Selangor

Dusun Bonda

Imej via Dusun Bonda

Dusun Bonda yang terletak di Batang Kali turut menawarkan penginapan glamping yang mewah. Penginapan popular di Selangor ini mempunyai pelbagai tarikan dan kemudahan yang mencukupi.

Konsep glamping di Dusun Bonda didatangkan dengan khemah Bell Tent. Berkeluasan 2.1 ekar, Dusun Bonda menyediakan kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak, taman permainan, surau dan dewan. Dapur dan peralatan BBQ turut disediakan dengan lengkap untuk kegunaan penginap.

Selain bermandi-manda di sungai dan kolam, aktiviti lain yang boleh anda sertai adalah River Tubing, Bonfire, Junggle Trekking dan berakit.Memang seronok bermain aktiviti air bersama yang tersayang!

Pakej glamping ini serendah RM 400 untuk khemah Bell Tent yang berukuran 4 meter, memuatkan 4 atau 5 orang penginap. Bagi khemah Bell Tent yang berukuran 5 meter pula serendah RM 700, khemah ini memuatkan 6 hingga 7 orang penginap. Pakej ini termasuk sarapan.

Alamat: Lot 2121 (2996) Jalan Ulu Tamu, Kampung Orang Asli Gurney, Ulu Tamu, 44300 Batang Kali, Selangor

Moon Kissed By The River

Hulu Langat menjadi port glamping popular di Selangor termasuklah Moonkissed By The River. Suasana glamping di sini juga berbeza dengan glamping di River & Glamp.

Pakej glamping di sini antara yang berbaloi dengan harga serendah RM 350 hingga RM 700 mengikut tarikh, saiz khemah dan bilangan ahli dalam satu khemah. Rata-rata khemah disediakan tilam, pendingin hawa, kipas, plug power point dan bilik mandi. Bukan itu sahaja, malah ada bilik mandi persendirian, kelengkapan barbeku serta tapak unggun api. Sarapan termasuk dalam pakej ini.

Surau dan kafe kecil berada di kawasan perkhemahan. Pengunjung juga boleh memilih tapak khemah yang berdekatan atau berjauhan dari sungai. Hiking, mandi sungai, barbeku antara aktiviti yang perlu dilakukan di sini!

Alamat: Moonkissed By The River , Batu 14 1/2 Jalan Sungai Semungkis, 43100 Hulu Langat, Selangor

Glow Putrajaya

Imej via Glow Putrajaya

Siapa sangka di Putrajaya juga ada port glamping yang eksklusif iaitu Glow Putrajaya. Ia terletak di Wetlands Putrajaya iaitu di Presint 13. 10 khemah glamping ini dilengkapi dengan tilam, soket elektrik dan pendingin hawa. Dekorasi dalaman kelihatan estetik, sesuai untuk anda bergambar.

Satu kemudahan di Glow Putrajaya adalah Glow Mart yang menjual pelbagai barang kemudahan berkhemah seperti makanan ringan, pakaian, kelengkapan mandian dan lain-lain. Mudah untuk pengunjung membelinya jika terlupa untuk membawa dari rumah.

Peralatan memasak turut lengkap untuk kegunaan penginap. Bilik mandi, tandas dan surau disediakan dengan bersih, cantik dan selesa.

Glow Putrajaya bukan sahaja sesuai untuk dewasa malah kanak-kanak pasti seronok berada di sini. Berbasikal, melompat di atas trampoline dan permainan indoor antara aktiviti sesuai buat mereka. Tak cukup mencabar? Apa kata sertai pengembaraan di Challenge Park, memanah, flying fox atau night trail.

Alamat: Persiaran Persekutuan, Presint 13, 62300 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Tiarasa Escape

Imej via Tiarasa Escape

Tiarasa Escape antara tempat glamping termewah dan popular di Malaysia. Walaupun harga yang ditawarkan tinggi namun anda pasti tidak menyesal berada di sini kerana suasana dan kemudahan yang disediakan hampir sempurna.

Terletak di Janda Baik iaitu salah satu port berkhemah terkenal di Pahang, Tiarasa Escape berada dikelilingi alam yang menghijau. 20 villa yang dibina dengan khemah mewah terbahagi kepada empat pilihan bilik iaitu Dragonfly Villas, Hornbill Villas, Rajah Brooke Family Suites dan Owner’s Tent. Satu lagi penginapan istimewa dan unik merupakan rumah pokok. Menarik bukan?

Antara aktiviti yang menarik adalah menonton wayang, berkelah, nature walk dan birdwatching. Wading pool yang berada di tengah-tengah resort ini dihiasi dengan landskap yang memukau. Lepak bersama anak-anak sambil merendamkan kaki pasti memberikan ketenangan yang berbeza.

Sebut tentang perkhemahan, sudah tentu berhampiran sungai. Apa yang lebih menarik, di tebing Sungai Enderong iaitu sungai yang berada berdekatan resort, pihak Tiarasa Escape menyediakan khemah piknik untuk melengkapkan lagi suasana sewaktu berkhemah.

Alamat: Persiaran Enderong, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang

Inap Dusun Fraser Valley

Inap Dusun Fraser Valley pula terletak di Kuala Kubu Bharu. Jika tempat glamping lain berada berdekatan sungai, lain pula Inap Dusun Fraser Hill yang berdekatan tasik. Permandangan di sini juga berbeza dengan gunung yang menghijau dan kebun buah-buahan yang luas.

Fasiliti yang disediakan di setiap khemah glamping lengkap, memberikan keselesaan buat penginap. Tandas di sini adalah berkongsi namun jangan risau kerana sentiasa bersih. Di tempat glamping juga mempunyai taman untuk penginap bersantai, bar dan dapur kongsi jika ada yang ingin memasak.

Harga glamping sangat berpatutan iaitu serendah RM 220 tertakhluk pada tarikh penginapan dan jenis khemah. Berada di sini lebih tenang dan nyaman. Pada waktu pagi dan malam sejuk walaupun bukan berada di kawasan hutan.

Alamat: Lot 2440, 3545, Jalan Ampang Pechah, 44200 Kuala Kubu Bharu, Selangor

Gopeng Glamping Park

Di Perak, Gopeng Glamping Park antara lokasi glamping yang popular dan sentiasa menjadi pilihan ramai untuk healing bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Pecinta alam, anda pasti suka berada di sini kerana dikelilingi bukit-bukau, sungai, gua dan hutan. Suasana di sini meriah menjelang hujung minggu dan cuti, namun tetap memberi ketenangan.

Lebih banyak aktiviti yang boleh lakukan di Gopeng Glamping Park. Buat mereka yang suka akan cabaran dan pengembaraan, anda perlu sertai whitewater rafting, meneroka gua, waterfall abseiling, mendaki gunung, paintball dan beberapa aktiviti lain. Menginap satu hari memang tak cukup untuk lakukan semua aktiviti ini!

Jika mahukan aktiviti lebih santai, anda boleh berbasikal atau lepak di sekitar kawasan glamping. Buat anak-anak pasti mereka ingin bermain di taman permainan mini yang disediakan di sini.

Tiga jenis khemah untuk pilihan pengunjung iaitu Double Tent yang memuatkan 2 orang, Quad Tent yang memuatkan 4 orang dan khemah terbesar iaitu Deluxe Tent yang boleh memuatkan 8 orang dalam satu khemah. Setiap khemah dilengkapi pembersih udara, pendingin hawa, tilam empuk dan meja. Khemah juga luas dan selesa.

Alamat: Lot 10846, Jln Besar, Kampung Chulek, 31600 Gopeng, Perak

Rock Garden Himalaya Camp Gopeng

Rock Garden Himalaya Camp Gopeng antara rekreasi yang viral di Perak. Selain glamping, mereka turut menawarkan tujuh lagi penginapan unik yang lain termasuklah chalet, Cube Home dan M Home. Antara kemudahan yang disediakan adalah surau, kolam renang, gazebo, parkir yang luas dan campfire.

Jika mahukan penginapan yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan lasak, ini tempatnya kerana anda boleh menyertai whitewater rafting, waterfall abseiling, meneroka Gua Tempurung dan Gua Kandu, hiking di Batu Putih serta menunggang ATV.

Mahukan aktiviti yang lebih santai? Anda boleh membawa anak-anak mandi kolam dan mandi sungai. Satu lagi tarikan baru dan viral di sini adalah Rainbow Slide dimana anda boleh gelongsor menggunakan pelambung di atas gelongsor berwarna-warni.

Bagi yang mahu menginap di khemah glamping, anda boleh menempah Geo Home yang berbentuk seperti kubah. Harga bermula RM 280, memuatkan 5 orang dalam satu bilik. Pakej ini termasuk sarapan untuk 5 orang. Hanya tiga unit glamping sahaja yang ada di sini dan berhadapan dengan kolam. Memang best bawa anak-anak ke sini! Setiap khemah mempunyai tandas dan bilik mandi sendiri.

Alamat: Jalan Kampung Pintu Padang, 31600 Gopeng, Perak

Belantara Resort

Belantara Resort tidak kurang hebatnya kerana mereka menyediakan pelbagai tarikan menarik untuk semua peringkat umur. Paling best, ada taman tema air mini untuk kanak-kanak bermain dan bermandi-manda. Kemudahan lain yang disediakan termasuklah restoran, surau dan servis buggy.

Permandangan di Belantara Resort sangat memukau dimana dikelilingi Bukit Bubu dan Sungai Lubuk. Berada di sini memang tenang kerana pengunjung akan ditemani suara alam.

Belantara Resort menawarkan empat jenis penginapan dan dua darinya berkonsepkan glamping dan dua lagi berkonsepkan chalet. Harga pula sangat berpatutan iaitu bermula RM 160 hingga RM 660, tertakhluk pada tarikh penginapan, jenis khemah dan bilangan ahli. Harga pada hujung minggu tinggi namun berbaloi kerana termasuk pakej sarapan dan makan malam.

Alamat: Lot 2838, Kampung Sungai Lubok, 34800 Terong, Perak

The Cozytainer

Imej via The Cozytainer

Terletak di Taiping, The Cozytainer terkenal dengan penginapan berkonsepkan kontena. Namun ada juga penginapan glamping yang estetik dan menarik. Lokasinya mudah diakses dan hanya berada kira-kira lima minit untuk ke bandar Taiping.

Khemah glamping di sini dengan permandangan taman dan gunung-ganang. Khemah ini memuatkan tiga orang dengan satu tilam bujang dan satu tilam queen. Setiap khemah diberikan tilam, pendingin hawa, seterika, kipas dan soket elektrik. Bilik air dan tandas berada berasingan dan perlu dikongsi dengan penginap yang lain namun mencukupi dan sentiasa bersih.

The Cozytainer sesuai untuk mereka yang mencari penginapan unik sewaktu berada di Taiping. Tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini namun tenang dan nyaman untuk bersantai. Ada kolam renang kecil yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.

Alamat: 183, Jalan Merdeka, Taman Tupai Mas, 34000 Taiping, Perak

Glamz At Genting

Nak berkhemah dengan cuaca yang sejuk? Ha jom glamping di Genting Highland iaitu Glamz At Genting. Jika menginap di sini, mereka yang tidak tahan dengan sejuk pasti tidak menghidupkan pendingin hawa dan kipas. Khemah disini menggunakan Geodesic Dome Tent yang seakan kubah dan ada juga Bell Tent. Bilik paling glamour semestinya VIP Dome yang mempunyai jakuzi persendirian yang membolehkan anda untuk berendam dengan privasi.

Setiap khemah mempunyai tandas dan bilik mandi persendirian. Soket, pengering rambut, pendingin hawa dan tuala turut disediakan buat penginap. Setiap pakej termasuk sarapan percuma yang enak.

Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini melainkan aktiviti yang santai seperti bermain board games, bersantai di tempat yang disediakan dan mandi kolam.

Walaupun tiada sungai, namun pihak Glamz menyediakan banyak kemudahan menarik seperti jakuzi umum, kafe, ruang barbeku dan ruang santai.

Alamat: 1, Jln Meranti, 69000 Genting Highlands, Pahang

Umea Glam Kundasang

Ada yang mencari tempat glamping best di Sabah? Jom ke Kundasang dan rasai keseronokan berkhemah dengan mewah di Umea Glam Kundasang.

Terdapat 10 khemah berkonsepkan kubah dan apa yang lebih menarik sebahagian dindingnya adalah lutsinar. Ini membolehkan penginap menikmati permandangan sekeliling dengan jelas dari dalam khemah. Bayangkan anda tidur menghadap langit dan bintang yang berkelipan, pasti memberi pengalaman yang luar biasa dan indah.

Harga serendah RM 290 untuk satu malam, setiap khemah mempunyai tandas dan bilik mandi persendirian. Setiap khemah juga lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuklah seterika, soket, Wi-Fi, cerek air dan sebagainya. Harga sangat berbaloi, tambahan pula mereka menyediakan ruangan santai dilengkapi kerusi dan meja di setiap khemah.

Alamat: Jln Golf Course Mesilou, 89308 Kundasang, Sabah

Sea Horizon Resort

Sea Horizon Resort yang berada di Johor merupakan lokasi glamping yang lebih unik dari glamping yang lain. Jika lokasi glamping yang lain berada di dikelilingi tumbuhan menghijau dan berdekatan sungai, lain pula di Sea Horizon Resort yang berhadapan dengan laut.

Khemah ekslusif ini memuatkan satu katil king untuk tiga orang. Pakej ini juga termasuk dengan sarapan untuk dua orang. Setiap khemah mempunyai ruang dalaman yang luas dan estetik. Televisyen, kipas dan cerek elektrik antara peralatan yang disediakan untuk penginap.

Bilik air dan tandas turut berada di dalam khemah glamping. Paling best, ada balkoni menghadap laut untuk anda duduk dan menikmati keindahan alam bersama pasangan. Bagi yang mencari lokasi berbulan madu, kami cadangkan anda untuk ke sini!

Alamat: Lot 901, Kuala Sedili Besar, 81900 Kota Tinggi, Johor

Canopy Villa Glamping Park

Canopy Villa Glamping Park juga berada di Janda Baik iaitu di Kampung Sum Sum dan berkeluasan 8 ekar. Tempat glamping mewah ini berada di tengah-tengah alam yang penuh ketenangan.

Banyak aktiviti lasak yang boleh anda sertai jika menginap di sini seperti mendaki bukit, menunggang ATV dan jungle trekking. Antara kemudahan yang disediakan adalah kemudahan barbeku, dapur kongsi yang lengkap dengan semua kemudahan memasak, surau dan ruang makan yang luas. Kawasan lapang juga luas untuk anak-anak bermain dan lepak seisi keluarga.

Konsep khemah di sini adalah Safari Tent dan Bell Tent dengan tiga jenis penginapan berbeza untuk dua hingga enam penginap. Walaupun tandas berkongsi, namun kebersihan tandas memang terjamin.

Alamat: Unnamed Road, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang

Stellar Golden Hill

Satu lagi lokasi glamping yang sejuk dan menjadi kesukaan ramai adalah Stellar Golden Hill yang terletak di Cameron Highland. Sejuk, selesa dan tenang, itulah yang kami boleh gambarkan apabila berada di sini. Permandangannya sangat memukau kerana berada di jarak yang tinggi.

Konsep glamping di sini juga mewah dan lebih unik dimana pengunjung berpeluang tidur di dalam karavan. Pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di lima jenis khemah glamping yang berbeza seperti Hexagon Tent, Starlux dan Luxe Tent. Nampak mewah, tapi harga memang mampu milik!

Berada di sini lebih santai dan menenangkan. Pengunjung boleh menikmati keindahan sekeliling sambil menonton wayang, melihat matahari terbenam dan bermain permainan indoor. Pada sebelah malam pula, aktiviti barbeku dan campfire dapat mengeratkan lagi hubungan keluarga mahupun rakan-rakan.

Alamat: Lot 13, 9, Jalan Golden Hills, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

The Baruh Glamping

Salah satu lokasi glamping yang berada di Melaka adalah The Baruh Glamping. Jadi warga Melaka, jika anda mahu merasai suasana glamping, tempah sahaja penginapan di The Baruh Glamping.

Selain Sea Horizon Resort di Johor, The Baruh Glamping juga menawarkan port glamping yang berhadapan dengan laut iaitu Pantai Puteri. The Baruh Glamping menawarkan khemah untu pasangan berbulan madu serta yang ingin berhemah bersama keluarga.

Kelengkapan dapur dan memasak disediakan dengan cukup di dapur kongsi dan pengunjung hanya perlu membawa barang memasak sahaja. Terdapat beberapa ruangan lepak dan bonfire untuk anda bersantai bersama yang tersayang. Tak cukup dengan itu, ada juga kolam renang, tempat bermain pasir serta ruang bermain golf mini. Board games juga disediakan buat pengunjung di ruangan berbumbung.

Harga glamping serendah RM 380 untuk khemah keluarga yang memuatkan 5 orang dalam satu khemah. Sekiranya anda datang bersama anak-anak kecil, cuba tempah khemah playful yang menyediakan khemah penginapan bersama permainan khas untuk anak-anak.

Alamat: Tanjung Kling, Melaka

The Coco Journey

Satu lagi port glamping yang baru dibuka di Melaka terletak di Klebang. Suasana di sini lebih menarik dan unik. Mana tidaknya, The Coco Journey bukanlah berada di hutan, tetapi terletak di tengah-tengah ladang kelapa yang berkeluasan 23 ekar.

Konsep khemah juga memukau dengan khemah jenis kubah yang mempunyai dinding lutsinar. Eco Dome @ Coco ini menawarkan pakej serendah RM 588 untuk dua hingga empat orang. Memang berbaloi kerana lengkap dengan kemudahan bilik persis di hotel serta bilik air dan tandas persendirian yang mempunyai bath tub!

Dua lagi penginapan terdiri daripada villa unik yang mampu memuatkan hingga 20 orang dalam satu masa serta Eco Tent @ Coco, khemah glamping yang boleh memuatkan empat orang dengan serendah RM 388. Percayalah, menginap di sini meninggalkan pengalaman yang luar biasa dan menarik.

Alamat: Lot 276, Mukim, 75200 Klebang Besar, Melaka

La Hilir

Imej via La Hilir

Beralih pula ke Negeri Sembilan, La Hilir menjadi pilihan buat mereka yang ingin berkhemah jauh dari ibu kota. La Hilir dikelilingi pokok dan tumbuhan menghijau. Duduk di sini anda akan hanya mendengar suara alam seperti sungai, burung-burung dan sebagainya.

Walaupun berada jauh dari kesibukan kota, namun kelengkapan glamping disediakan dengan lengkap dan terbaik. Suasananya juga nampak mewah dan eksklusif. Berdekatan dengan lokasi glamping, terdapat satu rumah berkonsepkan ‘tiny house’ yang dihuni oleh pemilik La Hilir.

Menariknya glamping di sini adalah anda dapat menginap dengan penuh privasi tanpa pengunjung yang lain.

Khemah glamping memuatkan 8 orang penginap dilengkapi dengan tilam empuk, pendingin hawa dan lain-lain. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah mandi sungai, barbeku dan menonton wayang di ruang terbuka.

Alamat: La Hilir, Kampung Kuala Dioh, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Lalang’s Spa & Resort

Di Kelantan juga ada tempat glamping yang menarik termasuklah Lalang’s Spa & Resort. Lalang’s Spa & Resort berada di kawasan yang berbukit dan semestinya jauh dari kesibukan kota.

Selain glamping, mereka turut menyediakan chalet, tapak perkhemahan, restoran, surau, dewan dan tandas umum yang bersih dan selesa. Ada juga kolam renang yang luas, sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak bermandi-manda. Air terjun kecil juga berada berdekatan khemah glamping.

Terdapat lapan unit khemah glamping kesemuanya dan terbahagi kepada tiga jenis khemah yang terdiri daripada Arabic Tent. Pakej glamping boleh didapati serendah RM 252.

Setiap khemah dilengkapi katil, pendingin hawa, peti sejuk, televisyen dan cerek air. Bukan itu sahaja, pakej termasuk sarapan percuma, pakej barbeku dan Shabu-Shabu.

Alamat: Lalang’s Resort & Spa,  PT 6293, Sungai Keding, Kampung Gemang, 17700, Ayer Lanas, Jeli, Kelantan

Merchang Glamping Park

Di Terengganu, tempat glamping berada berhadapan pantai. Untuk ke sini, pengunjung perlu menaiki bot. Jika anda mempunyai khemah, anda boleh bawa khemah sendiri atau boleh juga menyewanya di sini. Nak lebih jimat, pilih saja pakej glamping. Pakej sangat berbaloi iaitu serendah RM 225 untuk seorang termasuk penginapan, kemudahan, makan iaitu 3 kali sehari dan aktiviti river tour.

Aktiviti river tour akan membawa pengunjung menaiki bot menyelusuri Sungai Merchang dan singgah ke beberapa perhentian seperti Bukit Pasir dan Alur Panjang yang menempatkan rumah ketam. Pengunjung juga berpeluang menangkap lokan, junggle trekking dan beberapa lagi aktiviti yang mengajar tentang asas berada di hutan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah surau, tandas dan dapur yang lengkap dengan peralatan memasak. Yang penting, kemudahan elektrik ada selama 24 jam.

Alamat: Merchang, Kampung Kolam, 21610 Marang, Terengganu

Dah jumpa tempat glamping yang berkenan? Buat tempahan segera kerana konsep percutian ini semakin rancak sehinggakan selalu penuh terutama sepanjang hujung minggu dan cuti umum mahupun cuti sekolah.

Rata-rata lokasi glamping berada dikelilingi tumbuhan yang menghijau serta berdekatan dengan sungai. Ada juga penginapan yang berada berhampiran laut.

Setiap lokasi mempunyai keunikan dan kelebihan masing-masing. Apa yang pasti, ia dapat memberi pengalaman yang mengujakan buat anda sepanjang percutian ini. Selamat bercuti wahai pecinta alam!

Tak tahu nak bercuti di mana? Jom bercuti di kawasan tumpuan di Malaysia dan kunjungi tempat-tempat berikut:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.