Namanya sangat jarang didengari, apatah lagi kisah dan sejarahnya. Siapakah Shajar ar-Durr? Mari ketahui bersama.

Shajar ar-Durr adalah wanita pertama yang menjadi pemerintah semasa era Dinasti Ayyubiyyah yang diasaskan oleh Salahuddin Al-Ayyubi.

Shajar al-Durr yang bermaksud  ‘Pokok Permata’  juga dikenali sebagai  Shajarah al-Durr atau nama dirajanya; al-Malika Aṣmat ad-Din  Umm-Khalil. Beliau meninggal dunia pada 28 April 1257.

Pada awalnya Shajar ar-Durr hanyalah seorang hamba kesayangan Sultan al-Malik al-Saleh Najamuddin Ayyub, yang dihadiahkan oleh Khalifah al-Mustashim. Sultan kemudiannya menjadikan Shajar ar-Durr sebagai permaisurinya.

Kematian Sultan Dan Pemerintahan Shajjar Ar-Durr

Pada tahun 1249 M, pasukan Salib Kristian yang dipimpin oleh Raja Louis IX of France telah merancang untuk menakluki Mesir. Raja dari Perancis itu telah mengumpulkan pasukan Salib di Kepulauan Cyprus dan tidak lama kemudian

Dan sewaktu Pasukan Salib mula menyerang beberapa kawasan di Mesir, Sultan Saleh Ayyub mangkat, iaitu pada 22 November 1249 selaps 10 tahun memerintah.

Dalam kekalutan itu, Shajar ad-Durr segera mengambil alih kepemimpinan, manakala berita kematian suaminya dirahsiakan, termasuklah kepada rakyat Mesir sendiri. Beliau  mengisytiharkan bahawa sultan masih sakit dan tidak ingin bertemu dengan sesiapa. Hal ini bagi mengelakkan kegelisahan rakyat.

Pemerintahan sementara Shajjar ketika itu dibantu oleh Panglima Tentera iaitu Amir Fakhruddin dan seorang pegawai Istana Tawashi Jamaluddin Muhsin. Mereka  menjalankan urusan istana seperti sultan masih hidup.

Pada masa sama Sultan Saleh Ayyub tidak menamakan penggantinya sebelum baginda meninggal, lalu dipanggil  puteranya Al-Muazzam  Thuransyah untuk pulang ke Mesir.

Tentangan Terhadap Pasukan Salib dan Pertempuran Fariskur

Akhirnya berita kematian Sultan Saleh Ayyub telah sampai kepada pengetahuan Raja Louis IX. Lalu dengan penuh bersemangat, pasukan Salib menyerang dan berjaya menawan Gidelia.

Pada 27 Februari 1250, Shajar ad-Durr bersama panglima tentera Baibars telah bertahan di al-Manshourah, sebelum menyusun strategi dengan menyerang semula pasukan Salib. Mereka  berjaya meraih semula kemenangan dan berjaya membunuh  Robert I of Artois, saudara kepada Raja Louis IX.

Thuransyah telah tiba di Kaherah bersama pasukannya. Mereka  mara sehingga ke Damietta dan menghancurkan pasukan Salib. Raja Loius IX juga ditawan.

Petempuran Fariskur ini berlaku pada 6 April 1250 M, sekaligus berjaya mematikan perjuangan pasukan Salib ketujuh ini sepenuhnya!

Pergolakan Takhta Mesir

Al-Muazam Thuransyah sebenarnya berasa tidak puas hati dan cemburu dengan kepemimpinan Shajar Al-Durr. Beliau menggunakan alasan bahawa ibu tirinya itu bukan berdarah Ayyubiah.

Lalu, beliau memaksa Shajar ad-Durr untuk mengakui dan berterus-terang akan kematian bapanya. Beliau juga memaksa Shajar ad-Durr  tunduk kepada kekuasaannya. Kemudian, dengan bantuan penyokongnya, pemerintahan berjaya dirampas oleh Thuransyah.

Selain itu, Thuransyah turut merampas kekayaan dan harta milik Shajar ad-Durr. Beliau juga berhasrat menukar pemerintahan dengan menggantikan pasukan Mamluk lama dengan pasukan Mamluk yang baru.

Shajar ad-Durr yang tidak berpuas hati berpakat dengan pasukan Mamluk lama yang begitu setia padanya.

Lagi pula, Thuransyah seorang yang pemabuk dan gemar memukul perempuan Mamluk menjadi sebab untuk Shajar ar-Durr menjatuhkannya.  Akhirnya  Thuransyah berjaya dibunuh ketika sedang berpesta makan pada 2 Mei 1250 di Fariskur. Dengan kematian ini, berakhirlah Kesultanan Ayubiyah dan bermulanya pemerintahan Dinasti Mamluk di Mesir.

Shajar Ar-Durr Memerintah Mesir

Shajar Ad-Durr kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Sultanah Mesir pada tahun 1250 M. Semasa pemerintahannya, Shajar ar-Durr mengenakan gelaran ‘al-Malikah Ismat ad-Din Umm-Khalil Shajar al-Durr’ dan beberapa tambahan gelaran seperti ‘Malikat al Muslimin’ (Pemaisuri Muslim) dan ‘Walidat al-Malik al-Mansur Khalil Emir al-Mu’aminin’.

Namanya juga disebut dalam khutbah Jumaat dengan nama ‘Uum Al Malik Khalil’ dan juga ‘Sahibat al Malik al Salih’ iaitu ‘Isteri kepad al-Malik As-Soleh’. Khalil adalah nama anaknya bersama Sultan yang meninggal ketika kecil.

Sememangnya Shajar Ad-Durr banyak menggunakan nama suami dan anaknya sebagai agenda memperkukuh kekuasaannya sebagai Sultanah. Seperti syiling yang dipateri namanya dengan gelaran ‘Walidat Khalil’.

Shajar Ar-Durr juga bertindak membebaskan Raja Louis IX of France dengan beberapa syarat, iaitu  membayar separuh duit pelepasan dan menyerahkan semula kota Damietta kepada Mesir. Raja Perancis itu bersetuju diikuti 12,000 tawanan yang lain pada 8 Mei 1250. Dengan itu bebaslah kerajaan Islam dari cita-cita penguasaan pasuka Salib.

Mesir melalui zaman yang aman dan makmur semasa di bawah pemerintahan Shajar Ar-Durr. Wanita itu  telah membuktikan bahawa beliau seorang pemerintah yang feminis, cerdik, berani, bijak dan mampu berkuasa walau ketika itu dunia dikuasai oleh pemerintahan  patriaki.

Beliau bukan sahaja berjaya menghentikan penguasaan pasukan Salib terhadap penjarahan ke wilayah Islam, bahkan berjaya mempertahan dan mengukuhkan kuasa politik Islam di kawasan Laut Mediteraanean. Shajar Ad-Durr juga secara tidak langsung telah membuka pintu kepada pemerintahan dinasti Mamluk di Mesir dengan jatuhnya  Dinasti Ayyubiyah.  

Namun pemerintahan sultanah ini hanya bertahan tiga bulan lantaran penaung kerajaan islam ketika itu, Khalifah Abbasiyyah tidak bersetuju dengan pimpinan dari kalangan wanita. Ini membuatkan Shajar Ar-Durr terdesak dan mengahwini seorang panglima Mamluk yang bernama Izzuddin al-Muiz Aibak. Walaupun ketika itu Aibak sudah beristeri.

Perkahwinan ini bertujuan agar suaminya itu menjadi Sultan Mamluk, selain berharap dapat menguasainya itu di bawah telunjuknya.

Namun malangnya, cara dan pemikiran Shajar Ar-Durr dan Aibak tidak sehaluan. Malah masing-masing mempunyai pengaruh sendiri yang memecahbelahkan pasukan Mamluk.

Shajar Ar-Durr juga menghalang Izzuddin al-Muiz Aibak dari bertemu isteri dan anak-anaknya. Bahkan memaksa suaminya itu untuk menceraikan isteri pertamanya lantaran bimbang anak-anak Aibak menggugat tahta pemerintahan kelak.

Lebih memburukkan,apabila Izuddin al-Muiz Aibak bertindak mengahwini seorang wanita dari kalangan Bani Ayyubi, iaitu anak kepada Badr al-Din Lu’lu’. Perkara ini membuatkan Shajar Ad-Durr begitu marah dan berasa dikhianati.

Shajar Ad-Durr lalu bertindak membunuh suaminya,  Izzuddin al-Muiz Aibak  di bilik mandi pada tahun 1257 M, setelah 7 tahun memerintah.

Beliau kemudiannya menyebarkan berita bahawa suaminya itu meninggal tiba-tiba kerana sakit.

Kejatuhan Seorang Sajjar Ad-Dur

Pasukan Izuddin al-Muiz Aibak tidak mempercayai alasan kematian sultan itu lantas berpakat untuk membalas dendam. Tindakan itu mendapat sokongan dari isteri pertama Aibak, iaitu Umm Ali. Mereka membuat menyerang istana pada April 1257 M.

Shajar Ad-Durr akhirnya ditangkap dan dipukul dengan kayu sehingga luka parah dan meninggal dunia. Kemudian jasadnya yang tidak bernyawa itu ditinggalkan di luar istana dan dibiarkan selama tiga hari.  Para penyokongnya mengkebumikannya di permakaman yang sama dengan  Sultan al-Saleh Najamuddin Ayyub.

Terdapat riwayat lain yang menyatakan Sajjar Ad-Durr dikurung di sebuah menara sebelum dibunuh Sultan Mesir yang baharu iaitu anakanda Sultan Izzudin al-Muiz Aibak, iaitu Sultan Al-Mansur Ali.

Rujukan:

  • Amin Maalouf, The Crusades Through Arab Eyes. London: Al Saqi Books, 1984
  • Ibn Jawi, Kitab Tamadun Islam, The Patriot
  • Ahmad Choirul Rofiq, “Kontroversi Kepemimpinan Politik Perempuan Periode Pertengahan: Kasus Pemerintahan Syajarat al-Durr Masa Dinasti Mamluk, Hrujukan
  • Syajarah Al-Durr (Peranannya dalam Pembentukan Dinasti Mamluk di Mesir Tahun 1250 M), UIN Alauddin Makassar

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.