Kulit kepala boleh menjadi gatal disebabkan banyak faktor. Biasanya, orang akan mengaitkan punca kulit kepala gatal dengan masalah kelemumur atau kutu.Ayuh ketahui dengan lebih lanjut punca kulit kepala gatal menerusi pembacaan artikel ini.

Pengenalan

Bahagian kepala manusia terdiri daripada rangka tengkorak yang terletaknya majoriti deria rasa utama seperti penglihatan, pendengaran dan bau. Salah satu organ utama yang penting iaitu otak dilindungi oleh lapisan luar kulit kepala yang ditumbuhi rambut sebagai penyerap daya hentakan.

Kulit kepala membawa peranan yang jauh lebih penting, bukan sekadar tempat tumbuhnya rambut, tetapi melindungi otak kita daripada sebarang ancaman fizikal, serangan bahaya penyakit dan terik matahari.

Oleh itu, sebarang perubahan yang berlaku pada kulit kepala akan sangat mudah dirasai oleh kita. Sebagai contoh, kegatalan pada kulit kepala yang boleh bermaksud gatal biasa atau membawa kepada isu lebih kronik seperti keradangan kulit dan luka.

Disebabkan kulit kepala berada hampir dengan tengkorak dan otak, penjagaan kebersihan dan perapian kulit kepala perlu dititikberatkan.

Punca kulit kepala gatal perlu diketahui supaya anda boleh menilai risiko kesihatan sendiri untuk mengambil langkah rawatan dan pencegahan seterusnya.

Masalah kulit kepala gatal boleh menyebabkan anda keguguran rambut dan seterusnya botak! Sudah tentu anda tidak mahu kehilangan rambut yang merupakan mahkota bagi setiap insan ini.

Imej via Bidadari

Punca Kulit Kepala Gatal

Kajian ulasan sistematik mengenai kulit kepala gatal telah dilaporkan oleh para penyelidik bersama dari Mexico, Arab Saudi dan USA pada tahun 2018.

Untuk memudahkan kita mengenali punca kulit kepala gatal, akronim SCALLP diperkenalkan, yang bermaksud Seborrheic dermatitis, Contact dermatitis, Anxiety, Lichen planopilaris, Lice dan Psoriasis.

1. Seborrheic dermatitis (keradangan kulit seborrheic)

Keradangan kulit jenis ini telah memberi kesan ke atas hampir 16% populasi dewasa di seluruh dunia. Faktor ini telah dikenal pasti sebagai punca utama kulit kepala gatal.

Antara gejala lain yang timbul akibat masalah keradangan ini ialah:

  • rasa gatal yang menusuk
  • kulit kepala rasa tegang dan ketat
  • kesakitan
  • panas pada permukaan kulit

Diagnosis bagi masalah keradangan ini dilakukan secara klinikal menerusi pengamatan pada perubahan struktur sel.

2. Contact dermatitis (keradangan kulit disebabkan sentuhan)

Secara klinikal, masalah kulit kepala yang disebabkan oleh keradangan jenis ini disertai dengan gejala lain seperti kegatalan, kemerahan dan kulit kepala bersisik.

Dalam kajian ke atas 1320 pesakit di Jerman, mereka mengenal pasti bahan yang menyebabkan masalah bagi pesakit yang sudah sedia mempunyai risiko keradangan ini, datang daripada bahan kimia seperti:

  • Pewarna rambut: p-phenylenediamine, toluene-2,5-diamine, p-aminophenol, 3 aminophenol, paminoazobenzene dan pyrogallo
  • Syampu: cocamidopropyl betaine
  • Minyak wangi
  • Jenis sikat: alahan terhadap bahan plastik, getah atau nikel

Kemerahan pada kulit kepala antara gejala gatal kulit kepala. Imej via Vázquez-Herrera et al. (2018)

3. Anxiety (keresahan dan tekanan emosi)

Terdapat beberapa kesan psikogenik yang boleh menyebabkan gatal kulit kepala. Antaranya ialah:

  • Keresahan
  • Kemurungan
  • OCD
  • Schizophrenia
  • Delusi
  • Halusinasi dan sebagainya

Tekanan emosi dan perasaan menyebabkan kegatalan kulit kepala, maka tidak hairanlah kita melihat orang ramai akan menggaru kepala apabila mereka sedang berhadapan sesuatu masalah.

Sebuah kajian komuniti yang melibatkan 316 pesakit mendapati bahawa 69.3% daripada mereka yang mengalami masalah tekanan emosi turut mempunyai gejala gatal kulit kepala.

4. Lichen planopilaris

Penyakit ini menyerang folikel rambut dan memusnahkannya lalu meninggalkan parut yang seterusnya menyebabkan keguguran rambut kekal tanpa pertumbuhan rambut baru.

Keadaan ini berpunca daripada sistem imun badan sendiri yang menyerang mana-mana sel kulit yang mengandungi membran mukus dan folikel rambut. Antara faktor yang menggalakkan risiko penyakit ini berlaku ialah:

  • Jangkitan hepatitis C
  • Bahan kimia dan pigmen tertentu
  • Kesan sampingan pil tahan sakit yang berlebihan
  • Kesan sampingan ubatan tertentu

Masalah ini banyak dilaporkan dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Julat usia yang biasa berlakunya keadaan ini adalah antara 30 hingga 60 tahun.

Antara gejala yang diperhatikan yang mengiringi penyakit lichen planopilaris ini ialah:

  • Keguguran dan kehilangan rambut (100%)
  • Kulit kepala bersisik (80%)
  • Rasa kulit kepala ketat dan tegang (72%)
  • Tompokan kegatalan (54-90%)

Kegatalan kepala yang serius. Imej via Vázquez-Herrera et al. (2018)

5. Kutu

Kutu merupakan parasit yang mendiami kulit kepala untuk mendapatkan bekalan makanan mereka. Rasa kegatalan yang dialami datang daripada kesan alahan kulit kepala kepada air liur yang dihasilkan oleh kutu tersebut.

Hakikatnya, rasa gatal kulit kepala hanya akan dirasai selepas 4 hingga 6 minggu selepas kutu tersebut berada di permukaan kulit kepala kita. Seterusnya, rasa kegatalan yang bertambah akan muncul dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas itu.

6. Psoriasis

Kegatalan berlaku dalam kalangan 67-97% pesakit yang mengalami masalah psoriasis. Menurut kajian, secara purata, 80% daripada mereka mengalami masalah gatal kulit kepala.

Terdapat perhubungan berkadar terus antara kesan psoriasis dengan kegatalan kulit kepala iaitu semakin teruk serangan psoriasis, semakin gatal kulit kepala.

Masalah ini berpunca daripada ketidakseimbangan sistem enzim dan hormon dalam kulit seseorang.

7. Penyakit

Berdasarkan catatan dan pemerhatian kajian klinikal lepas, beberapa penyakit disenaraikan sebagai menjadi punca gatal kulit kepala, antaranya:

  • Lupus
  • Sindrom Sjögren
  • Diabetes
  • Penyakit buah pinggang kronik
  • Thyroid
  • Tumor otak
  • Strok
  • Tumor tulang belakang
  • Keradangan pankreas
  • Cirrhosis hati
  • Tumor kulit

Kesimpulan

Begitulah antara punca kulit kepala gatal seperti masalah keradangan, penyakit tertentu, serangan kutu dan tekanan emosi.

Masalah ini boleh menjadi kegatalan biasa yang boleh hilang dengan syampu atau menjadi kronik yang memerlukan rawatan perubatan profesional.

Sentiasa jaga kebersihan diri dan gaya hidup yang sihat bagi memastikan kualiti kesihatan yang terbaik. Jemput juga baca artikel lain seperti punca kulit kusam dan tips kulit cantik. Semoga bermanfaat!

Rujukan

  1. Bin Saif, G. A., Ericson, M. E., & Yosipovitch, G. (2011). The itchy scalp–scratching for an explanation. Experimental dermatology20(12), 959-968. (link)
  2. Vázquez-Herrera, N. E., Sharma, D., Aleid, N. M., & Tosti, A. (2018). Scalp itch: a systematic review. Skin appendage disorders4(3), 187-199. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.