Kulit berminyak pada wajah kita mendatangkan rasa tidak selesa dan boleh menjejaskan penampilan dan keyakinan seseorang.Bagaimana kulit berminyak boleh terjadi? Ketahui punca kulit berminyak dengan terus membaca artikel ini.

Pengenalan

Dari segi perubatan, kulit berminyak turut dikenali sebagai seborrhea. Masalah seborrhea ini tidak asing lagi dalam dunia kosmetik yang melibatkan banyak formulasi dan penjualan produk menghilangkan masalah kulit berminyak ini.

Kulit berminyak terjadi apabila kelenjar sebaceous dalam permukaan kulit menghasilkan kuantiti sebum yang berlebihan. Saiz pori yang lebih besar juga akan menyebabkan pengumpulan minyak yang banyak dan ‘bertakung’ yang memberikan penampilan kulit berkilat, berkilau dan berminyak.

Menariknya, masalah ini turut berlaku dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai masalah jerawat. Tambah membingungkan, mereka yang mempunyai masalah kulit kering, turut berhadapan masalah kulit berminyak. Punca dan kaitan antara kedua-dua masalah kulit ini masih belum boleh dijawab oleh para pengkaji.

Pemahaman yang mendalam berkenaan jenis kulit bermasalah dan punca kulit berminyak ini dapat memberi bimbingan dan panduan kepada mereka yang sedang mencari alternatif penjagaan kulit dan membantu pihak industri menghasilkan produk yang bersesuaian dan bertepatan.

Pengelasan Jenis Kulit Normal, Kering dan Berminyak

Sebelum ini, jenis kulit hanya didefinisikan menurut perasaan dan rasa keselesaan yang dialami oleh seseorang. Hal ini bersifat subjektif tanpa ada sukatan yang piawai.

Penyelidik dari Kolej Perubatan Seoul, Korea Selatan pada tahun 2002 telah mengelaskan semula 3 jenis kulit berdasarkan kuantiti penghasilan sebum kulit. Tiga jenis kulit itu ialah:

  1. Normal
  2. Kering
  3. Berminyak

Ketiga-tiga jenis kulit ini pula dipengaruhi oleh faktor seperti berikut:

  • Ketegangan kulit selepas dicuci
  • Saiz liang pori
  • Bilangan pori
  • Rasa kulit berminyak
  • Penjagaan alat solek harian dan sebagainya

Imej via Bidadari

Komposisi Minyak pada Kulit

Purata kandungan sebum dalam kalangan individu dewasa ialah:

  1. Triglyceride dan produk hidrolisisnya (57.5%)
  2. Lilin ester (26%)
  3. Squalene (12%)
  4. Kolesterol ester dan kolesterol (1.5%)

Antara sebatian berikut, squalene dan lilin ester merupakan sebatian yang hanya dijumpai di permukaan epidermis kulit muka dan tidak dijumpai di mana-mana kawasan tubuh yang lain.

Punca Kulit Berminyak

Masalah kulit berminyak dihadapi seseorang seawal pada peringkat mula akil baligh. Berdasarkan kajian yang diterbitkan di jurnal Skin Pharmacology & Physiology pada tahun 2012 oleh penyelidik Universiti California, Amerika Syarikat, beberapa punca kulit berminyak telah dikenal pasti, antaranya:

1. Diet Pemakanan

Tabiat pemakanan seseorang telah menjadi sumber bahan untuk sintesis sebum yang menjadi punca kulit berminyak.

Penemuan menarik daripada kajian lepas yang melaporkan diet makanan yang tidak mengandungi komponen berlemak tetap boleh menyebabkan kulit berminyak.

Makanan yang mengandungi glukosa dan asetat ditukarkan menjadi minyak oleh kelenjar.

Tidak mengejutkan, semakin tinggi pengambilan diet makanan berlemak, semakin berminyak kulit seseorang. Malahan, diet berlemak yang memasuki tubuh kita ada yang akan terus melalui sistem menuju ke sel sebaceous tanpa perlu diuraikan lalu menjadi minyak pada kulit.

2. Amalan Puasa Mengurangkan Kulit Berminyak

Satu kajian dijalankan bagi melihat kesan aktiviti berpuasa ke atas penghasilan sebum dan kulit berminyak.

Hasil yang memberangsangkan diperolehi apabila kumpulan kajian yang berpuasa dalam tempoh 4-8 minggu menunjukkan pengurangan sebum sebanyak 40%.

Hal ini diterangkan dengan kekurangan jumlah kalori untuk digunakan kelenjar sebaceous bagi penghasilan sebum punca kulit berminyak.

3. Pengaruh Genetik Keturunan

Imej via Bidadari

Beberapa kajian lepas melihat pengaruh genetik yang boleh menyebabkan punca kulit berminyak.

Secara genetiknya, pengkaji berjaya menjumpai gene Smad7 yang diwarisi oleh anak yang bertindak sebagai pencetus fungsi kelenjar sebaceous untuk menghasilkan minyak pada kulit wajah.

Satu kajian khas melibatkan 20 pasangan kembar yang mempunyai masalah jerawat telah dijalankan. Menariknya, kembar seiras mempunyai kadar penghasilan sebum yang sama berbanding kadar penghasilan sebum yang sedikit berbeza dalam kalangan pasangan kembar tidak seiras.

4. Usia

Kelenjar sebaceous untuk menghasilkan sebum ini sudah berkembang dan matang pada peringkat janin lagi, tetapi saiznya mengecil dengan mendadak selepas beberapa minggu dilahirkan.

Saiz kelenjar ini kembali membesar dan mencapai saiz maksimum pada usia muda. Seterusnya, bilangan kelenjar ini akan kekal sama sepanjang hayat dan hanya berbeza dari segi kadar penghasilan sebum.

Kadar penghasilan sebum punca kulit berminyak adalah tertinggi pada julat usia 15 hingga 35 tahun dan akan menurun mengikut usia.

5. Jantina dan Etnik Kaum

Imej via Bidadari

Pada mana-mana peringkat usia sekalipun, penghasilan sebum lelaki adalah sentiasa lebih tinggi daripada wanita.

Sementara itu, individu berkulit hitam berbangsa Afrika mempunyai kelenjar sebaceous yang paling besar antara semua kaum, menjadikan penghasilan sebum pada kulit yang banyak.

6. Suhu Persekitaran dan Cuaca

Sebuah eksperimen yang mengkaji kesan suhu dan penghasilan sebum telah dilaporkan. Hasilnya, pada setiap peningkatan suhu 1 ° C, kadar penghasilan sebum akan meningkat sebanyak 10%.

Di kawasan beriklim 4 musim, dilaporkan bahawa musim panas merupakan tempoh waktu yang menyebabkan kulit paling berminyak berbanding musim luruh, sejuk dan bunga.

Kesimpulan

Artikel ini menunjukkan bahawa penghasilan sebum punca kulit berminyak adalah disebabkan aktiviti kelenjar sebaceous.

Antara punca kulit berminyak tersebut ialah amalan pemakanan, faktor genetik, usia, jantina, bangsa dan suhu persekitaran. Masalah kulit berminyak menyebabkan rasa tidak selesa dan boleh merendahkan tahap keyakina seseorang, maka langkah penjagaan diri dan gaya hidup yang sihat perlulah sentiasa diamalkan.

Semoga bermanfaat! Jemput juga baca artikel petua muka berseri dan tips penjagaan muka

Rujukan

  1. Endly, D. C., & Miller, R. A. (2017). Oily skin: a review of treatment options. The Journal of clinical and aesthetic dermatology10(8), 49. (link)
  2. Sakuma, T. H., & Maibach, H. I. (2012). Oily skin: an overview. Skin pharmacology and physiology25(5), 227-235. (link)
  3. Youn, S. W., Kim, S. J., Hwang, I. A., & Park, K. C. (2002). Evaluation of facial skin type by sebum secretion: discrepancies between subjective descriptions and sebum secretion. Skin Research and Technology8(3), 168-172. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.