Jom kita kenali anak-anak rasulullah, nabi kesayangan kita!

Rasulullah SAW dikurniakan tujuh orang anak yang terdiri daripada tiga anak perempuan dan empat orang anak lelaki. Enam orang daripada mereka lahir dari perkahwinan Rasulullah dengan isteri pertamanya iaitu Khadijah binti Khuwailid.

Kasih dan cinta Baginda terhadap isteri kesayangannya semakin bertambah melalui satu sabdanya:

“Ia telah beriman kepadaku tatkala orang-orang kafir kepadaku, ia telah membenarkan aku tatkala orang-orang mendustakan aku, ia telah membantuku dengan hartanya tatkala orang-orang menahan hartanya tidak membantuku, dan Allah telah menganugerahkan darinya anak-anak tatkala Allah tidak menganugerahkan kepadaku anak-anak dari wanita-wanita yang lain.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Al-Qasim bin Muhammad

Anak sulung Rasulullah ini diberikan nama Al-Qasim dan dilahirkan di Mekah. Qasim meninggal dunia pada usia yang sangat muda iaitu dua tahun dan masih belum putus menyusu badan mahupun pandai berjalan.

Terdapat pendapat yang mengatakan Qasim lahir setelah ayahnya diangkat menjadi pesuruh Allah sedangkan pendapat kedua pula, Qasim dilahirkan sebelum Rasulullah menjadi rasul.

Abdullah bin Muhammad

Abdullah mendapat panggilan ‘Thayyib’ dan ‘Thahir’ yang membawa maksud kemuliaan dan kesucian kerana dilahirkan ketika kenabian baginda Rasulullah SAW. Seperti abang sulungnya, Abdullah juga diriwayatkan meninggal ketika usia kanak-kanak di kota Mekah iaitu pada 615 M.

Zainab binti Muhammad

Zainab binti Muhammad merupakan puteri sulung Rasulullah dan dilahirkan kira-kira 30 tahun selepas kelahiran Rasulullah. Menginjak usia dewasa, Zainab membesar menjadi seorang muslimah yang sangat mulia peribadinya dan menarik minat sepupunya sendiri iaitu Abu al-Ash bin Ar-Rabi’ untuk menjadikannya sebagai isteri.

Ketika Rasulullah diangkat menjadi pesuruh Allah, Zainab dengan sangat teruja mengajak suamianya untuk turut memeluk agama yang dibawa ayahnya sendiri namun ditolak dengan sekerasnya. Zainab berasa sangat sedih apabila ayahnya dan umat Islam yang lain sudah berhijrah ke Madinah sedangkan dia masih berada di Mekah bersama suaminya.

Ketika berlakunya perang Badar, suami Zainab yang merupakan tentera Quraisy Mekah ditawan tentera Islam. Zainab cuba menebus suaminya dengan memberikan kalung permberian ibunya sebagai ganti. Baginda menjadi sangat sedih dan membebaskan Abu al-Ash tanpa sebarang tebusan tetapi dengan syarat, Zainab perlu diceraikan.

Abu Al Ash akhirnya memeluk Islam setelah peristiwa barang dagangannya dirampas oleh tentera Islam. Ketika itu, Abu Al Ash datang ke Madinah dan meminta perlindungan dari bekas isterinya. Rasulullah menyatukan semula Zainab dan Abu Al-Ash dan mereka hidup dengan penuh bahagia.

Zainab wafat pada tahun ke-8 H dan meninggalkan dua orang anak bernama Umamah dan Ali.

Ruqayyah binti Muhammad

Ruqayyah merupakan puteri kedua Rasulullah dan dilahirkan pada tahun ke-33 setelah lahirnya Rasulullah. Puteri kedua Rasulullah ini dinikahkan dengan salah seorang sahabat baginda iaitu Uthman bin Affan dan dikurniakan seorang putera bernama Abdullah.

Sebelum itu, Ruqayyah pernah bernikah dengan Utbah bin Abu Lahab teapi perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian akibat perbezaan pegangan agama. 

Seperti kakaknya Zainab, Ruqayyah sentiasa menyokong perjuangan bapanya di jalan Allah dan tergolong dalam kalangan mereka yang paling awal berhijrah ke Madinah.

Ruqayyah mengalami episod yang mendukacitakan apabila satu-satunya anaknya meninggal dunia sehingga Ruqayyah dikatakan jatuh sakit. Ketika itu, Rasulullah sedang mempersiapkan tentera Islam untuk Perang Badar.

Sebaik sahaja tentera islam mengecapi kemenangan, Ruqayyah kembali pada penciptanya pada usia 22 tahun.

Ummu Kalthum binti Muhammad

Ummu Kalthum dilahirkan ketika tahun 34 setelah kelahiran Rasulullah sekaligus menjadikannya puteri ketiga dalam adik beradiknya. Jarak umur Ummu Kalthum dengan kakaknya Ruqayyah yang dekat menjadikan kedua-dua puteri ini sangat rapat sehinggakan begitu banyak persamaan.

Kedua-duanya mengahwini lelaki dari anak Abu Lahab. Seperti kakaknya, perkahwinan tersebut tidak bertahan lama disebabkan perbezaan akidah.

Setelah kewafatan Ruqayyah, Rasulullah menyuruh Uthman bin Affan mengahwini Ummu Kalthum pula. Uthman turut dikenali sebagai Zun Nurain yang membawa maksud pemilik dua cahaya kerana mengahwini dua puteri Rasulullah.

Ummu Kalthum diriwayatkan meninggal pada tahun ke-9 hijrah pada bulan Ramadan.

Fatimah binti Muhammad

Fatimah merupakan puteri bongsu kesayangan Rasulullah yang sentiasa menemani ayahnya walaupun ketika baginda wafat. Fatimah digelar dengan panggilan ‘Az-Zahra’ kerana parasnya yang cantik.

Fatimah juga sangat indah akhlaknya dan  dikenali sebagai serikandi yang sangat berani sehingga dinobatkan sebagai ketua bidadari di syurga kelak.

Rasulullah mengahwinkan Fatimah dengan Ali bin Abi talib yang juga merupakan sepupu baginda. Selama perjuangan Rasulullah menyebarkan dakwah, Fatimah tidak pernah meninggalkan bapa kesayangannya.

Fatimah amat berdukacita setelah kewafatan Rasulullah sehingga jatuh sakit sebelum menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira enam bulan setelah Rasulullah dijemput Ilahi.

Ibrahim bin Muhammad

Ibrahim bin Muhammad merupakan satu-satunya putera Rasulullah yang lahir dari Mariah al-Qibtiyah. Putera bongsu Rasulullah ini turut meninggal ketika masih bayi, kira-kira setahun setengah umurnya iaitu pada tahun ke-10 H.

Rasulullah bersabda:

“Sungguhnya bagi Ibrahim ibu yang menyusukannya di dalam syurga.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Penutup: Mengenali Anak-Anak Rasulullah Adalah Tanda Sayang Pada Baginda

Rasulullah SAW adalah teladan seorang bapa yang terbaik. Baginda juga telah menunjukkan cara terbaik dalam mendidik anak-anak seperti dituntut Islam. Bahkan anak-anak Baginda juga sangat sesuai dijadikan suri teladan dalam menjadikan diri sebagai muslim yang dekat dengan Allah.

Dengan mengenali dan menyayangi anak-anak Baginda, itulah sebahagian bukti bahawa kita sangat sayang dengan Rasulullah SAW dan keluarganya.

Bacaan lain:

Rujukan:

  1. TZKRH.com
  2. Theasianparent.com
  3. Iium.edu.m

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.