Bagi wanita yang sudah berumah tangga, pastinya perkataan IUCD bukanlah sesuatu yang asing bagi anda. Alat perancang rumah tangga IUCD adalah salah satu alat perancang kehamilan yang popular di Malaysia selain pil perancang, implanon, suntikan hormone, dan sebagainya.

Bagi anda yang tidak biasa dengan alat mencegah kehamilan ini pastinya anda tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan IUCD? Bagaimana ia berfungsi? Bagaimana cara menggunakannya? Dan paling penting apakah kesan sampingan.

Apakah alat perancang kehamilan IUCD?

iucd

Sumber: Baituljannah

IUCD adalah satu alat mencegah kehamilan yang merupakan peranti kecil yang diperbuat daripada plastik dan tembaga yang dimasukkan ke dalam rahim anda. Kebanyakan IUCD di pasaran Malaysia adalah berbentuk T dengan terdapat dua benang yang melekat padanya. Besar alat peranti IUCD ialah sepanjang sebatang mancis. Terdapat dua jenis IUCd yang biasa digunakan di Malaysia iaitu IUCD jenis tembaga dan IUCD jenis hormon.

Terdapat 4 jenama IUCD yang biasa digunakan di Malaysia iaitu:

  1. ParaGard
  2. Mirena
  3.  Liletta
  4. Skyla

IUCD adalah alat mencegah kehamilan yang sangat popular di seluruh dunia dan ia merupakan salah satu daripada kaedah perancang keluarga yang paling berkesan. Menurut data, hanya dua hingga 8 dari 1,000 wanita yang memakai IUCD termengandung tanpa sengaja dalam tempoh setahun. Malah pemakaian IUCD juga membantu mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin atau STD.

Bagaimana ia berfungsi untuk mencegah kehamilan?

IUCD menghalang seorang wanita daripada mengandung dengan cara menghalang proses persenyawaan di antara sperma dan telur. IUCD akan membuatkan lendir rahim dan keadaan rahim tidak sesuai untuk sperma terus hidup dengan sihat lalu menyebabkan sperma menjadi kurang berkualiti untuk proses persenyawaan. Malah ia menghalang perjalanan sperma untuk masuk ke serviks.

Malah sekiranya persenyawaan telah berlaku, IUCD akan menyebabkan berlakunya pencemaran toksik dalam rahim yang menjadi punca proses penempelan tidak berlaku dengan sempurna. Malah IUCD juga membantu menipiskan rahim lalu menyebabkan proses penempelan benih yang telah disenyawakan tidak dapat berlaku.

Keadaan ini akan menyebabkan kesukaran untuk proses persenyawaan berlaku sekali gus mengurangkan kemungkinan untuk seorang wanita itu mengandung

iucd
Sumber: KUNC

Bagaimana cara pemasangan IUCD?

Proses pemasangan IUCD adalah sangat mudah dan tidak begitu menyakitkan. Anda mungkin akan berasa sedikit tidak selesa atau mengalami sedikit kesakitan namun ianya bukanlah sesuatu yang sanga teruk. Untuk memasukkan IUCD ke dalam rahim anda, prosedurnya ialah seperti berikut:

  1. Doktor akan memastikan anda tidak mengandung.
  2. IUCD boleh dimasukkan pada bila-bila masa, tiada tarikh tertentu dalam kitaran haid yang perlu diikuti.
  3. Doktor akan melakukan pemeriksaan vagina di mana satu alat kecil akan dimasukkan ke dalam rahim anda untuk memastikan rahim berada pada kedudukan dan saiz yang betul.
  4. Sekiranya semuanya normal, doktor akan memasukkan IUCD ke dalam rahim anda dengan menggunakan peranti sisipan plastik kecil.
  5. Kebiasaanya prosedur memasukkan alat IUCD ke dalam rahim mengambil masa selama 15 minit sahaja tanpa sebarang ubat bius kecuali jika anda berasa sangat sakit.

Sebaik sahaja alat IUCD dimasukkan anda mungkin akan mengalami kekejangan dan berasa sedikit tidak selesa pada bahagian peranakan. Mungkin juga anda akan mengalami sedikit pendarahan.Namun anda tidak akan mengalami kesakitan yang melampau.

Bagaimana cara untuk mengelakkan IUCD daripada beralih daripada kedudukannya?

Terdapat kes di mana IUCd telah beralih tempat daripada kedudukan asalnya.  Oleh itu anda digalakkan untuk melakukan pemeriksaan sendiri bagi memastikan IUDC tidak beralih dari kedudukan yang sepatutnya dengan melakukan langkah-langkah yang berikut:

  1. Basuh tangan anda dengan sabun dan air sehingga betul-betul bersih.
  2. Masukkan jari ke dalam vagina sehingga anda menyentuh serviks atau pintu rahim.
  3. Anda akan berasa benang IUCD berada di kawasan serviks. Jika anda merasakan benang terlalu pendek atau terlalu panjang, ia menunjukkan bahawa alat IUCD anda telah berubah tempat.
  4. Jika anda merasa hujung alat IUCD anda, ia juga bukanlah satu petanda yang bagus.
  5. Jika anda merasakan benang terlalu pendek atau panjang, atau jari anda terssentuh hujung alat IUCD jangan sesekali menarik sendiri dengan niat untuk mengeluarkan dan memasukkan semula alat IUCD. Ia adalah satu cubaan yang merbahaya.
  6. Dapatkan temujanji dengan doktor dengan segara.
  7. Buat sementara waktu gunakan alat mencegah kehamilan yang lain kerana alat IUCD anda mungkin tidak berfungsi dengan baik.
  8. Pengusiran jarang berlaku. Jika ia berlaku, ia mungkin akan berlaku semasa haid anda. Pengusiran kemungkinan besar berlaku dalam beberapa bulan pertama selepas penyisipan.

Apakah kesan sampingan pemakaian IUCD?

Pastinya anda ingin tahu apakah kesan sampingan pemakaian alat mencegah kehamilan IUCD. Di antara kesan sampingan yang selalu diadukan oleh pemakai di Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Kesakitan semasa semasa proses pemasangan IUCD. Sesetengah wanita mengalami kesakitan semasa proses pemasangan IUCD dan selepas proses pemasangan selesai.
  2. Jangkitan kuman semasa proses pemasangan. Terdapat juga kes di mana berlakunya jangkitan kuman kepada vagina dan rahim semasa proses pemasangan alat IUCD dilakukan namun peratusan berlaku jangkitan adalah sangat rendah.
  3. Mengandung luar rahim atau ectopic pregnancy. Bagi wanita yang mengandung tanpa sengaja semasa menggunakan alat IUCD, risiko untuk mengalami mengandung luar rahim adalah lebih tinggi.
  4. Senggugut dan kekejangan rahim yang teruk. Pengguna IUCD  jenama Paragard mungkin mengalami kesakitan yang teruk  semasa datang haid.
  5. Kitaran haid terganggu. Sementara bagi pengguna IUCD jenama Mirena, Liletta, dan Skyla pula kitaran haid mereka mungkin akan terganggu dan menjadi tidak teratur.

Itulah dia info tentang IUCD yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang haid tidak teratur dan jenis sakit perut ketika hamil

Sumber rujukan:

  • Adakah alat IUCD (Intrauterine Contraceptive Device) pilihan tepat bagi kaedah perancangan keluarga? Doctor On Call

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.