Apakah hukum bagi suami like gambar perempuan lain di media sosial?

Hidup dalam dunia yang serba moden ini kita tentunya tidak akan lari dari penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya. Sama ada atas tujuan peribadi mahupun perniagaan.

Namun sudah pastinya setiap kemudahan ini memberi cabaran kepada diri sendiri khususnya dari segi menjaga batas pergaulan dan melawan nafsu diri dari mengikuti trend terkini di media sosial.

Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum bagi suami like gambar perempuan dan tips upload gambar di media sosial yang tepat dari sudut agama.

Batas pergaulan selepas berkahwin

Perintah menjaga batas pergaulan dalam Islam adalah kepada kedua-dua lelaki dan perempuan.

Riwayat Saidina Abdullah bin Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda

“Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 1341)

Hikmah daripada larangan ini adalah supaya perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina atau muqaddimah zina (permulaan) dapat dielakkan.

Perbuatan khalwat (berdua-duaan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka.

Begitulah juga dengan halnya untuk menjaga pergaulan di tempat kerja. Hubungan pergaulan di tempat kerja yang tidak terkawal di antara lelaki dan wanita berupaya menimbulkan fitnah yang mengundang kepada zina.

Tidak kira samada seseorang itu sudah berkahwin atau bujang, batasan pergaulan hendaklah dijaga. Hati manusia boleh berubah untuk cenderung melakukan maksiat.

Bahkan Rasulullah SAW sering mengingatkan para sahabat agar menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita sehingga Baginda pernah mengkhususkan satu pintu untuk wanita sahaja.

Sabda Rasulullah SAW:

“Alangkah baiknya sekiranya kita biarkan pintu ini dikhususkan untuk wanita sahaja (bagi mengelakkan bersesak antara lelaki dan perempuan.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)

Hukum suami like gambar perempuan

Hukum suami like gambar perempuan lain di media sosial adalah berdosa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan atas dasar kecantikannya.

Bahkan hukum bagi lelaki yang like gambar wanita yang tidak menutup aurat juga berdosa.

Namun sekiranya suami like atas dasar suka dengan isi kandungan video misalnya seperti berkongsi resepi masakan atau sesuatu yang bermanfaat dan berilmu, maka ia tidak berdosa.

Sungguhpun begitu bagi langkah berhati-hati adalah lebih baik agar para suami khususnya tidak melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah.

Sebaik-baiknya tidak perlu like gambar wanita lain bagi mengelak keburukan yang lebih besar.

Sebagai suami cuba kita renung kembali dan letakkan posisi kita itu di tempat isteri. Bagaimana pula tindakan kita sekiranya isteri yang lakukan perkara yang sama dengan like gambar lelaki lain atas tujuan yang tidak jelas.

Sudah tentu rasa cemburu yang sama turut berlaku. Justeru sebaiknya tidak usahlah like kerana ini akan menyebabkan sesama pasangan bersangka buruk dan syak wasangka.

Dari Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib cucu Rasullulah SAW dan kesayangannya radiyallahu ‘anhuma katanya:

“Aku telah menghafaz dari Rasulullah SAW (sabdanya iaitu): Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragu-kan engkau. (Hadis Riwayat Tirmizi & Nasaai)

Hukum memuat naik gambar tak menutup aurat

Asal kepada hukum memuat naik gambar sendiri yang mendedahkan aurat di media sosial adalah haram.

Hal ini jelas kerana gambar tidak menutup aurat tersebut boleh dilihat oleh bukan mahramnya.

Namun begitu, hukum seseorang memuat naik gambar wanita muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau wanita non-Muslim adalah harus. Jika atas keperluan tertentu yang bukan bertujuan ingin mendedahkan auratnya. Contoh ketika pelaporan akhbar, gambar-gambar rasmi, dan sebagainya.

Dalam hal ini, anda juga perlu pastikan gambar tersebut bersifat sopan, beradab, serta tidak terlalu terdedah dan menghairahkan. Bagi bahagian-bahagian anggota yang terdedah, adalah lebih baik dikaburkan untuk elak dari dilihat orang lain.

Tips upload gambar di media sosial dalam Islam

YouTube video

Selain dari hukum suami like gambar perempuan ini, anda juga boleh baca artikel kami yang lain mengenai persoalan agama yang lain seperti:

Sumber:

  1. Hukum Suami Like Gambar Perempuan Lain. Ustaz Azhar Idrus
  2. Irsyad Al-Fatwa #227: Hukum Memuat Naik Gambar Tidak Menutup Aurat di Media Sosial. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Batas-batas Pergaulan Antara Lelaki dannPerempuan Dalam Masyarakat Islam Kini: Satu Huraian Hukum Islam Semasa. Dr. Anisah Ab Ghani

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.