Jom ketahui bentuk-bentuk rezeki dari Allah SWT. Bukan sekadar wang ringgit sahaja.

 

“…Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.”

(Ali ‘Imran: 37)

Rezeki adalah pemberian yang Allah kurniakan ke atas makhluk-makhluknya dalam pelbagai bentuk dan cara. Rezeki juga sangat luas, merangkumi makanan, minuman, kesihatan, pekerjaan, masa lapang, dan pelbagai  nikmat lain dan bukanlah merujuk kepada wang ringgit semata-mata.

Antara bentuk-bentuk rezeki adalah;

#1 Rezeki Yang Telah Dijamin

Rezeki yang dijamin adalah rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT berdasarkan takdir-Nya dan qada qadar yang ditetapkan oleh Allah SWT. Rezeki ini telah ditentukan oleh Allah SWT tanpa ada sesiapa pun mampu mengubahnya dan berlaku atas kuasa Allah sahaja tanpa pengetahuan sesiapa pun.

Firman Allah SWT;

“Tidak ada satu makhluk pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin Allah rezekinya.”

(Hud : 6)

Jadi, di dunia ini setiap hamba Allah SWT telah ditetapkan rezeki masing-masing.

#2 Rezeki Kerana Usaha atau Kerja

Rezeki juga bergantung kepada sebanyak mana usaha yang kita lakukan. Lebih banyak usaha akan lebih banyak rezeki yang akan diperolehi.  Dengan itu janganlah berputus asa dengan setiap pekerjaan yang dilakukan, pasti ada rezekinya. Itulah janji Allah SWT dalam firman Allah SWT dalam surah an-Najm.

“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.”

(an-Najm : 39)

#3 Rezeki Kerana Bersyukur

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

 (Ibrahim:7)

Rezeki dengan bersyukur bermakna lebih banyak kita bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan selama ini, bermakna Allah SWT akan melebihkan rezeki berganda kelak. Dengan itu, jadilah hamba Allah yang bersyukur untuk ditambah rezeki lagi, amin.

 

#4 Rezeki Yang Tidak Disangka-Sangka

Rezeki tak disangka seperti mendapat hadiah atau buah tangan tanpa diminta dan diduga. Atau tiba-tiba mendapat tambahan gaji atau kenaikan pangkat serta sebagainya lagi. Firman Allah SWT:

“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah SWT nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

 (at-Thalaq: 2)

#5 Rezeki Kerana Istighfar

Istigfar atau ucapan ‘astagfirullah hal’adzim’ adalah kunci kepada pintu rezeki. Lalu beristigfarlah selalu, setiap hari dan minit dengan sebanyaknya supaya kita mendapat rezeki yang banyak dan melimpah ruah.

Allah SWT berfirman dalam surah Nuh:

“Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta.”

(Nuh: 10-11)

#6 Rezeki Kerana Menikah

Bagi golongan yang berkehendak untuk menikah tetapi bimbang memikirkan kehidupan selepas berkahwin, khasnya mengenai perbelanjaan serta aspek kewangan, janganlah risau kerana Allah telah menyatakan bahawa perkahwinan itu adalah rezeki dan akan membawa rezeki.  Dalam surah an-Nur, Allah berfirman;

“Dan nikahkanlah orang yang masih bujang di antara kamu dan juga orang yang layak daripada hamba sahayamu baik lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah SWT akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya.” 

(an-Nur: 32)

#7 Rezeki Kerana Anak

Ramai orang yang tak mahu anak yang ramai atau bimbang anak yang banyak akan menyusahkan atau membebankan. Sebenarnya anggapan begini adalah salah sama sekali dan perlu diubah.

Allah SWT telah menetapkan rezeki tersendiri untuk setiap anak itu bahkan kepada penjaganya. Oleh itu janganlah risau untuk memiliki anak yang ramai. Ini kerana memiliki anak yang ramai itulah orang yang kaya sebanarnya. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.”

 (al-Isra : 31)

#8 Rezeki Kerana Sedekah

Bersedekah adalah ibarat menamam padi, iaitu ditabur dengan satu benih sahaja tetapi yang tumbuh adalah berpuluh biji beras yang lain, dan apabila disemai lagi benih itu akan tumbuh lebih banyak beras.

Begitulah juga jika kita bersedekah, semakin banyak rezeki yang diperoleh asbab daripada perbuatan bersedekah. Bahkan Allah berjanji sesiapa yang bersedekah akan Allah gandakan rezekinya dengan berlipat kali ganda.

Berfirman Allah SWT dalam  surah al-Baqarah:

“Siapa yang memberi pinjaman pada jalan Allah SWT, pinjaman yang baik (infak dan sedekah) maka Allah SWT akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dalam jumlah yang besar.” 

(al- Baqarah : 245)

#9 Rezeki Kerana Keberkatan Pagi

Ada rezeki yang menanti di awal pagi. Jadi bangunlah awal pagi dan dirikan solat subuh serta solat sunat yang lain untuk meraih rezeki yang menanti untuk dikutip dalam pekerjaan seharian kita. Rasulullah SAW bersabda,

 “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau termasuk dalam kalangan orang yang lalai. Sesungguhnya Allah SWT membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.”

(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

#10 Rezeki Kerana Menjalinkan Silaturrahim

Bagi mendapatkan rezeki daripada Allah SWT, hendakalah kita sentiasa memlihara silaturahim sesama manusia. Malah janglah pula membiarkan tali silaturahim terputus agar rezeki kita juga tidak terputus.

Rasulullah SAW bersabda:

 “Barang siapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim.”

 (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penutup

Tidak Allah jadikan rezeki itu dari satu sumber sahaja, tetapi melalui banyak jalan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Rezeki ini menjukkan sayanganya Allah SWT kepada hamba-hambaNya, apatah lagi yang selalu mengingati-Nya.

Dengan itu wajiblah kita menjaga hubungan dengan Allah agar rezeki dari-Nya sentiasa berpanjangan, amin.

 “…Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).”

(al-Baqarah: 212)

 

Jemput baca artikel kami yang lebih menarik  Rezeki Berkat dan  Punca Hilang Keberkatan Rezeki

 

 

Rujukan:

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.