Nak tahu khasiat kunyit latok? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat latok untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.

Latok atau nama saintifiknya Caulerpa lentilifera juga dikenali sebagai anggur laut enak dimakan mentah atau dijadikan bahan dalam salad dan masakan harian. Latok banyak dijumpai dan dijual oleh para nelayan di perairan Sabah pada harga lebih kurang RM15 sekilo.

Latok merupakan sejenis rumpai laut dari keluarga algae yang natif di kawasan perairan Indo-Pasifik. Mengikut sejarah, latok mula diternak secara komersial pada tahun 1950 di Filipina dan terus dikembangkan di negara Jepun pada tahun 1986.

Sehingga kini, makanan laut ini semakin menjadi pilihan banyak negara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti bulung (Indonesia), rong nho (Vietnam), umi-budo (Jepun), lato atau arosep (Filipina) dan latok di Malaysia yang dipopularkan oleh suku kaum Bajau di Sabah.

Imej via Megalive

Khasiat Latok

Terdapat pelbagai kebaikan kesihatan dan khasiat yang boleh diamalkan antaranya sifat latok yang boleh mengurangkan lemak dan diabetes. Artikel ini akan membincangkan khasiat latok sebagaimana yang pernah dilaporkan oleh para pengkaji terdahulu.

1. Kaya dengan Nutrien

Penyelidikan bersama Universiti Malaysia Sabah dan UPM Serdang pada tahun 2010 telah menerbitkan kertas kajian yang menyenaraikan sumber nutrien yang banyak dalam latok yang diperolehi dari kawasan Borneo Utara.

Antara nutrien yang dikesan dalam latok ialah protein, lipid, serat, karbohidrat, vitamin C, asid lemak perlu dan garam mineral (natrium, kalium, kalsium, magnesium, zat besi, zink, kuprum, iodin dan selenium).

2. Mengandungi Serat yang Tinggi

Secara puratanya, dianggarkan terdapat 32.99% serat makanan dan 17.21% serat larut dalam latok. Kehadiran serat larut ini membantu dalam memberi kesan penurunan kolesterol dan dan gula dalam darah. Seterusnya, boleh mencegah gejala-gejala penyakit yang berkaitan dengan sistem metabolik manusia.

Serat juga amat diperlukan bagi sistem penghadaman yang baik (khas bagi mereka yang mengalami kesukaran membuang air besar). Selain itu, serat boleh memanjangkan rasa kenyang apabila bahan makanan berada lebih lama dalam sistem pencernaan.

3. Kaya dengan Asid Lemak Perlu

Analisis kandungan lemak dalam latok mendapati bahawa latok mempunyai asid lemak tidak tepu yang lebih banyak berbanding lemak tepu. Antara jenis asid lemak tidak tepu yang terdapat dalam latok ialah asid linolik, asid palmitik dan asid oleik.

Malah, latok mengandungi omega-3 sebanyak 7.55%. Kandungan omega-3 membantu tubuh manusia mencegah pembentukan plak pada saluran pembuluh darah, mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan sistem imun badan selain mengurangkan kolesterol dalam darah.

4. Kaya Kandungan Protein

Kajian juga melaporkan kandungan protein dan asid amino perlu yang sangat tinggi dalam latok. Protein sangat diperlukan tubuh bagi proses pemulihan sel dan organ.

Namun, ada salah faham berkenaan latok yang dikatakan membekalkan kolagen bagi awet muda. Latok tidak boleh memberikan kolagen secara terus untuk kulit tetapi asid amino dan protein dalam latok boleh membantu mengurangkan kesan-kesan penuaan dan meningkatkan kesihatan sel.

Menarik sekali, profil protein dan asid amino dalam latok ini turut dijumpai dalam makanan kaya protein yang lain seperti telur dan kacang soya.

Imej via Bidadari

5. Sumber Vitamin

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kasetsart, Bangkok Thailand pula mengenal pasti beberapa vitamin dalam latok. Antara vitamin yang dikesan ialah vitamin C, vitamin E, thiamin, riboflavin dan niacin.

Sumber vitamin ini amat penting bagi tujuan antioksidan dan meningkatkan sistem imun badan daripada serangan radikal dan penyakit luar.

Malahan, kandungan vitamin dalam latok ini lebih kurang menyamai kandungan vitamin yang terdapat dalam sayuran lain seperti kobis, lobak merah dan selada.

6. Kandungan Polisakarida

Latok mengandungi polisakarida yang terdiri daripada sulfat, galaktosa, glukosa, arbinosa, xilosa dan pecahan kecil mannosa, rhamnosa dan fukosa. Penyelidik-penyelidik dari Institut Oceania Tahiti pada tahun 2017 telah mengulas kajian-kajian saintifik lepas yang melaporkan nilai perubatan dan kesihatan polisakarida ini.

Antara kajian klinikal yang dijalankan telah menunjukkan potensi besar latok sebagai bahan anti virus, anti tumor, anti keradangan, anti penggumpalan dan perangsang sistem imun dan sumber analgesik.

Namun, kajian lebih terperinci perlu dijalankan bagi mencari formulasi terbaik untuk menghasilkan sebatian ubatan dari latok bagi tujuan farmasi ini.

7. Bertindak sebagai Sebatian Antibiotik dan Antioksidan

Sementara itu, kajian oleh sekumpulan saintis Malaysia dari Universiti Sunway mendapati bahawa latok mempunyai potensi antioksidan dan antibakteria yang sangat baik.

Sifat-sifat tersebut disimpulkan terhasil daripada kehadiran sebatian bioaktif dalam latok seperti asid lemak, terpene dan alkaloid.

Kesimpulan

Latok merupakan anugerah alam yang berharga dari alam yang memberikan punca rezeki dan khasiat kesihatan kepada tubuh badan manusia. Sesekali kita boleh alih selera dengan cuba mengambil latok dalam diet seharian.

Rasanya yang unik yang dikatakan meletup-letup dalam mulut, ditambah dengan khasiat kesihatan daripada sumber nutrien yang terkandung di dalamnya menjadikan latok sebagai makanan laut yang istimewa.

Rujukan

  • de Gaillande, C., Payri, C., Remoissenet, G., & Zubia, M. (2017). Caulerpa consumption, nutritional value and farming in the Indo-Pacific region. Journal of applied phycology29(5), 2249-2266. (link)
  • Matanjun, P., Mohamed, S., Mustapha, N. M., & Muhammad, K. (2009). Nutrient content of tropical edible seaweeds, Eucheuma cottonii, Caulerpa lentillifera and Sargassum polycystum. Journal of Applied Phycology21(1), 75-80. (link)
  • Ratana-Arporn, P., & Chirapart, A. (2006). Nutritional evaluation of tropical green seaweeds Caulerpa lentillifera and Ulva reticulata. Agriculture and Natural Resources40(6 (Suppl.)), 75-83. (link)
  • Yap, W. F., Tay, V., Tan, S. H., Yow, Y. Y., & Chew, J. (2019). Decoding antioxidant and antibacterial potentials of Malaysian green seaweeds: Caulerpa racemosa and Caulerpa lentillifera. Antibiotics8(3), 152. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.