Apakah hukum tak mahu kahwin? Persoalan ini mungkin timbul di benak fikiran anda bila mana data kaji selidik oleh SeaAsia Stats menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sebanyak 44.68% individu bujang (belum berkahwin, bercerai, berpisah atau balu).

Hal ini sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara di Asia Tenggara yang berada di tempat ke-3 paling ramai bujang.

Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum tak mahu kahwin atau terus membujang di dalam Islam

Perkahwinan dalam Islam

Perkahwinan adalah salah satu ibadah dan merupakan asas kepda kewujudan sesebuah keluarga, masyarakat dan seterusnya pembentukan negara.

Bukan itu sahaja, perkahwinan juga merupakan tuntutan agama dalam meraikan fitrah semula jadi penciptaan manusia untuk hidup secara berpasang-pasangan.

Hal ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Rum, ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan Nya diantara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Dalil pensyariatan berkahwin

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’, ayat 3 yang bermaksud:

“Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

Dalam hadis, dari Abdullah Ibn Mas’ud, berkata Rasulullah SAW kepada kami:

“Wahai sekalian pemuda, siapa di antara kamu yang mampu untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Barang siapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi benteng diri.”- (Riwayat al-Bukhari No. 5065 dan Muslim No. 3466)

Hukum tak mahu kahwin ikut situasi

Setiap orang ingin mengecapi kebahagiaan berumah tangga dan dikurniakan suami serta anak-anak.

Namun ada juga yang mengalami “Gamophobia” atau perasaan takut atau fobia untuk berkahwin sehingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak mendirikan rumah tangga.

Seperti yang kita tahu, hukum berkahwin ada pelbagai bergantung situasi di mana ia boleh jadi sunat, wajib, makhruh atau haram.

Begitu juga dengan halnya hukum tak mahu berkahwin ia bergantung pada situasi pasangan itu sendiri.

Dalam Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘ala Madzhabil Imam As-Syafie (2:14-15), ada disebutkan tentang pembahagiaan orang yang bujang. Antaranya seperti:

  • Membujang kerana tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin. Mungkin disebabkan oleh fitrahnya, sakit atau kerana tidak mampu memberi nafkah padahal dalam perkahwinan ada keharusan memberi mahar dan nafkah. Hukum bernikah di dalam situasi ini adalah makruh bernikah.

  • Membujang kerana terlalu sibuk dengan ibadat dan menuntut ilmu agama. Mereka bimbang dengan berkahwin akan membuatnya lalai daripada hal itu. Walaupun daripada segi kewangan, ia sudah mampu untuk berkahwin. Jika berada di dalam situasi ini, adalah lebih baik untuk tidak menikah kerana ada maslahat (faedah) yang lebih besar.  

  • Membujang dalam keadaan mampu untuk berkahwin daripada segi kewangan dan mereka tidak disibukkan dengan ibadah dan menuntut ilmu agama. Adalah lebih baik untuk berkahwin jika berada di dalam situasi ini.

Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi juga tidak berkahwin sehingga meninggal dunia kerana mereka terlalu sibuk dengan jihad ilmu. Situasi mereka ini adalah seperti yang telah dinyatakan dalam situasi kategori kedua tadi.

Hukum tak mahu kahwin – Ustaz Azhar Idrus

YouTube video

Menurut Ustaz Azhar Idrus, mereka yang tak mahu berkahwin akan kehilangan kelebihan satu daripada sunnah Nabi Muhammad SAW.

Hukum tak kahwin tidaklah berdosa, tetapi mereka tidak akan mendapat pahala sunat kerana berkahwin itu sunnah Rasulullah SAW.

Adapun para ulama zaman dahulu yang tidak berkahwin tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam untuk menjauhi amalan berkahwin.

Hal ini kerana mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak sempat untuk berkahwin khususnya yang berdakwah.

Kesimpulannya, bagi sesiapa yang berkemampuan untuk berkahwin menunaikan sunnah Rasulullah SAW, maka teruskan dengan niat tersebut kerana ingin memelihara dirinya daripada terjebak dengan perkara yang dimurkai Allah SWT.

Selain dari hukum tak mahu kahwin ini, anda juga boleh baca artikel kami yang lain mengenai persoalan agama yang lain seperti:

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-331: Hadith Kehinaan Membujang. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Hukum Tidak Berkahwin Bergantung Kepada Situasi. Baitul Muslim

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.