Menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina sekitar bulan Januari atau Februari, limau mandarin paling popular sekali. Tak kira bangsa dan agama, semua orang tak sabar-sabar nak makan limau mandarin.

Yang seronoknya, pemberian limau mandarin kepada bangsa lain seolah-olah menjadi tradisi masyarakat Cina di Malaysia. Rasanya yang manis dan wangi sering buat kita tertunggu-tunggu kemunculannya yang hanya setahun sekali itu di pasar raya.

Manfaat Limau Mandarin

Seperti juga buah sitrus yang lain seperti oren sunkist, limau bali, lemon, limau gedang, limau valencia dan sebagainya, limau mandarin juga kaya dengan vitamin C. Nak tahu apa khasiatnya? Jom sama-sama tambah ilmu.

Sumber Asid Folik

Dikatakan bahawa sebiji limau mandarin dapat memenuhi 20 peratus daripada keperluan asid folik setiap hari. Asid folik ialah sejenis vitamin B yang penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan. Ibu hamil dan wanita yang merancang untuk hamil amat digalakkan untuk mengambilnya.

Antikanser

Vitamin C yang banyak di dalam limau mandarin mampu melindungi tubuh kita daripada serangan kanser. Kajian mendapati pengambilan vitamin C yang tinggi daripada buah-buahan dan sayuran segar boleh mengurangkan risiko kanser. Namun, vitamin C daripada suplemen kesihatan tak memberikan manfaat ni.

Kuatkan Gigi dan Tulang

Kandungan kalsium yang tinggi seperti di dalam susu sangat berkesan untuk meningkatkan ketahanan badan. Ia bagus untuk menguatkan gigi dan mengelak osteoporosis atau tulang rapuh.

Mencantikkan Kulit

Vitamin C di dalam buah ni menggalakkan penghasilan kolagen kulit. Disebabkan itulah ramai wanita yang membuat rawatan suntikan vitamin C di pusat kecantikan. Malahan, vitamin C berfungsi sebagai peneutral atau pembuang pengoksidaan akibat pencemaran dan sinaran UV.

Mencegah Penyakit Anemia

Akibat daripada kekurangan zat besi, penyakit anemia mudah menyerang. Penyakit ini berpunca disebabkan kurangnya sel darah merah yang menghalang keupayaannya membawa oksigen. Penyakit ini boleh dicegah dengan membanyakkan makan zat besi seperti bayam dan buah oren.

Menyembuhkan Masalah Sembelit

Kandungan pektin di dalamnya sangat baik untuk mereka yang menghadapi masalah sukar buang air besar atau sembelit. Serat yang tinggi melancarkan perjalanan usus. Bagi yang ada masalah ni, cuba makan sebiji buah limau mandarin setiap hari. Jangan lupa makan banyak sayuran dan minum air yang mencukupi.

Kurangkan Berat Badan

Kandungan pektin yang tinggi dan iaitu serat yang larut dalam air berkesan untuk menahan rasa lapar. Jika anda bercadang untuk menurunkan berat badan, boleh makan limau mandarin atau jenis limau yang lain dalam diet harian.

Mengurangkan Selsema dan Kahak

Buah limau mandarin dikatakan mempunyai manfaat meningkatkan air liur. Oleh itu, ia mampu melembapkan mulut dan tekak, melegakan paru-paru dan mengurangkan kerengsaan di tekak.

Oleh itu, jika anda menghidap selsema dan batuk, dengan memakan buah limau mandarin dengan cara yang betul, ia dapat melegakan kesakitan.

Manfaat Kesihatan Umum

Ia juga bagus untuk kesihatan jantung, mengawal tekanan darah, penglihatan dan mengelak strok. Malahan, buah limau mandarin juga dapat menyembuhkan luka-luka kecil di badan.

Kenapa Makan Limau Mandarin Mudah Sakit Tekak?

Walaupun mempunyai khasiat yang tinggi, limau mandarin yang diimport dari negara China tidak boleh dimakan begitu saja. Perasan tak setiap kali makan limau mandarin, tekak akan mula gatal-gatal, sakit tekak hilang suara dan batuk.

Kandungan vitamin C yang tinggi di dalam limau mandarin sepatutnya dapat menghalang kita terkena selsema dan sakit tekak. Namun lain pula jadinya. Apakah punca masalah ni?

Keterujaan nak makan limau mandarin yang hanya ada pada musim perayaan terbantut. Sudahnya, ramai yang pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Sebenarnya, limau mandarin tak bersalah. Yang salahnya, cara kita makan.

Sebenarnya ada bahan kimia yang menyaluti kulit luaran limau mandarin. Pengusaha buah-buahan biasanya akan menggunakan sulfur dioksida untuk merendam limau mandarin sebelum diimport ke negara luar.

Mereka akan merendam buah-buah ini terlebih dahulu ke dalam cecair bahan kimia itu sebelum dimasukkan ke dalam plastik dan kotak.

Tujuan sulfur dioksida ialah untuk melindungi limau-limau mandarin daripada dimakan serangga dan dijangkiti bakteria atau kulat. Ia juga bertindak sebagai bahan pengawet untuk memanjangkan jangka hayat limau mandarin sebelum dipasarkan.

Penggunaan sulfur dioksida memberi kesan kepada manusia. Ia boleh menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan, sakit tekak yang kronik, demam dan gejala batuk kering yang berpanjangan.

Malahan, bagi kes yang lebih serius penggunaan bahan kimia sebagai bahan pengawet ini boleh menyebabkan sakit perut dan serangan penyakit asma. Malahan, ada orang yang mengalami keradangan usus dan kulit. Menakutkan bukan? Jangan salah faham, limau mandarin tetap selamat dimakan.

Tips Elak Batuk

Ramai yang menyangka gas yang dikeluarkan oleh kulit limau semasa kita mengupasnya merupakan punca utama sakit tekak dan batuk. Oleh itu, mereka tetap tidak takut untuk menjamahnya.

Semasa mengupas kulit limau mandarin, mereka akan menjauhkan gas tersebut daripada terkena mata dan hidung. Seperti yang diterangkan di atas, bukan itu puncanya.

Berikut ialah tips untuk mengelakkan batuk apabila memakan limau mandarin yang dikongsikan oleh Dr Rosli Abdul Jalil dalam Majalah Mingguan Wanita. Sebelum makan limau mandarin, ikuti langkah-langkah ni:

a. Basuh atau rendam dahulu limau mandarin sebelum dimakan. Jangan terus ngap sebaik-baik dikeluarkan daripada plastik dan kotak.

b. Jika tersentuh kulit limau mandarin yang belum dibasuh, pastikan anda tak menyentuh isi limau tersebut. Jika ya, segeralah basuh tangan dan isi limau sebelum memakannya.

c. Sekiranya ada alahan kulit akibat bahan kimia, gunakan sarung tangan plastik ketika mengupas limau mandarin. Boleh juga minta orang lain tolong kupaskan untuk anda!

Malahan, jika anda mempunyai penyakit asma yang kronik, elakkan makan limau mandarin. Begitu juga bagi individu yang mempunyai alahan pada sulfur dioksida, sebaik-baiknya elakkan menjamah limau ni. Dikhuatiri ia akan membawa kesan yang lebih teruk dan boleh menyebabkan kematian.

Diharapkan dengan penulisan artikel ni, anda tak fobia nak makan limau mandarin lagi. Yang penting jaga kebersihan dan pastikan limau mandarin telah dibasuh sebelum dimakan. Rasanya yang masam-masam manis dan wangi pasti akan dirindui.

Jangan lupa makan berpada-pada ya! Bagi yang ada masalah kesihatan, cukuplah makan seulas dua untuk merasa saja. Diharapkan pembaca Bidadari.my mendapat manfaat daripada artikel khasiat limau mandarin ini.

Jemput juga abca artikel tentang khasiat serai dan khasiat limau purut

Rujukan

  • Doktor Ini Terang Cara Betul Makan Limau Mandarin Nanti Taklah Batuk Atau Sakit Tekak. https://www.mingguanwanita.my/doktor-ini-terang-cara-betul-makan-limau-mandarin-nanti-taklah-batuk-atau-sakit-tekak/  (link)
  • Khasiat Buah Limau Mandarin. http://mobile.malay.china.com/3542/20160728/718313.html (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.