Nak tahu khasiat daun sup? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat daun sup untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.

Daun sup merupakan bahan utama yang ditabur dalam masakan sup untuk memberikan aroma sup yang menyelerakan. Tahukah anda, daun sup tergolong dalam keluarga yang sama dengan saderi? Perbezaan mereka adalah pada saiz petiole atau batang dan kandungan sebatian beraroma yang lebih pada daun sup.

Daun sup bersaiz lebih kecil berbanding saderi. Masakan Asia khususnya masyarakat Cina menggemari penggunaan daun sup disebabkan aroma dan rasa kehangatan yang diperolehi daripada hirupan sup. Sebenarnya, terdapat pelbagai olahan resepi berasaskan daun sup boleh dicuba mengikut kreativiti dan selera masing-masing.

Perbezaan Daun Sup dan Saderi

Kedua-dua daun sup dan saderi dikenali sebagai celery oleh masyarakat Barat. Namun, secara khususnya, daun sup merupakan varian celery dengan nama A. graveolens var. dulce manakala saderi ialah varian A. graveolens var. rapaceum.

Daun sup banyak ditanam bagi tujuan kulinari yang menggunakan daun dan batangnya untuk masakan seperti salad dan sup. Saderi pula ditanam untuk mendapatkan batangnya yang seakan ‘ubi’ yang boleh dimasak atau dimakan mentah. Kedua-duanya memiliki khasiat yang lebih kurang sama tetapi terdapat perbezaan dari segi komposisi sebatian kimia dan bahagian tumbuhan yang mempunyai lebih banyak khasiat. Contohnya, saderi pada batangnya manakala daun sup pada akar dan daunnya.

Ada juga yang sering tertukar antara daun sup dengan duan ketumbar kerana kedua-duanya tampak serupa. Namun, duan ketumbar boleh dibezakan dengan baunya yang lebih kuat dan kadang kala ada yang menganggapnya memberikan bau seperti bau pijat.

Khasiat Daun Sup

Dalam artikel ini, kelebihan daun sup iaitu khasiat daun sup dari segi kesihatan akan dibincangkan. Khasiat-khasiat ini adalah berdasarkan laporan kajian penyelidikan akademik yang pernah dilaporkan sebelum ini.

1. Petua Pemakanan Tradisional

Imej via Bidadari

Secara tradisi, daun sup telah digunakan sejak berkurun lalu sebagai ramuan alternatif dalam perubatan tradisional, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Cina.

Selain terkenal sebagai herba atau rempah yang beraroma, daun sup telah digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai masalah kencing tidak lawas, sakit sendi dan kelesuan.

Terdapat juga petua yang dikongsikan oleh Sinar Harian yang menggunakan daun sup untuk merawat masalah batuk. Cara penyediaannya ialah dengan merebus daun sup bersama batang dan akarnya yang sudah dicuci bersih. Kemudian, tapis air rebusan tersebut dan campurkan dengan madu, sedia untuk diminum dan diamalkan sebanyak 2 kali sehari.

2. Kaya dengan Minyak Pati

Penyelidik dari Universiti Konkuk, Korea Selatan pada tahun 2012 telah menjalankan saringan kandungan minyak pati dalam daun sup. Direkodkan terdapat 28 komponen utama dalam minyak pati daun sup yang aktif. Minyak pati daun sup ini didapati sangat berkesan dalam melawan radikal bebas dan serangan oksidan.

Menariknya lagi, minyak pati yang terdiri daripada komponen majoriti imidazolyl, valerophenone dan dodecanol ini berupaya merencat serangan pertumbuhan larvae dan boleh bertindak sebagai racun serangga yang mesra alam.

3. Teh daripada Daun Sup

Kajian terbaru dari sekumpulan penyelidik dari Universiti Qingdao City, China pada tahun 2021 telah menghasilkan formulasi teh daripada daun sup yang beraroma dan boleh memberikan fungsi biologi terhadap kesihatan manusia.

Kajian tersebut diinspirasikan daripada petua tradisi masyarakat Cina yang menggunakan teh daun sup untuk merangsang deria ketenangan dan mudah tidur.

4. Mengandungi Sebatian Aktif Phthalide

Imej via Bidadari

Kajian oleh sepasukan penyelidik di Pusat Bioteknologi Tunisia pada tahun 2012 menunjukkan bahawa daun sup mengandungi sebatian phthalide yang memberikan aroma dan bau daun sup yang kuat. Tambahan pula, didapati bahagian yang paling banyak kandungan phthalide ialah akar. Jadi, sila manfaatkan bahagian akar ini apabila anda masak sup nanti!

Kajian tersebut turut mengulas peranan phthalide yang memang terkenal dengan pelbagai khasiat kepada tubuh seperti perlindungan terhadap sel kanser, meredakan keradangan, menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan kandungan kolesterol.

5. Kaya dengan Vitamin dan Nutrien

Sebagaimana tumbuhan hijau lain, daun sup turut memiliki sejumlah vitamin, garam mineral dan nutrien yang tinggi untuk kegunaan tubuh menjadi lebih sihat. Antara nutrien yang terkandung dalam daun sup ialah zat besi, fosforus, magnesium, vitamin A, vitamin B, vitamin C, serat makanan dan sebagainya.

Kehadiran nutrien ini boleh membantu aktiviti selular yang lebih lancar. Malah, kandungan nutrien ini bertindak sebagai antioksidan yang boleh mencegah berlakunya penyakit atau penuaan awal.

Kesimpulan

Imej via Bidadari

Daun sup bukan sahaja dijadikan sebagai pelengkap masakan dengan aromanya yang memikat selera, namun kini boleh mendatangkan khasiat kesihatan yang pelbagai kepada kita. Namun, cara penyediaannya perlulah seiring dengan tujuan kesihatan iaitu kurangkan garam, minyak dan bahan pengawet atau pewarna dalam masakan.

Antara khasiat daun sup dari segi kesihatan yang boleh kita perolehi ialah perlindungan terhadap keradangan, antioksidan dan pembentukan kanser, serta pengurangan tekanan darah tinggi dan kolesterol dalam darah. Maka, tidak hairanlah dan memang tepat sekali, daun sup sememangnya menjadi pilihan orang ramai untuk dimasukkan dalam masakan.

Rujukan

  • Liu, J., Cheng, C., Zhang, Z., Yang, S., & Zhang, X. (2021). Optimization of celery leaf tea processing and the volatile components analysis. Journal of Food Processing and Preservation45(3), e15253. (link)
  • Nagella, P., Ahmad, A., Kim, S. J., & Chung, I. M. (2012). Chemical composition, antioxidant activity and larvicidal effects of essential oil from leaves of Apium graveolens. Immunopharmacology and immunotoxicology34(2), 205-209. (link)
  • Sellami, I. H., Bettaieb, I., Bourgou, S., Dahmani, R., Limam, F., & Marzouk, B. (2012). Essential oil and aroma composition of leaves, stalks and roots of celery (Apium graveolens var. dulce) from Tunisia. Journal of Essential Oil Research24(6), 513-521. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.