Sakit Pinggang Semasa Mengandung : Ketahui Punca Dan Cara Atasinya
Sakit pinggang ketika hamil boleh berlaku pada mana-mana wanita yang sedang mengandung sejak kandungan masih di peringkat awal lagi. Dalam erti kata lain,…

Ringkasan Ringkas
- Punca utama sakit pinggang semasa hamil ialah penambahan berat badan, perubahan pusat graviti, dan peningkatan hormon yang melembutkan sendi.
- Ibu mengandung disaran melakukan senaman ringan seperti berjalan, berenang, dan yoga, serta mengelakkan sukan berisiko atau melompat.
- Elakkan memakai kasut bertumit tinggi dan duduk berdiri terlalu lama; amalkan regangan setiap 30 minit untuk melancarkan peredaran darah.
- Kaedah lain melegakan sakit termasuk urutan lembut oleh suami, mandi dengan air sederhana panas, dan gunakan bantal atau tali sokongan perut.
- Pastikan rehat yang cukup, amalkan makanan kaya kalsium dan magnesium, elakkan mengangkat benda berat dan perjalanan jauh yang memeningkatkan sakit.
- Walaupun sakit pinggang semasa hamil biasa berlaku, ibu disaran berjumpa doktor jika sakit mengganggu aktiviti harian dan emosi untuk mendapatkan rawatan.
Sakit pinggang ketika hamil boleh berlaku pada mana-mana wanita yang sedang mengandung sejak kandungan masih di peringkat awal lagi. Dalam erti kata lain, sakit pinggang ketika mengandung adalah satu perkara biasa yang boleh berlaku pada mana-mana bakal ibu. Ada juga di kalangan ibu mengandung ini akan mengalami rasa sakit di bahagian punggung yang juga dikenali sebagai ‘tulang ekor’.

image via : Siakap Keli
Makin besar usia kandungan maka akan bertambahlah sakit pinggang ini. Walaubagaimanapun, para bakal ibu tidak perlu panik kerana ini adalah perkara biasa yang bisa terjadi pada sesiapa saja.
Apakah Punca / Penyebab Kepada Masalah Sakit Pinggang Semasa Mengandung Ini?
Menurut kajian dan pendapat pakar perubatan berdasarkan bahan bacaan yang banyak terdapat di internet (Google), terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan sakit pinggang semasa hamil ini berlaku. Antara tips untuk atasi masalah sakit belakang dan pinggul ketika hamil ini adalah seperti :
#1 - Berat Badan Si Ibu Yang Semakin Bertambah
Penambahan berat si ibu semasa sedang mengandung akan menyebabkan bentuk tubuh akan mula berubah. Berat badan yang semakin meningkat sesuai dengan usia kehamilan adalah antara punca sakit belakang paling utama.
Ini kerana apabila berat badan bertambah maka beban tersebut akan bertambah pada otot-otot pinggang dan tulang belakang. Sekaligus ia akan menyebabkan otot pada bahagian pinggang dan tulang belakang ini mula berasa sakit tekanan yang sedang berlaku pada bahagian ini.

image via : Fit To Be Pragnent
#2 - Pusat Graviti Yang Telah Berubah
Semakin besar rahim (baby) dan perut si ibu, maka pusat graviti juga akan turut berubah ke hadapan. Apabila keadaan ini berlaku maka ia akan menyebabkan tubuh si ibu yang sedang mengandung ini akan lebih cenderung ke hadapan.
Maka apabila di lihat dengan mata kasar keadaan ini akan menyebabkan postur tubuh si ibu akan mula berubah dengan lebih cenderung untuk tunduk dan membongkong dengan sendirinya tanpa disedari.
#3 - Peningkatan hormon
Selain daripada dua perkara di atas, ada juga di antara ibu yang sedang hamil ini akan berasa sakit pinggang dan tulang belakang akibat oleh peningkatan hormon di dalam tubuhnya. Ini sering berlaku sejak kandungan berada di awal kehamilan lagi. Selalunya peningkatan hormon ini akan menyebabkan berat badan si ibu akan meningkat naik dengan mendadak.
Ada juga dikalangan ibu hamil ini yang menyifatkan bahawa peningkatan hormon itu sendiri adalah punca sakit belakang semasa hamil. Hormon yang dilepaskan ini sebenarnya adalah untuk mempersiapkan tubuh si ibu untuk melalui proses kehamilan tersebut. Dalam masa yang sama ia ia mungkin akan menyebabkan berlakunya sendi yang melembut dan ligamen yang mengendur hingga mempengaruhi beban kerja tulang belakang.
Apakah Tips / Cara Untuk Melegakan Sakit Pinggang Semasa Mengandung Ini?
Di sini akan turut dikongsikan beberapa tips bagaimana untuk melegakan sakit pinggang semasa mengandung. Kebanyakan daripada tips ini memang telah sering digunakan oleh ibu-ibu yang sedang hamil dan semoga ianya akan dapat membantu anda juga.

image via : Romper
Antara kaedah untuk melegakan sakit pinggang semasa mengandung ini adalah :
#1 - Lakukan Senaman
Untuk ibu yang sedang hamil ini, terdapat beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan seperti yoga, senaman kegel dan juga senaman perut. Ibu yang sedang hamil ini juga boleh bersenam untuk membantu mengurangkan tekanan dan memberi kelegaan pada bahagian sakit pinggang dan belakang.
Terdapat beberapa jenis senaman yang sangat sesuai bagi wanita hamil seperti:
- Jogging
- Aerobik
- Berbasikal menggunakan alat senaman
- Berjalan
- Berenang
Antara senaman yang harus dielakkan pula adalah:
- Aktiviti yang memerlukan wanita hamil untuk melompat seperti lompat tali
- Sukan seperti bola sepak,bola jaring, bola tampar dan sebagainya
- Aktiviti yang berisiko untuk jatuh seperti menunggang kuda
- Tahan nafas semasa melakukan sebarang aktiviti
- Bersenam dibawah panas terik
- Aktiviti yang boleh mengakibatkan trauma pada bahagian abdomen
#2 - Pakai Kasut Yang Bertumit Rata
Ibu yang sedang hamil adalah tidak digalakkan untuk memakai kasut bertumit tinggi. Ianya bukan kerana boleh membawa bahaya tergelincir dan sebagainya namun ia akan turut memberi rasa kurang selesa dan juga kurang sokongan pada tubuh ketika sedang melangkah.
Kasut rendah bertumit rata adalah lebih cocok untuk membantu ibu bergerak dan dalam masa yang sama dapat juga kurangkan rasa sakit pada pinggang dan tulang belakang itu.
#3 - Minta Suami Lakukan Urutan
Mengurut juga boleh membantu mengurangkan rasa sakit pinggang semasa mengandung ni cuma pastikan urutan tu tidak terlalu kuat. Lebih afdal jika suami sendiri dapat mengurut si isteri yang sedang berbadan dua ini. Barulah pasangan menjadi semakin erat dan bahagia.
Tidak perlu pakar mengurut melainkan urut secara perlahan-lahan dan gunakan juga minyak aromaterapi untuk kesan yang lebih baik.
#4 - Selalu Lakukan Regangan Pada Tubuh
Elakkan daripada duduk atau berdiri terlalu lama dalam satu-satu masa. Setiap 30 minit atau 1 jam, lakukan senaman regangan yang mudah untuk melancarkan peredaran darah. Perhatikan postur dan jangan duduk membongkok. Cuba duduk di atas kusyen lembut dan tambahkan sokongan seperti bantal atau kain lembut jika perlu.
#5 - Gunakan Bantal Lebih Sebagai Bantuan Semasa Tidur
Bukan mudah mendapatkan posisi tidur yang selesa sepanjang kehamilan, lebih-lebih lagi apabila saiz kandungan semakin membesar. Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh menyusunkan bantal-bantal lembut mengikut keselesaan anda seperti pada kaki atau sisi. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan pregnancy pillow yang direka khas bagi mendapatkan posisi tidur yang optimum. Memang empuk dan sangat selesa!

image via : My Pillow Reviews
#6 - Mandi Dengan Air Panas Untuk Lebih Selesa
Sungguhpun mandian air panas seperti sauna atau bath tub tidak digalakkan, pancuran air yang sederhana panas atau shower sangat membantu untuk memberi kelegaan. Oleh itu, sekiranya sakit pinggang semasa hamil bertambah kerap dan sakit, cubalah melegakannya dengan cara ini.
#7 - Gunakan Tali Pinggang Sokongan Pada Bahagian Perut
Beli dan guna tali pinggang sokongan khas untuk ibu mengandung. Tali pinggang ini dapat menampung berat bayi dan mengurangkan rasa sakit belakang. Ramai ibu mengandung terutama dari luar negara menggunakan tali pinggang ini dan rata-rata berpendapat ianya benar dapat bantu kurangkan rasa sakit pinggang semasa mengandung tersebut.
#8 - Dapatkan Rehat Yang Cukup
Akhir sekali, cuba dapatkan rehat yang cukup dan elakkan stres yang melampau. Amalkan juga pemakanan yang seimbang dan lebihkan pengambilan makanan daripada sumber kalsium dan magnesium seperti sayuran berdaun hijau.
#9 - Jangan Mengangkat Benda Berat
Ibu yang sedang hamil tidak boleh terlalu lasak dengan mengangkat benda yang berat. Ini kerana dikhuatiri masalah sakit pinggang tersebut akan semakin parah. Ini juga membawa risiko mengalami masalah slip disc.
#10 - Elakkan Diri Dari Mengikuti Perjalanan Yang Jauh
Sakit pinggang boleh menjadi semakin teruk jika si ibu hanya duduk saja dalam masa yang sangat lama. Lebih-lebih lagi jika duduk di dalam kereta untuk satu perjalanan yang jauh. Jika benar perlu lakukan perjalanan tersebut ada baiknya duduk di tempat duduk belakang yang lebih luas dan selesa. Baring bila perlu dan jangan hanya duduk saja selama berjam-jam.
Perlukah Berjumpa Dengan Doktor Untuk Maklumkan Tentang Sakit Pinggang Semasa Mengandung Ini?
Sakit pinggang semasa hamil ini mungkin nampak biasa saja di mata orang lain namun hakikatnya ia benar-benar boleh memberi rasa sakit yang agak memeritkan. Sakit pinggang ini bukan saja boleh mengganggu aktiviti harian malah boleh juga mengganggu emosi.
Para suami perlu sentiasa peka untuk sebarang kesakitan yang di adu oleh isteri dan jika di tanya apakah perlu berjumpa dengan doktor? Jawapannya adalah YA! Berjumpalah doktor dan beritahulah masalah ini supaya doktor dapat beri nasihat dan bekalkan ubat jika perlu.