Ketahui tanda-tanda kanser usus ini. Kanser usus ialah sejenis penyakit yang menyerang usus besar iaitu sama ada kolon, rektum dan dubur. Kanser ini merupakan kanser kedua tertinggi dalam kalangan kaum lelaki di negara kita dan ketiga bagi wanita.
Kaum Cina mencatatkan bilangan paling tinggi bagi kanser kolon dan rektum. Malahan, kanser kolon dan rektum merupakan salah satu daripada kanser yang paling kerap berlaku di dunia.
Usus besar bermula dari bahagian kanan yang dinamakan caecum sehingga ke rektum. Fungsi usus besar adalah untuk menyerap air supaya najis yang terhasil tidak berair. Penyakit ini bermula apabila sel lapisan kolon yang normal menjadi terbantut.
Pembahagian sel yang salah berlaku dengan kerap. Ini mengakibatkan sel-sel ini mula membahagi secara bebas. Apabila sel-sel yang tidak normal ini membesar, ia akan menyebabkan terbentuknya pertumbuhan dalam kolon yang dipanggil polip.
Kanser usus boleh tumbuh di satu tempat dan merebak di sekeliling dinding usus. Ia juga boleh menyerang organ yang terdekat menjadi ketumbuhan. Ketumbuhan ini akan mendatang lebih banyak masalah dan lebih sukar dibuang. Apabila kanser semakin membesar, ia akan memulakan proses metastasis. Proses ini akan menyebarkan ribuan sel setiap hari ke dalam sistem darah dan limfa yang menyebabkan kanser terbentuk di bahagian yang lain.
Terdapat beberapa gejala kanser usus yang ramai orang tidar sedar dan tidak tahu. Berikut merupakan tanda-tanda kanser usus yang perlu diberi perhatian:
#1 Najis berdarah
Ini merupakan tanda-tanda awal kanser usus telah menyerang. Apabila membuang air besar, darah akan keluar bersama-sama dengan najis. Kadangkala najis berwarna hitam seperti kopi.
#2 Cirit-birit
Ia merupakan gejala barah usus di bahagian kiri.
#3 Perubahan tabiat membuang air besar
Setiap orang mempunyai tabiat membuang air besar yang berbeza. Jika sebelum ini, anda akan buang air besar sebanyak 2 kali sehari, kini tabiat itu berubah. Jika anda ke tandas berkurangan menjadi 3 atau empat hari sekali, anda perlu membuat pemeriksaan. Gejalanya seperti sembelit.
#4 Tidak berak, kentut atau muntah
Gejala ini akan berlaku apabila usus sudah tersumbat 100 peratus.
#5 Sembelit diselangi dengan cirit-birit
Barah usus yang hampir tersumbat akan menyebabkan najis menjadi keras dan tidak dapat melalui usus besar. Pada ketika ini, pesakit akan mengalami sembelit. Najis yang tersumbat ini akan membusuk di dalam usus akibat pembiakan bakteria. Ini menyebabkan air kembali diserap ke dalam usus.
Najis tersebut akan menjadi berair dan lembik. Pada ketika ini pula, pesakit akan mengalami cirit-birit. Cirit-birit yang dialami adalah lebih daripada 5 kali sehingga pesakit tidak dapat mengawalnya. Kitaran sembelit dan cirit-birit akan terus berulang.
#6 Berat badan menurun
Pesakit akan hilang selera makan yang menyebabkan berat badan turun mendadak. Dalam tempoh masa yang singkat, badan pesakit susut dengan ketara.
#7 Rasa kenyang walau tidak makan
Pesakit akan berasa kenyang di dalam perut, walaupun tidak makan. Ini mengakibatkan mereka tidak lalu untuk makan.
#8 Najis tidak lawas
Pesakit akan berasa seperti tidak puas membuang air besar walaupun sudah ke tandas.
#9 Tabiat ke tandas, tetapi tiada najis
Pesakit berasa perut memulas-mulas untuk membuang air besar, tetapi apabila ke tandas, tiada najis yang keluar. Ini disebabkan bukan najis yang berada di rektum tetapi sel-sel kanser yang memenuhi ruang rektum.
Apabila ketumbuhan memenuhi rektum, otak menyampaikan mesej bahawa rektum sudah dipenuhi najis.
#10 Sakit perut
Gejala ini janganlah diambil mudah. Sakit pada bahagian perut bergantung kepada kedudukan kanser usus yang berlaku.
#11 Berlakunya benjolan
Ada pesakit yang mengalami benjolan di bahagian perut atau bahagian belakang yang dapat dikesan oleh doktor.
#12 Kekurangan zat besi
Berlakunya kekurangan zat besi yang tidak dapat dijelaskan kepada kaum lelaki atau wanita (selepas menopaus).
Sebenarnya, sehingga kini tiada teori yang tepat untuk mengesahkan punca-punca kanser usus. Namun begitu, terdapat beberapa faktor risiko iaitu:
#1 Umur
Lebih 90 peratus pesakit kanser usus di Malaysia berusia lebih 40 tahun.
#2 Polip
Kanser usus biasanya berasal daripada polip prakanser yang wujud dalam usus besar. Polip jenis adenoma boleh menjadi kanser. Ia menyerupai lapisan usus yang normal, namun kelihatan berbeza di bawah mikroskop.
Manakala polip hiperplastik jarang membesar menjadi kanser dan biasanya tidak berbahaya. Namun begitu, polip-polip ini boleh menjadi kanser usus dari semasa ke semasa jika tidak dibuang semasa peringkat awal rawatan.
#3 Penyakit radang usus
Penyakit ulcerative colitis (luka dan radang usus) dan Crohn’s disease (radang pada usus, usus menebal dan luka) membentuk keradangan yang berpanjangan.
#4 Sejarah penyakit kanser
Wanita yang pernah mengalami kanser ovari, rahim atau payudara mempunyai risiko untuk mendapat kanser usus.
#5 Sejarah keluarga mengalami kanser
Jika ada ahli keluarga yang mendapat kanser usus sebelum usia 60 tahun. Kecenderungan genetik boleh diwarisi daripada ahli keluarga. Namun begitu, kebanyakan kanser usus berlaku pada individu tanpa sejarah kanser dalam keluarga.
#6 Amalan pemakanan
Disebabkan usus adalah sebahagian daripada sistem pencernaan, maka diet yang sihat dan baik sangat penting. Makanan yang rendah serat dan tinggi lemak, daging merah, alkohol dan daging yang diproses menjadi sebab penyakit ini boleh berlaku.
#7 Amalan merokok
Kajian mendapati bahawa individu yang merokok lebih ramai meninggal akibat kanser usus berbanding individu yang tidak merokok.
#8 Berat badan berlebihan
Individu yang tidak aktif dan mengalami masalah berat badan berisiko mendapat kanser usus.
Oleh itu, jika ada gejala-gejala dan tanda kanser usus yang dinyatakan di atas, segeralah mendapatkan rawatan. Kanser usus masih boleh dirawat pada peringkat awal di mana polip yang aktif akan dibuang. Malahan, pesakit kanser usus mempunyai peluang untuk pulih walaupun berada pada tahap ke-4.
Moga bermanfaat. Jemput juga baca artikel kanser paru-paru, kanser mata dan tanda kanser otak