Pada dasarnya, kerap kencing akan menyusahkan kita untuk ulang alik ke tandas. Ada banyak sebab yang menjadi punca kerap kencing ini. Artikel ini akan menghuraikan dengan lebih lanjut berkenaan punca kerap kencing. Ayuh baca!

Pengenalan

Air kencing merupakan bahan kumuhan badan setelah diproses oleh buah pinggang yang mengandungi 95% air dan selebihnya bahan kumuhan badan seperti

  • urea
  • garam (natrium, klorida, kalium)
  • ion terlarut
  • kreatinin
  • sebatian organik dan tak organik

Secara normalnya, setiap individu yang sihat mampu menyimpan rasa ingin buang air kecil selama lebih kurang 4 kali dalam sehari. Kadar ini berkadaran dengan pengambilan air yang mencukupi dalam 8 gelas air sehari.

Jika anda berulang alik ke tandas melebihi 8 kali untuk membuang air kecil, ini menunjukkan bahawa anda mengalami keadaan kerap kencing disebabkan oleh pengambilan air yang banyak atau faktor tertentu. Masalah kerap kencing juga boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk simptom atau gejala penyakit tertentu.

Dari segi perubatan, keadaan kerap kencing ini dipanggil poliuria. Masih belum ada definisi yang sebenar mengenai tahap poliuria.

Setakat ini, ada yang mendefinisikan poliuria sebagai penghasilan air kencing yang melebihi 900 ml hingga 3 liter dalam sehari.

Imej via Bidadari

Jenis-jenis Kekerapan Kencing Poliuria

Terdapat pelbagai cara untuk mengelaskan jenis poliuria. Namun, seperti yang digariskan oleh pakar perubatan dari Bahagian Perubatan dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan, Universiti Miami, Florida Amerika Syarikat pada tahun 1997, ada dua cara untuk mengkategorikan jenis kekerapan kencing berdasarkan input dan output.

  1. Input – Kemasukan atau pengambilan air ke dalam tubuh badan melebihi julat air yang normal ditampung oleh badan dan perlu disingkirkan melalui air kencing.
  2. Output – Pengeluaran air kencing yang didorong oleh keadaan tertentu biarpun mengambil air kencing dalam kuantiti yang sedikit.

Seterusnya, masalah kerap kencing ini dipengaruhi oleh 3 faktor iaitu:

  • Air – kuantiti air banyak masuk ke badan, maka perlu dikeluarkan oleh badan bagi tidak mengganggu sistem badan
  • Bahan larut – contohnya kandungan garam yang tinggi, hal ini mewujudkan perbezaan tekanan osmosis yang mendorong penyingkirannya dari tubuh badan
  • Campuran air dan bahan larut

Punca Kerap Kencing

Kajian klinikal dan perubatan berkenaan punca kerap kencing ini telah dijalankan secara saintifik sejak 60 tahun yang lalu lagi. Pada tahun 1959, pakar perubatan dari St. Thomas Hospital Medical School, London telah membincangkan punca kerap kencing.

Senarai punca kerap kencing sebagaimana yang dilaporkan oleh kajian-kajian lepas adalah seperti berikut:

1. Pengambilan diet makanan yang tinggi garam (bahan larut)

Tubuh badan kita memerlukan bahan larut seperti mineral dan garam galian dalam kadar yang sedikit sahaja. Pengambilan yang berlebihan hanya akan disingkirkan keluar.

Dr. Rafidah, pakar buah pinggang di Hospital Temerloh pernah menulis tweet berkenaan ‘air kencing mahal.’ Hal ini merujuk kepada obsesi orang ramai yang mengambil suplemen vitamin C 1000 mg walaupun tiada keperluan dari aspek kesihatan.

Badan kita hanya memerlukan lebih kurang 100 mg vitamin C dalam sehari. Jadi, sekiranya kita mengambil 1000 mg vitamin C, selebihnya hanya akan keluar dari badan melalui air kencing.

2. Kandungan gula tinggi dalam darah (pesakit kencing manis diabetes)

Imej via Bidadari

Berdasarkan laporan perubatan, pesakit diabetes menghasilkan air kencing lebih 1.7 hingga 2.8 liter daripada individu tanpa masalah diabetes.

Gula dalam bentuk glukosa yang hadir dalam pesakit diabetes ini menggalakkan reseptor pada buah pinggang dan kelenjar di otak untuk mengarahkan penghasilan lebih banyak air kencing.

Sementara itu, masalah kesihatan yang dikenali sebagai renal glikosuria menunjukkan peningkatan air kencing 1.1 hingga 1.9 liter air kencing melebihi mereka yang tidak mengalami masalah ini.

Dalam keadaan ini, gula yang ditapis oleh buang pinggang tidak mampu diserap semula masuk ke dalam badan untuk kegunaan sistem tubuh. Seterusnya, akan memasuki saluran air kencing untuk dikumuhkan keluar sebagai air kencing.

3. Jangkitan Kuman Kencing Kotor

Punca kerap kencing yang seterusnya ialah jangkitan pada saluran air kencing atau dikenali umum sebagai kencing kotor.

Kekerapan kencing merupakan mekanisma tubuh untuk menggalakkan pengeluaran bakteria dari saluran kencing dengan menumpukan aktiviti sel darah putih bagi membunuh bakteria.

Namun, proses ini memakan masa yang agak lama dan memerlukan input air tambahan bagi melancarkan lagi aliran air kencing dalam saluran air.

4. Diabetes insipidus

Imej via Bidadari

Punca kerap kencing disebabkan diabetes insipidus ini tiada kaitan dengan kencing manis walaupun ada perkataan “diabetes” dalam namanya.

Diabetes insipidus ialah keadaan gangguan penghasilan hormon yang mengawal atur pengeluaran air kencing di bahagian kelenjar pituitari otak. Antara punca gangguan ini ialah komplikasi pembedahan di bahagian otak, trauma di bahagian otak dan diwarisi secara genetik.

Keadaan ini menyebabkan tubuh badan kita sentiasa merasa rasa dahaga yang tidak terkawal lalu mengarahkan tubuh kita untuk minum banyak air.

Selain itu, hormon yang sepatutnya mengawal aliran air kencing yang normal iaitu hormon antidiuretik (ADH) akan terganggu dan mengalami gangguan keseimbangan. Buah pinggang akan terus menyimpan air kerana menganggap badan kita masih belum mendapat air yang mencukupi, sedangkan kita minum banyak air.

Oleh sebab itu, masalah kerap kencing akan berlaku kerana kuantiti air dalam badan adalah sangat banyak dan menghasilkan air kencing yang jernih.

Namun, terdapat kesan bahaya sekiranya proses pengawal aturan ini terus terganggu kerana pesakit boleh merasa tidak haus sedangkan air sudah lama tidak diminum, lalu menyebabkan masalah dehidrasi dan sawan.

Kesimpulan

Antara punca kerap kencing ialah minum air dengan kuantiti yang banyak, diet makanan tinggi bahan larut (solute), masalah diabetes dan diabetes insipidus.

Air kencing merupakan bahan kumuh yang baik kerana boleh menyingkirkan bahan kumuhan dengan kadar yang agak banyak dari badan. Selain kekerapan kencing, warna air kencing juga perlu diberi perhatian.

Setiap tindakan tubuh kita adalah berkadaran dengan kualiti kesihatan kita, kerana bak kata seorang Profesor bidang bioperubatan dari UKM, badan kita sayang kita, Semoga bermanfaat!

Jemput juga baca artikel tentang punca haid tidak teratur , punca lutut sakit dan punca kanser paru-paru

Rujukan

  1. De Wardener, H. E. (1960). Polyuria. Journal of Chronic Diseases11(3), 199-212. (link)
  2. Oster, J. R., Singer, I., Thatte, L., & Grant-Taylor, I. (1997). The polyuria of solute diuresis. Archives of internal medicine157(7), 721-729. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.