Mencari tips kemas rumah cara KonMari?

Tugasan hakiki seorang wanita tak kiralah suri rumah atau yang bekerjaya tak pernah habis. Baru saja kemas depan, dapur pula bersepah. Dah lega bersihkan bilik tidur, tandas pula kena cuci. Ni lah rutin yang tak akan habis, lagi-lagi kalau ada anak kecil.

Kalau ada pembantu rumah, boleh juga duduk berlunjur kaki. Bayangkan kalau semuanya kena buat sendiri. Suami pula bekerja, anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian. Hingga kadangkala rumah dibiarkan bersepah-sepah sebab malas nak mengemas.

Suasana persekitaran yang macam kena bom, berbau hapak dan tunggang-langgang sangat tak baik untuk perkembangan anak-anak. Malahan, rumah tangga juga boleh terjejas dibuatnya. Mesti semua wanita tak sanggup hidup dalam keadaan begini bukan?

Jangan risau! Dalam artikel ni, penulis akan berkongsi beberapa tips mengemas rumah yang diperkenalkan oleh Marie Kondo. Nak tahu kenalah baca sampai habis.

Kenali Marie Kondo

konmari

Imej via KonMari

Seorang wanita Jepun bernama Marie Kondo telah meraih perhatian dunia dengan perkongsian kreatifnya tentang teknik kemas rumah dengan cara mudah. Teknik ni dipanggil KonMari atau KonMari Method.

Malahan, Kondo telah menghasilkan buku bertajuk “The Life Changing Magic of Tidying Up.” Buku ni sangat laris di New York hingga diulang cetak sebanyak 6 juta cetakan. Malah ia menjadi ‘bestseller’ di Jepun, Jerman, United Kingdom dan banyak lagi.

Yang lebih menarik, wanita hebat ni telah disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh majalah TIME pada tahun 2015. Malahan, fenomena luar biasa yang dicipta oleh wanita ni merangkumi falsafah, teori, teknik mengemas dan menyusun barang di rumah dengan cara yang unik.

Jangan pula pening kepala dengar tentang falsafah dan teori. Semuanya praktikal saja. Anda tak perlu untuk menyertai kelas untuk mempelajarinya. Yang paling penting, kesedaran untuk berubah dan konsisten dalam melakukannya.

Wah, mesti hebat idea individu yang digelar ‘wanita paling kemas di dunia’ ni kan! Apakah idea beliau yang telah menarik perhatian dunia ni? Sebenarnya Kondo telah mengajar teknik mengemas rumah dengan cara yang teratur, bersih, sistematik dan mudah.

Ramai orang yang mengikuti cara beliau telah mengakui keberkesanan teknik KonMari ni. Jika sebelum ni, mereka seorang yang agak tak terurus dan pengotor, kini berubah menjadi seorang yang pembersih dan teliti.

Maksud Teknik KonMari

Secara mudahnya teknik KonMari mementingkan beberapa aspek, iaitu:

  1. Cara susun barang
  2. Cara penyimpanan barang
  3. Keperluan terhadap barang tersebut

Untuk bagi lebih jelas, teknik KonMari membuatkan kita berfikir seperti ni”

“Aku perlu tak barang-barang ni? Aku berasa gembira ke bila simpan barang dengan cara ni?”

Teknik KonMari mementingkan konsep minimalist atau penggunaan dan penyimpanan barang secara minima. Hanya simpan barang yang benar-benar penting dan akan digunakan. Barang-barang yang tak digunakan lagi bolehlah dibuang atau diberikan kepada orang lain.

Itulah sebabnya Marie Kondo menggunakan tagline “Does It Spark Joy?”. Jika barang-barang tersebut buat anda bertambah serabut, eloklah dikeluarkan dari rumah. Metod KonMari amat mementingkan kegembiraan penghuni rumah tersebut.

Teknik ni mengajar kita agar tak menjadikan rumah sebagai tempat untuk mengumpul ‘sampah’ tetapi tempat yang benar-benar untuk didiami. Lagi kurang barang, lagi senang untuk mengemas. Masa pun boleh dijimatkan, ibu-ibu pun tak stres memanjang.

Ok, jom kita baca tentang Teknik KonMari.

Cara Menguruskan Rumah Guna Teknik KonMari

kemas-rumah

Imej via Bidadari

Sebelum mengamalkan kaedah ni, anda perlu tahun 6 peraturan asas sebelum mempraktikkannya, iaitu:

a. Mempunyai masa terluang untuk mengemas rumah.

b. Mempunyai idea atau gambaran untuk mencipta gaya hiasan yang diingini.

c. Buang barang-barang yang tak diperlukan lagi. Jangan lupa ucap terima kasih atas ‘jasa’ barang-barang tersebut kepada kita.

d. Susun atur mengikut kategori.

e. Mengemas ikut turutan.

f. Akhir sekali, tanya pada diri sendiri sama ada cara mengemas tu buat anda gembira atau pun tak.

Di bawah ni, penulis menyenaraikan ringkasan pengurusan rumah cara KonMari untuk membantu anda semua.

#1 Mulakan Dengan Penggunaan Kotak

Kondo sangat menyukai kotak kerana baginya dengan penggunaan kotak, hidup akan menjadi lebih teratur. Penggunaan kotak menjadikan barang-barang di dalam almari dan laci dapat disimpan dengan teratur, bersih dan selamat.

Menurutnya lagi, gunakan kotak yang berwarna-warni dan bercorak untuk membangkitkan mood dan perasaan gembira. Kesannya, anda tak akan berasa malas dan bosan untuk mengemas.

#2 Lupakan Hanger Di Dalam Almari

Kondo menggalakkan kita melipat baju dan sebagainya berbanding menyangkutnya di dalam almari. Memang lebih mudah untuk menyangkut pakaian, namun susah untuk mencari baju yang nak dipakai jika terlalu banyak pakaian.

Kesannya kita akan cenderung membeli pakaian sebab rasa dah tak ada lagi baju yang boleh dipakai. Maka, semakin penuhlah almari dengan pakaian dan hanger. Kondo mengajar kita cara melipat baju secara menegak yang memudahkan kita mencarinya nanti.

#3 Teknik Lipatan Kecil

Tanpa perlu melipat pakaian terlalu kemas seperti di kedai pakaian, KonMari mementingkan teknik lipatan kecil. Cara lipatan sebegini memudahkan kita kerana tak memerlukan almari atau laci yang besar. Ia dapat menjimatkan ruang.

#4 Berterima Kasih Pada Barangan Yang Tak Diperlukan Lagi

Jika terlalu banyak barang, kediaman akan mudah berselerak walau telah dikemas banyak kali. Satu cara yang anda boleh buat ialah kumpulkan semua barang tersebut. Kemudian, pilih yang mana diperlukan lagi dan yang mana harus disingkirkan.

Barang-barang yang tak digunakan lagi tetapi masih elok bolehlah didermakan kepada orang yang memerlukan atau dijual. Jika sudah buruk dan rosak bolehlah dikitar semula atau dibuang. Sentiasa berterima kasih kepada barang-barang tersebut kerana telah berjasa kepada kita.

#5 Susun Barang Ikut Kategori

Anda perlu simpan barang mengikut jenisnya dan bukan ikut tempatnya. Misalnya, jika nak simpan baju, anda perlulah simpan semua baju di tempat yang sama. Jangan pula dalam almari yang sama ada baju, ada buku dan sebagainya. Kalau boleh, simpan ikut turutan iaitu baju, buku, alat tulis dan sebagainya.

Macam mana? Susah tak? Sebenarnya teknik KonMari sangat mudah dan ramai wanita di serata dunia telah berjaya mengubah tabiat mereka. Hasilnya mereka berbangga dengan kekemasan rumah mereka. Ternyata teknik KonMari telah memudahkan urusan mengemas di rumah.

Jika anda nak penjelasan yang lebih terperinci, anda boleh tonton video tentang teknik KonMari di pautan ni:

Jemput juga baca artikel cara kemas rumah dan tips servis aircon rumah

Rujukan

  • Kemas Rumah Ikut Cara Orang Jepun Inilah Teknik Konmari Yang Patut Kaum Mak-Mak Cuba.https://www.mingguanwanita.my/kemas-rumah-ikut-cara-orang-jepun-inilah-teknik-konmari-yang-patut-kaum-mak-mak-cuba-1/ (link)
  • Guna Kotak Tak Gantung Baju Tips Jadi Pembersih dari Marie Kondo Luar Biasa. https://www.wanista.com/2019/178432/guna-kotak-tak-gantung-baju-tips-jadi-pembersih-dari-marie-kondo-luar-biasa/(link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.