Ibu hamil akan kerap mengalami sakit perut. Sakit perut bagi para ibu hamil adalah perkara normal dan setiap ibu hamil akan mengalami sakit perut. Walaupun begitu, bukan semua sakit perut adalah sakit perut biasa. Ibu hamil akan mengalami beberapa jenis sakit perut yang agak merbahaya dan boleh memberi kesan kepadanya.
Ada jenis sakit perut yang menunjukkan tindak balas bayi dalam kandungan dalam keadaan baik. Tetapi ada juga sakit perut yang tidak baik untuk kandungan. Apabila sakit perut, semestinya ibu akan berasa risau tentang kesihatan kandungan. Jadi, kita perlu tahu beberapa jenis sakit perut yang sering dialami oleh ibu hamil.
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 9 jenis sakit perut ketika hamil dan akibatnya. Info ini dikongsikan oleh klinik Dr. Asmah. Klinik Dr. Asmah terletak di Sungai Petani, Kedah. Ia menawarkan pelbagai ‘service’ terutama sekali bagi wanita yang hamil. Ia juga menawarkan ‘service’ untuk pesakit biasa seperti kencing manis, darah tinggi, demam panas dan lain-lain lagi.
Perut bergas mungkin boleh disebabkan oleh meningkatnya kadar hormon progesteron, yang dapat menyebabkan otot-otot saluran pencernaan ibu bekerja lebih lambat. Ini menyebabkan waktu yang dihabiskan makanan dalam usus besar lebih lama lalu menjadi punca perut bergas. Selain itu, rahim yang semakin membesar juga dapat menempatkan tekanan tambahan pada organ yang membuatkan sistem pencernaan berjalan lebih lambat juga.
Masalah sembelit ini berkait rapat dengan masalah gas yang menyebabkan punca saluran pencernaan yang kurnag efisyen, seperti diterangkan di atas. Sekiranya ibu kurang minum air, kurang makan sayuran dan buah atau makanan berserat, kurang aktif bergerak, sembelit boleh bertambah buruk berbanding biasa.
Sembelit bukan saja berpunca daripada diet, tetapi ia juga mungkin merupakan kesan sampingan daripada pil zat besi atau pil tambah darah yang dimakan oleh ibu secara rutin. Namun, jangan pula berhenti mengambil pil tersebut kerana ia adalah penting untuk diambil oleh ibu. Sebaliknya, berbincanglah dengan doktor untuk mencuba jenis pil yang lain.
Kontraksi Braxton Hicks atau kontraksi palsu ini biasa berlaku, terutamanya menjelang minggu-minggu akhir kelahiran. Ia terasa seperti penegangan pada otot perut sehingga perut mengeras buat beberapa ketika.
Tapi, jangan pula panik kerana kontraksi sebenar apabila hampir saat bersalin adalah tidak sama dengan kontraksi ini. Kontraksi sebenar akan terasa lebih kuat, lebih menyakitkan, lebih lama dan mempunyai ritma yang tetap. Anda boleh cuba untuk minum lebih banyak air untuk membantu menenangkan dan memberi kelegaan daripada ketidakselesaan yang dialami.
Ketika rahim semakin membesar dan meregang menjelang trimester kedua, ligamen yang berfungsi menopang rahim akan turut sama meregang. Ibu mungkin perasan dan merasai round ligament pain ini ketika mengubah posisi, bersin, atau batuk.
Ia seolah-olah rasa sakit yang sedikit tajam pada bahagian perut, pelvis, atau pangkal paha. Bagi mengelakkan rasa sakit ini daripada kerap berulang, ibu-ibu disarankan agar menjaga postur badan yang baik. Anda boleh juga memakai pregnancy belt untuk memberi sokongan tambahan sekiranya perlu.
Salah satu tanda sakit perut yang bahaya adalah kehamilan ektopik, iaitu kehamilan yang berkembang di luar rahim. Ia akan menyebabkan rasa sakit perut di samping pendarahan yang berat sekitar minggu ke 6-10 kehamilan. Segeralah berjumpa doktor kerana kehamilan luar rahim perlu dirujuk kepada pakar dengan cepat.
Masalah kencing kotor atau UTI (urinary tract infection) sebenarnya kerap terjadi pada ibu hamil kerana faktor perubahan hormon. Jika anda berasa seperti asyik mahu terkencing atau pedih semasa membuang air kecil diikuti dengan rasa nyeri pada bahagian perut, anda mungkin mengalami masalah ini. Walaupun kencing kotor biasanya boleh diatasi dengan antibiotik atau rawatan di rumah, namun ia boleh menjadi teruk sekiranya anda tidak segera mengambil tindakan.
Preeklampsia boleh dikenalpasti dengan rasa sakit perut pada bahagian atas (di bawah tulang rusuk di sisi kanan). Ia berkait rapat dengan masalah tekanan darah tinggi dan biasanya terjadi setelah usia kehamilan mencecah 20 minggu.
Menurut BabyCenter, tanda-tanda lain preeklampsia termasuklah bengkak teruk pada muka, tangan dan kaki yang berlaku secara tiba-tiba; sakit kepala yang teruk; masalah penglihatan seperti pandangan kabur atau cahaya bersinar di hadapan mata anda; kesakitan teruk di bahagian bawah rusuk; rasa tidak sihat secara keseluruhannya.
Apendiks adalah satu lagi punca sakit perut ketika hamil yang boleh menyebabkan rasa sakit, terutamanya pada bahagian bawah pusat sebelah kanan perut. Wanita mengandung yang menghidap penyakit apendik seringkali lambat dikesan dan biasanya apabila dapat dikesan ia sudah berada di tahap yang boleh dikatakan agak komplikasi. Ini kerana, pembesaran uterus sekali gus mengalih kedudukan apendik dari tempat asalnya.
Bergantung kepada keadaan apendik tersebut, ia mungkin akan memerlukan pembedahan kecil. Oleh itu, sekiranya anda pernah mengalami apendiks sebelum kehamilan, seeloknya beritahulah doktor agar mereka sedia maklum dengan masalah tersebut.
Keguguran tentunya adalah perkara yang paling ditakuti oleh ibu mengandung. Antara tanda keguguran selain sakit perut termasuklah rasa nyeri pada punggung, serta pendarahan. Namun, pendarahan atau spotting ketika hamil ini juga boleh berlaku atas beberapa faktor lain. Ingat, sebarang bentuk pendarahan yang berlaku ketika hamil perlu dimaklumkan pada doktor secepatnya. Jururawat mesti dah pesan kan?
*Kesimpulannya, jika sakit perut terlalu kerap pada kandungan, pergi berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan kandungan. Selain itu, temu janji dengan doktor jangan pernah tertinggal kerana dari situ kesihatan ibu hamil dan kandungan akan di kemas kini dari semasa ke semasa.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.