Masalah jerawat bukan sahaja melibatkan kawasan muka tetapi boleh menyerang bahagian badan lain. Mana-mana permukaan kulit boleh ditumbuhi jerawat terutamanya badan. Artikel ini akan membincangkan punca jerawat badan yang boleh mendatangkan kegelisahan dan masalah keyakinan diri.

Pengenalan

Jerawat atau acne merupakan kesan tindak balas pertumbuhan bakteria di permukaan pori yang tersumbat. Liang pori boleh tersumbat disebabkan oleh beberapa perkara seperti ketidakseimbangan hormon, kulit berminyak, pemakanan, keturunan, persekitaran yang kotor, penyakit dan sebagainya.

Pembentukan jerawat ini terhasil di mana-mana kawasan yang mengandungi kulit. Disebabkan kulit merupakan organ yang paling besar bagi manusia, jerawat berpotensi tumbuh di mana-mana bahagian tubuh.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Oslo, Norway pada tahun 2008 menjalankan tinjauan mengenai kesan pertumbuhan jerawat dalam kalangan individu dewasa seramai 3775 orang. Hasil tinjauan tersebut mendapati, antara kesan emosi yang dialami mereka yang mempunyai jerawat di bahagian muka dan badan mereka ialah:

  • Gejala awal kemurungan
  • Keyakinan diri yang rendah
  • Rasa tidak berguna
  • Kurang rasa percaya diri
  • Tidak percaya akan kebolehan diri
  • Nilai diri yang rendah
  • Imej dan penampilan yang tidak memuaskan

Oleh itu, ayuh ketahui punca jerawat khususnya punca jerawat badan supaya langkah intervensi atau pencegahan dan adaptasi boleh diambil.

Punca Jerawat Badan

Menurut Kumpulan Penyelidikan Acne di Institut Dermatologi Milan, Itali pada tahun 2012, mereka mengenal pasti komponen genetik dan persekitaran sebagai komponen utama dalam menyebabkan punca jerawat badan. Huraian faktor tersebut dibincangkan seperti berikut:

1. Sejarah Keluarga atau Keturunan

Dalam kajian tersebut, faktor keturunan dan genetik merupakan punca utama jerawat badan yang dialami seseorang.

Masalah jerawat badan yang sederhana hingga teruk boleh dikaitkan dengan faktor sejarah keluarga ini.

Khususnya, pasangan kembar mempunyai risiko yang tinggi untuk sama-sama mempunyai masalah jerawat badan ini dalam peratusan antara 50 – 90%.

Dalam kajian seumpama di United Kingdom, sebanyak 81% varians acne dilaporkan dalam kalangan kembar perempuan adalah berpunca daripada faktor keturunan.

2. Masalah Kegemukan Obesiti dan Peningkatan BMI

Imej via Bidadari

Masalah jerawat badan didapati lebih teruk diperhatikan pada individu yang mempunyai masalah BMI tidak normal atau obesiti berbanding mereka yang mempunyai BMI normal. Hal ini dipersetujui oleh kajian saintifik yang dilakukan oleh para penyelidik dari Universiti Chang Gung, Taiwan pada tahun 2006.

Berdasarkan ulasan kajian tersebut, masalah kegemukan atau naik berat badan sering dikaitkan dengan hiperandrogenism peripheral. Hal ini menyebabkan penghasilan lebih banyak sebum yang menyekat liang pori. Tidak hairanlah, isu jerawat badan yang teruk boleh berlaku dalam kalangan mereka yang obesiti.

3. Diet Susu

Bagi individu dengan sejarah acne, pengambilan diet susu boleh memburukkan lagi masalah jerawat. Menurut kajian yang sama, susu skim didapati lebih mendatangkan punca jerawat badan berbanding susu segar kerana kandungan lemaknya yang tinggi.

Selain itu, komposisi hormon yang dimasukkan ke dalam susu skim menyebabkan kesan pembentukan jerawat yang lebih tinggi.

Berlawanan dengan persepsi yang menyatakan bahawa coklat boleh menyebabkan jerawat, terdapat banyak kajian lepas yang menafikan dakwaan ini.

Tiada korelasi atau perhubungan yang signifikan diperhatikan antara kesan diet coklat dengan pembentukan sebum dan jerawat. Coklat yang digunakan dalam kajian-kajian tersebut tidak mengandungi unsur susu.

4. Merokok

Imej via Bidadari

Aktiviti merokok dilaporkan secara umum membawa pelbagai masalah kesihatan. Dalam kes ini, asap rokok yang disedut dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan ke atas kulit, antaranya ialah gangguan ke atas:

  •  peredaran mikro kulit
  • proses penghasilan keratin
  • kolagen
  • elastin
  • kandungan antioksidan dalam tubuh

Kesemua masalah ini menyebabkan perubahan komposisi sebum yang menjadi punca jerawat badan.

5. Perubahan Hormon

Punca jerawat badan yang seterusnya ialah perubahan dan ketidakstabilan hormon. Banyak kajian lepas yang menghubungkaitkan perubahan hormon dengan pembentukan jerawat.

Antara contoh hal yang menyebabkan perubahan hormon ialah:

  • Fasa akil baligh bagi laki dan perempuan
  • Kitaran haid setiap bulan
  • Masalah kemurungan dan psikiatri
  • Tekanan emosi
  • Pengambilan pil perancang
  • Kurang aktiviti fizikal
  • Diet pemakanan tidak seimbang

6. Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

PCOS berlaku apabila terdapat ketidakstabilan hormon estrogen, FSH, LH dan progesteron dalam kalangan wanita semasa tempoh kitar haid mereka. Terdapat banyak folikel dihasilkan dan mengambil masa yang lama untuk mematangkan telur ovum.

Keadaan ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi masalah acne dan menjadi punca jerawat badan.

Hal ini ada dilaporkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Perubatan Shiraz, Iran pada tahun 2011. Remaja perempuan berusia 14 hingga 18 tahun di Shiraz, Iran yang mengalami PCOS didapati turut mempunyai jerawat badan.

Kesemua mereka mencatatkan kandungan hormon LH yang tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan jerawat badan.

Kesimpulan

Punca jerawat badan merangkumi faktor-faktor seperti keturunan, gaya hidup, pemakanan dan masalah kesihatan yang dialami seseorang. Terdapat beberapa produk di pasaran yang ada menawarkan kesan pemulihan jerawat badan tetapi anda perlulah menjadi pengguna bijak untuk memilih produk yang selamat dan terbaik. Jemput juga baca artikel jerawat di dagujenis jerawat dan pucan jerawat lelaki

Rujukan

  1. Dalgard, F., Gieler, U., Holm, J. Ø., Bjertness, E., & Hauser, S. (2008). Self-esteem and body satisfaction among late adolescents with acne: results from a population survey. Journal of the American Academy of Dermatology59(5), 746-751. (link)
  2. Di Landro, A., Cazzaniga, S., Parazzini, F., Ingordo, V., Cusano, F., Atzori, L., … & Bettoli, V. (2012). Family history, body mass index, selected dietary factors, menstrual history, and risk of moderate to severe acne in adolescents and young adults. Journal of the American Academy of Dermatology67(6), 1129-1135. (link)
  3. Naderi, T., Akbarzadeh, M., Dabagh Manesh, M. H., Tabatabaei, H., & Zareh, Z. (2011). Frequency of facial and body acne in 14-to 18-year-old female high school students and its relationship to polycystic ovary syndrome. Journal of Dermatology and Cosmetic2(2), 124-131. (link)
  4. Tsai, M. C., Chen, W., Cheng, Y. W., Wang, C. Y., Chen, G. Y., & Hsu, T. J. (2006). Higher body mass index is a significant risk factor for acne formation in schoolchildren. European Journal of Dermatology16(3), 251-253. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.