“Hendaklah kamu berqiamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Qiamullail adalah amalan ibadah yang dilakukan pada pertengahan malam hari. Qiamullail juga membawa maksud ‘bangun malam’ untuk mengerjakan ibadat pada sepertiga malam atau sekurang-kurangnya suku akhir malam.

Secara tepatnya, waktu qiamullail bermula pada pukul 2.30 pagi sehingga terbitnya fajar pertama. Waktu itu merupakan masa yang  sesuai untuk berqiamulail kerana ketika itulah turunnya rahmat Allah SWT ke bumi selain keadaan yang sunyi dan tenang.

Qiamullail boleh dihidupkan dengan mengaji al-quran, berzikir serta mendirikan solat-solat sunat, seperti;

Imej via [tvceramah]

1. Solat Sunat Tasbih

Solat ini digelar sebagai ‘solat sunat tasbih’ kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 kali.  Rasulullah SAW menyarankan agar solat ini didirikan sekerap mungkin, ataupun sekurangnya sekali seumur hidup.

Solat sunat tasbih sedikit berbeza apabila dilaksanakan pada siang hari dan malam hari, iaitu;

  • Siang hari: Empat rakaat (satu kali salam)
  • Malam hari: Empat rakaat (dua kali salam)

Solat sunat tasbih adalah seperti solat sunat yang lain. Cuma, terdapat sedikit tambahan bacaan tasbih pada setiap pergerakan yang tertentu.

Bilangan tasbih pada setiap rakaat adalah sebanyak 75 kali tasbih;

  • Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah, bacalah 15 kali tasbih
  • Rukuk – 10 kali tasbih
  • Iktidal – 10 kali tasbih
  • Sujud pertama – 10 kali tasbih
  • Duduk antara dua sujud – 10 kali tasbih
  • Sujud kedua – 10 kali tasbih
  • Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk antara dua sujud – 10 kali tasbih

Sekiranya terkeliru atau terlupa dengan jumlah bacaan tasbih dalam setiap pergerakan, gantikan bacaan tasbih pada tempat seterusnya. Tetapi pastikan jumlah tasbih yang sudah dibaca setelah selesai solat adalah sebanyak 300 kali.

Antara surah-surah yang dianjurkan selepas surah al-Fatihah:

  • Rakaat Pertama: Surah at-Takathur atau ad-Dhuha
  • Rakaat Kedua:Surah al-Ashr atau al-Insyiraah
  • Rakaat Ketiga:  Surah al-Kafirun atau al-Kauthar
  • Rakaat Keempat: Surah al-Ikhlas atau an-Nashr

Cara Mendirikan Solat Sunat Tasbih

  1. Niat;
  • Lafaz niat solat tasbih pada malam hari (Dua rakaat);

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ رَكَعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala”

 

  • Lafaz niat solat tasbih pada siang hari (Empat rakaat);

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Taala”

    2. Membaca doa Iftitah, surah al-Fatihah dan diikuti dengan surah-surah yang dicadangkan.

    3. Bertasbih sebanyak 15 kali;

    4. Rukuk dan selepas itu bertasbihlah sebanyak 10 kali.

   5. Iktidal, dan baca tasbih dibaca sebanyak 10 kali.

   6. Sujud; dan teruskan dengan bertasbih 10 kali.

   7. Duduk antara dua sujud; kemdian bacalah tasbih sebanyak 10 kali.

   8. Sujud; lalu bertasbihlah sebanyak 10 kali.

   9. Duduk sebelum bangun untuk teruskan rakaat kedua, duduk sebentar dan bertasbihlah sebanyak 10 kali.

  10. Akhiri solat dengan doa tasbih.

Doa Solat Sunat Tasbih:

“Ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon taufiq daripadaMu sepertimana orang-orang yang telah engkau beri petunjuk dan jadikan amalan kami ini seperti amalan ahli yakin. Dan jadikan kami ini golongan orang-orang yang menerima nasihat orang-orang yang bertaubat dan keazaman kami sepertimana orang-orang yang takut dan kami memohon seperti mana permohonan orang-orang yang suka kepada ibadat orang-orang yang waras. Dan jadikanlah pengetahuan kami ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga kami termasuk ke dalam orang-orang yang takut kepada engkau. 

Ya Allah, kami memohon kepadaMu, jadikanlah kami golongan yang takut, yang menghalang kami beramal dengan taat kepadaMu sebagaimana amalan yang kami merasa perlu mendapat keredaanmu. Dan juga kami memohon sehingga kami betul-betul ikhlas dan bertawakkal kepadamu dalam setiap perkara dan kami memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadapmu. Maha suci Engkau sebagai Pencipta cahaya (petunjuk).”

2. Solat Sunat Taubat

Imej via [Balohpedia]

Solat sunat taubat adalah solat yang didirikan untuk memohon keampunan dari Allah SWT. Solat ini boleh ditunaikan pada bila-bila masa sahaja, tetapi lebih afdhal jika didirikan sewaktu berqiamullail.

Cara Mendirikan Solat Sunat Taubat;

  1. Niat;

أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

“Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala”

    2. Rakaat pertama: Setelah selesai membaca al-Fatihah, digalakan untuk membaca surah al-Kafirun.

    3. Rakaat kedua: Surah al-Fatihah, kemudiannya surah al-Ikhlas.

    4. Selepas memberi salam, memperbanyakkan beristighfar supaya Allah SWT menerima taubat dan mengampuni   

   5. segala kesalahan dan dosa.

   6. Kemudian, bacalah doa solat taubat;

Doa Solat Sunat Taubat:

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.”

3. Solat Sunat Tahajjud

Solat sunat tahajjud adalah solat yang tiada had dalam rakaatnya. Solat ini didirikan mengikut kemampuan dan kesanggupan seseorang dalam menunaikannya. Ia adalah permulaan untuk qiamullail yang seharusnya diutamakan.

Cara Mengerjakan Solat Tahajjud:

  1. Membaca doa sebelum solat sunat tahajjud.
  2. Niat;

اُصَلِّى سُنَّةً التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Taala”

  1. Rakaat pertama: Selesai membaca al-Fatihah, bacalah ayat Kursi (7 kali) atau surah al-Kafirun.
  2. Rakaat kedua: Membaca al-Fatihah dan diikuti dengan surah al-Ikhlas atau mana-mana surah yang diketahui dan dihafal.
  3. Sewaktu mendirikan solat: Sangat digalakkan untuk bertasbih dan beristighfar ketika rukuk dan sujud.
  4. Selepas beri salam, bacalah doa solat sunat tahajjud.

Doa Solat Sunat Tahajjud:

“Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya.

Bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum.

Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian, dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”

4. Solat Sunat Istikharah

Solat sunat istikharah didirikan bertujuan memohon petunjuk daripada Allah SWT. Petunjuk di sini bermaksud pilihan dalam membuat sesuatu keputusan yang terbaik. Contohnya apabila  seseorang yang keliru dalam memilih calon jodohnya, ragu dalam menentukan pekerjaan yang sesuai dan pelbagai kekeliruan lagi.

Solat istikharah boleh ditunaikan dengan dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam salam.

Cara Mendirikan Solat Sunat Istikharah

  1. Niat;

اُصَلِّى سُنَّةَ اْلاِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.”

  1. Rakaat pertama: Membaca surah al-Fatihah dan diikuti dengan surah al-Kafirun.
  2. Rakaat kedua: Membaca surah al-Fatihah diikuti dengan surah al-Ikhlas
  3. Membaca doa istikarah ketika sujud akhir;

“Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

     5. Selepas salam, bacalah surah al-Fatihah dan berwirid. Perbanyak istigfar dan memohon keampunan kepada Allah.

Doa Solat Sunat Isthikarah;

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya.

Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.”

5. Solat Sunat Hajat

Solat sunat hajat adalah solat yang ditunaikan untuk memohon hajat atau sesuatu permintaan khusus kepada Allah SWT. Solat sunat hajat yang paling afdal dilaksanakan dalam 12 rakaat dengan enam kali salam.

Cara Mendirikan Solat Sunat Hajat

  1. Niat;

أُصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعاَلَى

“Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”

  1. Rakaat Pertama: Sesudah membaca al-Fatihah, lebih afdal mambaca ayat al-Kursi.
  2. Rakaat Kedua; Membaca surah al-Fatihah, dan surah al-Ikhlas sebanyak 11 kali.
  3. Sujud Akhir, digalakkan membaca:

Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”

  1. Membaca doa selepas solat.

Doa Solat Sunat Hajat;

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.

Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina. Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.”

6. Solat Sunat Witir

Imej via [kisahikmah]

Solat sunat ini disebut ‘witir’ kerana didirikan dengan rakaat ganjil, iaitu  dengan bilangan; satu, tiga, lima, tujuh, sembilan atau 11 rakaat. Solat witir dilakukan selepas waktu solat isyak, iaitu bagi mengakhiri solat atau sebagai penutup kepada semua solat yang dilaksanakan.

Cara Menunaikan Solat Sunat Witir

Solat sunat witir dua rakaat:

  1. Lafaz niat (dua rakaat):

اُصَلِّى سُنًّةَ الْوِتْرِرَكْعَتَيْنِ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala.”

  1. Rakaat Pertama; Membaca surah al-Fatihah dan surah al-A’la.
  2. Rakaat Kedua; Surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.

Solat sunat witir satu rakaat;

  1. Lafaz niat (1 rakaat) :

اُصَلِّى سُنًّةَ الْوِتْرِرَكْعَةً اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.”

  1. Rakaat pertama; Baca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan  an-Nas
  2. Bacaan selepas salam;
  • سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
  • يَا لَطِيْفُ يَا كَافِي يَا حَفِيْظُ يَا شَافِي
  • يَا لَطِيْفُ يَا وَافِي يَا كَرِيْمُ أَنْتَ الله

Doa Selepas Solat Sunat Witir;

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَأَعُوذُ بِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِى ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, aku berlindung dengan kemaafanMu daripada BalasanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu.” 

 

Jom baca Kelebihan surah Ar Rahman, Kelebihan Surah Al-waqiah dan 9 Ciri Wanita Solehah juga.

 

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.