Mari kita pelajari kebaikan dan kelebihan menutup aurat untuk kebaikan bersama.

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka’. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Al-Ahzab: 59)

Aurat berasal daripada perkataan Arab, iaitu istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan (sama ada lelaki ataupun perempuan) yang haram dibuka atau dipamerkan. 

Ini juga bermaksud sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram untuk melihatnya. Hukum menutup aurat juga adalah wajib, iaitu berdosa jika tidak melakukannya.

Sesungguhnya batasan aurat antara lelaki dan perempuan adalah berbeza. Menurut ulama,  aurat yang wajib bagi kaum lelaki adalah bahagian tubuh dari pusat sehingga lutut. Sedangkan bagi perempuan, seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan sahaja.

Menurut syariat Islam, menjaga aurat adalah hal terpenting dalam menjalankan perintah Allah SWT untuk menjadi muslim yang bertakwa. Selain itu menutup aurat juga memberi banyak kebaikan dan hikmahnya. Antara kebaikan yang mungkin tidak disedari adalah;

1. Mentaati Perintah Allah

Seorang muslim yang baik dan takutkan hukuman Allah, pasti akan mengerjakan semua perintah-Nya dan takutkan larangan-Nya. Jadi dengan menjaga aurat, secara tidak langsung mendidik jiwa untuk sentiasa mentaati Allah dan amanah dengan setiap perintah agama.

2. Menghindarkan Dosa

Menjaga aurat akan dikurnaikan dengan pahala, malah jika tidak menjaga aurat dengan sempurna sudah pasti mendatangkan murka Allah SWT dan mengakibatkan balasan neraka.

Sesungguhnya,  ramai wanita Islam yang  masuk neraka kerana tidak menutup aurat mereka dengan sempurna.

3. Menjaga Kehormatan Dan Kesucian Diri

Ini adalah hikmah terpenting iaitu dapat menjaga kehormatan diri sendiri. Iaitu rasa hormat terhadap diri dan sesama kaum muslimin.

Analoginya mudah, sesuatu yang tertutup dan dijaga itu sudah tentu akan dihormati dan dipandang tinggi.

Bukan sahaja pada pandangan orang lain yang perlu menghormati, namun jika sayang pada diri sendiri dan mahu dihormati maka tutup dan jagalah aurat dengan baik.

4. Menghindari Godaan dan Dosa

Secara umumnya, setiap lelaki yang normal akan mudah terangsang dan tergoda apabila melihat wanita yang berpakaian menjolok mata.

Apabila seseorang wanita itu menutup aurat, sedikit sebanyak akan membantu golongan lelaki terhindar daripada godaan dan dosa.

Bukan sahaja menjaga pandangan mata, tetapi dapat mengelakkan perbuatan hina seperti zina sekaligus masalah sosial yang tidak bermoral seperti rogol.

5. Memudahkan Ibadah

Syarat pakaian yang disyariatkan Islam juga bertujuan memudahkan umatnya, termasuklah dalam beribadah seperti solat, membaca al-Quran dan lain-lain.

Bagi kaum wanita khususnya, tidak perlu lagi memakai telekung ketika mendirikan solat, jika pakaianya sudah tutup sempurna, maka solat boleh didirikan dengan pakaian itu sahaja.

6. Terhindar Dari Fitnah Dan Tuduhan

Aurat juga adalah maruah yang mampu memberi perlambangan dan perspektif kepada sesiapa yang melihat. Cara perpakaian dan penampilan seseorang juga akan membuatkan orang lain berpandangan positif dan negatif.

Sudah tentu dengan berpakaian yang terdedah dan seksi akan memberi gambaran buruk mengenai seseorang itu. Seperti wanita murahan dan sebagainya.

Jadi, tutuplah aurat secara sempurna agar fitnah itu dapat dielakkan.

7. Menutup Dan Memelihara Aib

Menutup aurat juga memberi kita ruang dan menyelesaikan masalah berkaitan aib dan ‘kekurangan’ pada diri sendiri.

Contohnya jika terdapat masalah rambut boleh diatasi dengan memakai tudung, malah kecacatan pada kulit tangan boleh diselesaikan dengan memakai baju lengan panjang.

Dengan cara ini dapat melindungi kecelaan tanpa sesiapapun mengetahuinya.

 8. Menyemai Kepercayaan Diri

Menutup aurat dengan sempurna yang sopan juga dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri. Ini termasuklah ketika berinteraksi dengan orang ramai, bekerja dan sebagainya.

Ini juga berkaitan dengan keselamatan diri yang berasaskan bahawa diri akan lebih selamat jika berpakaian menutupi aurat.

Penutup: Menutup Aurat Kewajiban Yang Diperintahkan Oleh Allah

Apabila memahami hikmah di sebalik arahan Allah SWT ini, umat Islam yang cuba memperbaiki diri akan sedar bahawa dengan menutup aurat ini dapat  dapat memperkuat iman, menjaga kehormatan diri, dan memperkukuh  hubungan dengan Allah SWT.

Jadi setiap muslim sebaiknya sentiasa menghayati kebaikan dalam perintah Allah ini, selain memikirkan buruknya jika perintah ini dilanggari.

Sesugguhnya aurat adalah perintah Allah SWT yang pasti, bukan pilihan. Bukan juga dari budaya dan adat semata-mata. Dengan mematuhi dan mengikuti setiap perintah Allah inilah akan menjadikan kita muslim yang diberkati hidup di dunia dan akhirat.

Rujukan:

    Bacaan lain:

    Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

    Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .