Bagi ibu yang sedang hamil, terdapat pelbagai cara digunakan untuk meningkatkan kesihatan si ibu termasuklah mengikuti petua tradisional. Golongan suami juga perlu mengambil tahu akan hal ini supaya sama-sama dapat memudahkan urusan isteri mereka yang sedang hamil ini.

Penggunaan minyak kelapa sering juga dikaitkan dengan manfaat kesihatan ibu hamil. Menariknya, semakin banyak kajian dilakukan bagi membuktikan manfaat minyak kelapa untuk ibu hamil. Ikuti artikel ini untuk lebih mengetahui berkenaan manfaat minyak kelapa untuk ibu hamil.

Imej via Bidadari

Menurunkan Kandungan Gula dalam Darah

Bagi ibu yang sedang hamil, kawalan gula dalam darah perlulah sentiasa dalam keadaan terkawal dan dipantau. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan si ibu mendapat penyakit diabetes atau kencing manis semasa kehamilan. Kandungan juga berisiko tinggi untuk dilahirkan dan diteruskan kehamilan jika si ibu mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Diet pemakanan minyak kelapa boleh dijadikan salah satu alternatif bagi menurunkan kandungan gula dalam darah ibu yang hamil. Kajian lepas melaporkan potensi dan manfaat kesihatan minyak kelapa dalam mengurangkan kandungan gula dalam darah ibu yang hamil. Kajian tersebut membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan minyak bunga matahari yang menyimpulkan bahawa minyak kelapa adalah lebih bagus untuk tujuan kawalan gula dalam darah ini.

Mengurangkan Kandungan Lemak

Penggunaan minyak kelapa berbanding sumber lemak lain menunjukkan manfaat kesihatan yang baik, terutamanya bagi golongan ibu hamil. Kajian sekumpulan saintis dari Universiti Malaya pada tahun 2017 melaporkan perubahan profil lemak yang positif bagi subjek kajian tikus makmal yang sedang hamil.

Model haiwan ini boleh digunakan untuk memadankan manfaat minyak kelapa ke atas golongan ibu hamil apabila metabolisma lemak dalam subjek tikus yang hamil ini didapati semakin aktif. Hal ini berpunca daripada kehadiran asid lemak rantaian medium yang terdapat dalam minyak kelapa. Tambahan pula, hal ini sebenarnya membantu ibu yang hamil ini untuk menurunkan berat badan setelah melahirkan anak apabila asid lemak tersebut membantu metabolism tubuh yang lebih tinggi semasa proses menyusukan anak.

Penggunaan Minyak Kelapa sebagai Ubatan Herba

Imej via Bidadari

Kajian Universiti Malaya tersebut turut mengulas mengenai penggunaan minyak kelapa dara yang meluas dalam kalangan ibu hamil di rantau Asia Tenggara. Hal ini disebabkan penanaman pokok kelapa yang meluas yang menjadikan produk berasaskan kelapa seperti minyak kelapa adalah banyak dan mudah diperolehi.

Penggunaannya sebagai ubatan herba dapat dilihat dalam kalangan 61 – 63.9% ibu yang hamil di rantau ini. Kajian berkenaan melaporkan bahawa penggunaan minyak kelapa ini telah membantu ibu hamil mudah bersalin dan mencegah kecacatan pada kandungan atau masalah sewaktu kelahiran.

Minyak Kelapa sebagai Analgesik

Minyak kelapa juga dipercayai diamalkan secara meluas oleh ibu hamil kerana sifatnya yang analgesik atau tahan sakit. Amalan diet minyak kelapa yang berterusan sepanjang tempoh hamil dijadikan sebagai petua buat ibu hamil yang dikatakan boleh memberikan kesan tahan sakit apabila tiba waktu bersalin. Namun, kesahihan dakwaan ini belum dapat dibuktikan lagi secara perubatan.  

Sifat Anti Kulat Minyak Kelapa

Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan, Universiti Andalas di Sumatera Barat pada tahun 2021 telah menerbitkan kajian manfaat penggunaan minyak kelapa dara ke atas rawatan anti kulat di kawasan kemaluan ibu yang hamil.

Salah satu keadaan kesihatan yang mengganggu ibu hamil ialah jangkitan koloni Candida albicans pada kawasan peranakan ibu yang sedang hamil. Masalah ini banyak ditemui ketika trimester ketiga berbanding wanita yang tidak hamil. Oleh itu, kajian tersebut melihat kesan pengambilan minyak kelapa dara melalui diet makanan dan sapuan pada kawasan yang dijangkiti, dalam kalangan 36 pesakit ibu hamil yang dirawat di hospital Padang.

Terdapat perubahan ketara yang signifikan dalam kumpulan subjek yang menggunakan minyak kelapa dalam diet dan sapuan fizikal.  

Kesimpulan

Antara manfaat kesihatan minyak kelapa untuk ibu hamil ialah menurunkan kandungan gula dalam darah, mengurangkan kandungan lemak, penggunaan minyak kelapa sebagai ubatan herba, minyak kelapa sebagai analgesik, dan sifat anti kulat minyak kelapa.

Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak lagi kajian menyeluruh yang perlu dijalankan bagi benar-benar menyakini bahawa minyak kelapa adalah sangat bagus bagi ibu yang hamil. Terdapat kajian lepas yang menggunakan model tikus hamil yang melaporkan penyusutan berat tikus hamil yang diberi diet minyak kelapa. Hal ini boleh mencerminkan kesan ke atas ibu yang hamil yang terjejas dari segi kesihatan sekiranya berat badan mereka menurun secara tidak normal.

Ringkasnya, penggunaan minyak kelapa ini perlu dilakukan secara sederhana dan dilakukan berdasarkan saranan dan rundingan dengan doktor perubatan yang bertauliah. Sesungguhnya, kesihatan ibu yang hamil sangat perlu dijaga supaya kedua-dua ibu dan anak dalam kandungan dapat menjalani perjalanan kehamilan dengan sempurna.

Rujukan

  • Gunasekaran, R., Shaker, M. R., Mohd-Zin, S. W., Abdullah, A., Ahmad-Annuar, A., & Abdul-Aziz, N. M. (2017). Maternal intake of dietary virgin coconut oil modifies essential fatty acids and causes low body weight and spiky fur in mice. BMC complementary and alternative medicine17(1), 1-8. (link)
  • Nandakumaran, M., Angelaki, E., Al-Azemi, N., Al-Sarraf, H., & Al-Saleh, E. (2011). Influence of coconut oil administration on some hematologic and metabolic parameters in pregnant rats. The Journal of Maternal-Fetal & Neonatal Medicine24(10), 1254-1258. (link)
  • Zen, P. Z., Desmiwarti, D., & Syukur, S. (2021). Effect of Virgin Coconut Oil in The Treatment of Leucorrhea Caused by Candida Albicans Infection on Pregnant Women at Hospitals in Padang. Andalas Obstetrics And Gynecology Journal5(2), 231-240. (link)

Jemput juga baca artikel

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.