Nak tahu khasiat kunyit hitam? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat kunyit hitam untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.

Kunyit hitam dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu apabila ubi atau rhizom sesuatu tanaman itu menyerupai ibu kunyit yang bukan berwarna kuning oren tetapi berwarna hitam. Tahukah anda, terdapat dua spesis yang sering dianggap sebagai kunyit hitam yang seterusnya diangkat sebagai makanan atau ramuan rempah yang dikatakan berkhasiat?

Dari segi nama saintifik, dua spesis yang dikenali sebagai kunyit hitam ialah Kaempferia parviflora dan Curcuma ceasia. Walaupun kedua-dua spesis tersebut menghasilkan rhizom yang dipanggil kunyit hitam, mereka merupakan spesis tanaman yang sangat berbeza!

K. parviflora merupakan tanaman yang berkaitan dengan pokok cekur manakala C. ceasia merupakan tergolong dalam keluarga kunyit. Malah, kedua-duanya mengandungi sebatian aktif utama yang sangat berbeza apabila K. parviflora kaya dengan sebatian flavonoid, sementara C. ceasia kaya dengan sebatian terpenoid. Penyelidikan juga lebih banyak tertumpu ke atas K. parviflora yang didapati memiliki lebih banyak sebatian aktif dan biokimia yang bermanfaat.

Imej via Healthjade

Oleh itu, artikel ini akan memfokuskan perbincangan khasiat kesihatan kunyit hitam yang datang dari spesis K. parviflora ini berdasarkan laporan kajian akademik yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Khasiat Kesihatan Kunyit Hitam

Kunyit hitam atau Kaempferia parviflora turut dikenali sebagai krachaidum atau ginseng Thai merupakan tumbuhan yang mempunyai khasiat perubatan yang banyak dijumpai di kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Sumatra dan Kepulauan Borneo. Analisis makmal melaporkan dua sebatian aktif utama dalam kunyi hitam iaitu 5,7-dimetoksiflavon dan 5,7,4-trimetoksiflavon bersama lebih 20 komponen lain yang dilaporkan memiliki khasiat perubatan.

Aktiviti Anti Kanser

Imej via Bidadari

Kajian klinikal menggunakan ekstrak kunyit hitam melaporkan potensi memberangsangkan kunyit hitam dalam mengurangkan pertumbuhan sel kanser dan menggalakkan kematian sel kanser melalui apoptosis.

Antara kajian rawatan kanser yang dijalankan secara klinikal tersebut ialah leukemia, melanoma, kanser pangkal rahim dan cholangiocarcinoma (saluran hempedu).

Masalah Kardiovaskular dan Metabolisme

Kajian ekstrak kunyit hitam kini di peringkat model haiwan yang melihatkan potensinya dalam memberi rawatan pencegahan dan kawalan penyakit-penyakit kardiovaskular seperti masalah jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Kajian ke atas model tikus mendapati penurunan glukosa darah yang terkawal dan melancarkan peredaran darah. Selain itu, pada peringkat molekul sel, metabolisme sel didapati bertambah baik yang dijangka membantu dalam meningkatkan kecekapan metabolisme tenaga. Hal ini seterusnya dapat membantu dalam pencegahan masalah obesiti atau berat badan berlebihan. 

Merawat Masalah Mati Pucuk dan Kesihatan Lelaki

Penyelidik dari Florida, Amerika Syarikat pada tahun 2018 telah menerbitkan hasil kajian mereka yang melihat kesan pengambilan suplemen yang diformulasi dengan ekstrak kunyit hitam sebanyak 100 mg ini oleh responden lelaki pertengahan usia (usia 50 hingga 68 tahun) selama 30 hari. Hasil kajian rintis atau kajian awal mereka mendapati bahawa terdapat perubahan yang ketara ke atas masalah mati pucuk, kepuasan hubungan kelamin dan pengurusan emosi.

Kajian mereka berpendapat bahawa sebatian aktif dalam kunyi hitam ini membantu peredaran darah yang lebih lancar ke kawasan testis iaitu sistem peranakan lelaki. Kajian seumpama turut pernah dilaporkan dalam kalangan lelaki Thailand yang mengambil kira-kira 90 mg ekstrak kunyit hitam sehari selama 8 minggu berturut-turut.

Pencegahan Penyakit Alzheimer

Penyelidikan menggunakan ekstrak kunyit hitam dalam bidang neurofarmakologi semakin meluas dijalankan bagi mengetahui potensi sebenarnya dalam perlindungan sistem saraf otak. Sebatian kimia yang terdapat dalam kunyit hitam telah diakui memiliki aktiviti perlindungan neuro.

Selain potensi pencegahan penyakit Alzheimer, khasiat kunyit hitam ini juga dilaporkan mampu memberikan aktiviti anti kemurungan dalam model tikus makmal yang digunakan. Ekstrak kunyit hitam dikatakan meningkatkan ketumpatan neuron pada kawasan hippocampus otak yang menggalakkan ketahanan memori dan pembelajaran.

Sifat Anti Alahan, Anti Keradangan

Ekstrak kunyit hitam dilaporkan mampu memberikan sifat anti alahan dan anti keradangan apabila mekanisme di peringkat sel mendapati bahawa sebatian bioaktif kunyit hitam berkait dengan pengurangan influx ion kalsium ke dalam sel.

Dari segi genetik, protein yang menyebabkan alahan atau keradangan mengalami sekatan daripada diekspresikan atau dihasilkan apabila ekstrak kunyit hitam ini mampu merencatkan penghasilannya.

Masalah Sendi dan Tulang

Imej via Bidadari

Osteoarthritis merupakan masalah radang yang berlaku di kawasan sendi dan tulang yang menyebabkan kesakitan dan menghalang pergerakan kita. Antara punca masalah radang sendi tulang ini berlaku ialah penghasilan enzim yang mengurangkan kolagen di bahagian sendi. Ekstrak kunyit hitam dikenal pasti mampu mengurangkan penghasilan enzim ini bagi mengurangkan kesan negatifnya ke atas kolagen dan sendi tulang.

Antikuman, antivirus

Masih di peringkat penyelidikan makmal sebelum dipasarkan sebagai komponen utama memerangi virus dan bakteria, ekstrak kunyit hitam berjaya merencat pertumbuhan virus berbahaya seperti HCV yang menyebabkan hepatitis, dan H5N1 yang menyerang sistem pernafasan manusia.

Selain itu, kulat berbahaya seperti P. falciparum dan C. albicans turut boleh direncatkan oleh ekstrak kunyit hitam, masing-masing pada kepekatan minimum 3.7 ug/mL dan 39.71 ug/mL.

Kesimpulan

Kunyit hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora  ini ternyata mempunyai pelbagai khasiat perubatan yang sangat berguna. Lebih banyak kajian perlu dijalankan dan diperinci bagi benar-benar mengangkat peranannya dalam memberikan khasiat kesihatan kepada manusia.

Antara potensi penggunaan khasiat kunyit hitam untuk kesihatan manusia ialah memberi aktiviti antikanser, pencegahan penyakit kardiovaskular, rawatan masalah mati pucuk, pencegahan penyakit Alzheimer dan masalah kemurungan, sifat anti alahan, rawatan masalah keradangan dan sakit sendi, sifat antikuman dan sebagainya.

Produk di pasaran mungkin menggunakan kelebihan kunyit hitam sebagai daya penarik melariskan barang mereka yang dikatakan memberi khasiat kesihatan, namun kita sebagai pengguna haruslah sentiasa berhati-hati dalam memilih produk kesihatan yang bersesuaian. Hal ini demikian kerana khasiat kesihatan kunyit hitam ini adalah masih pada peringkat kajian penyelidikan dan memerlukan lebih banyak usaha untuk memastikan khasiatnya benar-benar sampai kepada pengguna.

Jemput juga baca artikel:

Rujukan

  • Chen, D., Li, H., Li, W., Feng, S., & Deng, D. (2018). Kaempferia parviflora and its methoxyflavones: Chemistry and biological activities. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine2018. (link)
  • Saokaew, S., Wilairat, P., Raktanyakan, P., Dilokthornsakul, P., Dhippayom, T., Kongkaew, C., … & Chaiyakunapruk, N. (2017). Clinical effects of Krachaidum (Kaempferia parviflora): a systematic review. Journal of evidence-based complementary & alternative medicine22(3), 413-428. (link)
  • Stein, R. A., Schmid, K., Bolivar, J., Swick, A. G., Joyal, S. V., & Hirsh, S. P. (2018). Kaempferia parviflora ethanol extract improves self-assessed sexual health in men: A pilot study. Journal of integrative medicine16(4), 249-254. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.